`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, June 21, 2013

SABAH BERADA DALAM KRITIKAL DI ICU?




KOTA KINABALU : Sabah terpaksa berusaha sendiri untuk menangani isu pendatang tanpa izin yang begitu mendesak di negeri itu, kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah Khamis.

Beliau berkata keadaan di Sabah sekarang mencapai tahap kritikal dan memerlukan penyelesaian segera.
"Keadaan akan menjadi rumit (untuk menyelesaikan masalah ini) kerana saya menganggap kini kita berada di ICU (Unit Rawatan Rapi). Keadaannya amat kritikal.

"Kita sudah melihat kesan daripada masalah ini seperti pencerobohan Lahad Datu baru-baru ini. Tiada siapa yang tahu apa pula yang akan berlaku selepas ini," katanya.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) ini berkata kerajaan negeri boleh memberi kad pengenalan (KP) Sabah kepada rakyat Malaysia tulen di negeri berkenaan.

"Sabah boleh meluluskan ordinan baharu pada persidangan dewan undangan negeri untuk mengeluarkan KP Sabah kepada anak jati Sabah serta anak cucu mereka yang tinggal di Borneo Utara atau Sabah sekarang pada 31 Ogos 1963 untuk menjadi rakyat secara automatik mengikut syarat yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia.

"Semua rakyat Malaysia lain perlu memohon untuk menjadi rakyat Sabah. Kuala Lumpur tidak mempunyai kuasa untuk memberi status rakyat Sabah," katanya.

Yong berkata Sabah perlu menggubal Ordinan Pendaftaran Negeri untuk menyediakan rangka kerja dan menubuhkan sebuah jabatan pendaftaran negeri bagi menguruskan pengeluaran KP Sabah yang dicadangkan itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa KP Sabah bukanlah satu dokumen baharu kewarganegaraan, tetapi merupakan satu dokumen pengenalan diri untuk digunakan di negeri ini, termasuk bagi tujuan berkaitan imigresen, tanah, perkhidmatan awam negeri, pelesenan dan tujuan lain yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.

Yong memberitahu siasatan itu bahawa kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah berpunca daripada penghijrahan rakyat dari wilayah miskin di negara jiran, yang menjadi 'faktor pendorong' dan merangsang imigran untuk meninggalkan negara asal mereka bagi mencari kesenangan dari segi ekonomi.

Katanya apabila Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) ditubuhkan bagi mewujudkan keamanan dan kemakmuran serantau, imigran kembali ke negara asal mereka kerana wujudnya kemakmuran ekonomi di sana.

"Dalam kes Sabah, terdapat ramai 'bekas rakyat Malaysia' yang pulang ke Mindanao dan Kalimantan.

"Saya pernah terjumpa 'bekas rakyat Malaysia' yang bertutur dalam bahasa Melayu ketika melawat Kalimantan dan mereka memberitahu saya bahawa mereka telah pulang ke kampung halaman sendiri kerana Kalimantan membuka berjuta hektar ladang sawit, yang menarik ramai rakyat Indonesia untuk pulang dari Sabah dan pekerja pula tidak perlu membayar levi atau menghadapi gangguan daripada pihak berkuasa Malaysia," katanya.

Beliau berkata berbeza dengan Kalimantan, BIMP-EAGA tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah yang menimpa Malaysia, Indonesia dan Filipina.

"Andai kata program regularisasi BIMP-EAGA diiringi dengan langkah susulan yang sewajarnya, masalah besar pendatang tanpa izin di Sabah sekarang tentu tidak akan berlaku," katanya.

Naib presiden SAPP Datuk Eric Majimbun pula berkata isu orang asing memiliki KP palsu bukan sahaja memberi kesan terhadap rang daftar pemilih, tetapi juga membawa implikasi sosial.

Majimbun memberitahu siasatan itu bahawa beliau juga menghadapi masalah apabila seorang lelaki Filipina memiliki KP palsu yang menggunakan nama Jerome Majimbun.

Pegawai pengendali Datuk Azmi Ariffin mendedahkan bahawa nama Jerome Majimbun itu dengan KP bernombor 560930-12-5739 serta satu KP lama bernombor H 0540992 tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan nombor itu juga tidak terdapat dalam rang daftar pemilih.

"Lelaki ini (Jerome) menggunakan nama bapa saya. Bagaimana kalau dia melakukan jenayah? Ia akan menjejaskan nama keluarga saya," kata Majimbun.

Siasatan itu diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Turut menganggotai panel itu ialah bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas ketua polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah Datuk KY Mustapha dan bekas timbalan ketua menteri Tan Sri Herman J Luping, yang juga bekas peguam besar negeri. (Bernama)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.