Oleh : ZAKRI ZAKARIA
SERAMAI 30 Mantan Pelajar Tingkatan Enam Atas SMK Menggatal bagi sesi 1982 (Pertena 82) menggesa Kementerian Pelajaran menukarkan kembali nama bekas sekolah mereka yang dijenamakan sebagai SMK Bandaraya kerana bercanggah dengan Akta Petunjuk Geografi 2000.
Jurucakap mereka Mutalib M.D berkata, sebagai bekas pelajar sekolah berkenaan, mereka agak terkilan dengan penukaran nama SMK Menggatal kepada SMK Bandaraya; dengan apa juga alasan dan meneruskan bantahan beberapa pihak sebelum ini.
"Kita akan menemui Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pengarah Pelajaran Sabah untuk menyiasat punca dan kedudukan sebenar siapa yang bertanggung jawab mengubah Pangkalan Data Nama Geografi (PDNG) MyGeoname pada 2001 dan mengembalikan semula nama geaografi SMK Menggatal," kata Mutalib.
Tegasnya, SMK Menggatal merupakan salah satu sekolah menengah yang terunggul di era 1980-an sehingga 2000 dan telah mengukir kegemilangan; maka tidak semudah itu ditukar tanpa alasan yang munasabah.
"Walaupun kata Shakespeare, apa ada pada nama, mawar dipanggil dengan apa nama juga akan tetap wangi; namun adalah tidak bermaruah menukar nama SMK Menggatal sebagai SMK Bandaraya kerana kedudukannya jauh dari Bandaraya," kata Mutalib yang menangkis erti 'Menggatal' membawa 'double meaning.'
Jika kita mahu menukar nama semua sekolah yang mempunyai makna 'menjengkelkan' maka semua sekolah di lebih 50 kawasan terpaksa ditukar.
"Tidak wajar kita tukar nama asal tempat yang telah dimasukkan ke dalam Pangkalan Nama Geografi seperti Menggatal, Meraba, Menunggang, Menumbuk dan sebagainya kerana sudah sebati dengan masyarakat tempatan sejak sebelum merdeka," kata Mutalib yang merayu agar bekas penuntut SMK Menggatal menyokong gerakan penukaran semula nama SMK Bandaraya kepada SMK Menggatal.
Kata Mutalib, selepas Reunion pada 30 Jun 2013, mereka akan melawat SMK Menggatal untuk menjalankan majlis amal dan mengadakan perbincangan dengan Pengetua SMK Menggatal (Bandaraya) untuk menyumbang fikiran dan tenaga bagi meneruskan kecemerlangan bekas sekolah yang mereka tinggalkan selama tiga dekad lalu.
"Kita akan memfailkan memorandum dengan sokongan semua pelajar, penduduk dan pemimpin tempatan dan yakin kerajaan akan dan meluluskan penukaran nama sekolah ini kepada SMK Menggatal kerana begitu nostalgik di hati kami," kata Mutalib yang turut merayu sokongan moral daripada bekas pelajar SMK Menggatal iaitu dua Ahli Parlimen Malaysia, Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat) dan Rozman Isli (Labuan).
Pihaknya juga kata Mutalib, akan menemui Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris dan ADUN Karambunai, Datuk Jainab Ayid untuk bertukar pandangan dan memberikan saranan bernas untuk membangunkan SMK Menggatal dan sekitarnya agar tidak menjadi 'Tembok Berlin' di tengah kepesatan pembangunan Sabah.
Ketika ditanya apakah mereka akan bergabung dengan Alumni SMK Menggatal, Mutalib menjelaskan perkara itu akan diputuskan pada 30 Jun kelak ketika Majlis Reunion 3 Dekad di Hotel Promenade, Kota Kinabalu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.