`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, July 24, 2013

Kekal biru atau tukar 16:16?

Kekal biru atau tukar 16:16?
Semua pihak tidak sabar menunggu keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang akan diumumkan dari Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Majlis Daerah Besut, dekat Gong Kemuntong, Jertih, seawal jam 10 malam ini.
Debaran amat dirasai oleh calon, pemimpin dan penyokong kedua-dua parti bertanding, walaupun ada pihak menaruh keyakinan masing-masing akan memperoleh kemenangan dengan alasan tersendiri.
Banyak pemerhati bebas meramalkan Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan jurutera muda, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman akan memenangi PRK ini sekali gus BN terus kekal menguasai Kuala Besut.
Bagaimanapun, banyak pihak turut mengatakan BN bakal memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih rendah dan merosot, berbanding dalam Pilihan raya (PRU) Ke 13 lalu, iaitu sebanyak 2,434 undi.
Hasrat Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini yang menyasarkan BN mampu menang dengan majoriti 4,000 undi dilihat tidak mampu dicapai malah menganggap angka itu sebagai perang psikologi Idris semata-mata.
Andaian mengatakan faktor kemenangan BN kurang daripada majoriti 2,434 dipengaruhi pengundi luar yang diramalkan tidak akan pulang mengundi dalam jumlah yang tinggi berbanding PRU lalu.
Diramalkan kurang 70 peratus pengundi luar daripada keseluruhan pengundi luar yang dianggarkan lebih 5,000 daripada keseluruhan 17, 683 pemilih, tidak pulang disebabkan kekangan masa kerana tarikh mengundi diadakan sebelum cuti hari raya dan pada hari bekerja.
Namun kemenangan BN dikatakan bakal disumbangkan oleh golongan sasaran iaitu antara 60 hingga 70 peratus pengundi luar berdaftar dengan BN yang akan pulang mengundi parti itu.
Manakala peratusan keluar mengundi di kalangan pengundi yang berada di Dun Kuala Besut dijangka meningkat, kerana jentera kedua-dua parti bertanding telah mengenal pasti pengundi mereka dan akan membantu pengundi keluar mengundi hari ini, termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan.
Pelbagai program dan pendekatan BN yang dilaksanakan secara agresif oleh jentera parti dan agensi berkaitan dilihat turut menjadi penyebab BN masih mampu menambat hati majoriti pengundi untuk terus kekal memilih parti itu.
Pemerhati juga tidak menolak kemungkinan undi BN meningkat di kalangan pengundi awal, terdiri yang daripada anggota tentera Pangkalan Udara Diraja Malaysia dan keluarga, berbanding PRU13, di samping analisis mengatakan penjawat awam lain, lebih 60 peratus memberi sokongan kepada BN.
Kemampuan calon BN, Tengku Zaihan yang berlatar belakang profesional, merendah diri dan kuat bekerja meyakinkan lagi peluang BN untuk menang.
Bagaimanapun, tidak dinafikan ada segelintir penyokong dan ahli Umno yang tidak bersetuju dengan calon dan mereka bagaikan api dalam sekam yang turut menyumbang kepada kemerosotan majoriti kemenangan BN.
Rata-rata melihat isu negatif mengenai calon BN tidak begitu mempengaruhi penyokong untuk mereka membuat pilihan nanti.
Pas pula dikatakan tidak mampu merampas Dun Kuala Besut kerana kekuatan yang ada pada jentera BN yang dikatakan lebih tersusun, ditambah dengan sumber kewangan kukuh.
Isu yang melanda calon Pas, Endot @ Azlan Yusof (Che Long) yang seolah-olah ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan dan diarahkan tutup mulut sedikit sebanyak dikatakan mempengaruhi orang ramai, walaupun ada yang memuji Che Long sebagai seorang terlalu lurus dan jujur.
Pergolakan yang melanda Pas pula didakwa lebih hebat berbanding dengan dakwaan krisis yang melanda BN.
Sebelum ini ada kepimpinan Pas yang membuat dakwaan ada sesuatu yang tidak kena apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengarah PRK Dun Kuala Besut dan timbalannya, Datuk Seri Idris Jusoh, bukannya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Walaupun ada tohmahan sedemikian tetapi Ahmad dilihat sering turun ke Besut dalam program kempen, termasuk bersama-sama dengan Idris Jusoh di banyak program.
Manakala krisis dalam Pas yang berlaku dalam PRK ini dikatakan antara penyumbang Pas tidak mampu merampas Kuala Besut seperti isu pelantikan Pengarah Pilihan raya yang diberikan kepada Husam Musa, bukannya pemimpin dari Terengganu sendiri.
Keadaan markas dan pos-pos Pas di kawasan tertentu yang dilihat suram dan kurang sambutan juga ditafsir sesetengah pihak sebagai gambaran berlaku konflik dalaman, apabila sayap Muslimah dan ulama Pas tidak berpuas hati dalam beberapa isu.
Namun demikian, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku di luar jangkaan, termasuk tidak mustahil Pas dapat mencapai kemenangan dalam PRK ini dengan kelebihan undi yang tidak begitu tinggi.
Bagaimanapun, Idris yang berpengalaman melalui proses pilihan raya pada zaman BN kalah dan menang dikatakan sudah dapat mengagak lebih awal berdasarkan senario dan respons pengundi sama ada akan memberi kemenangan atau kekalahan kepada BN.
Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar dari BN pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai tarikh mengundi.
DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463 ialah pengundi Melayu, Cina 125 manakala selebihnya pengundi lain-lain bangsa.
Pada PRK ini, BN menetapkan slogan ‘Kuala Besut bertambah Biru’ untuk kempen manakala Pas tampil dengan moto ‘16-16’, merujuk kepada kedudukan kerusi Dun Terengganu andai PAS berjaya merampas DUN Kuala Besut pada pilihan raya kecil berkenaan.
Selepas pilihan raya umum Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir BN yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada Pas dan satu wakil PKR.
Kuala Besut mempunyai kira-kira 22,986 penduduk pada keluasan 41 kilometer persegi, kebanyakan terdiri daripada golongan nelayan.
- SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.