`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 29, 2014

DSAI boleh selesaikan masalah PKR Selangor dari rumahnya sendiri


Jika masalah dan isu membesar kerana permasalahan parti dengan rakyat, mengadakan pilihanraya kecil mungkin cara yang terbaik untuk membetulkan dimana yang tidak betul. Tetapi jika masalah yang timbul itu adalah masalah ‘intra-party’ membawa semua pihak terbabit untuk penyelesaian masalah dalamannya adalah tindakan yang tidak baik. Apa yang berlaku di Selangor itu adalah masalah PKR sahaja, kerana ia tidak melibatkan mana-mana parti yang lain.

Maka seelok-eloknya PKR sepatutnya menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan melibatkan ahli-ahli parti mereka sendiri sahaja. Janganlah membawa pihak lain khususnya rakyat untuk terlibat sama, kerana rakyat di kawasan Kajang sememangnya telah memberikan mandat kepada PKR dalam pilihanraya yang baru sahaja berlalu. Hanya dalam PKR sahaja yang berlaku masalah di Selangor ini, maka memanggil pilihanraya kecil amat membebankan parti-parti komponen yang lain

PKR telah memilih untuk mengadakan pilihanraya kecil kerana masalah dalaman mereka dan ia tentulah melibatkan banyak pihak termasuk parti-parti komponen mereka dalam Pakatan Rakyat. Sepatutnya PKR memanggil persidangan tergempar parti mereka sendiri dan tentukan apa cara yang terbaik untuk menyelesaikan isu kepimpinan di Negeri Selangor itu. Ia lebih baik lagi penyelesaian dalam PKR Selangor itu di selesaikan oleh pimpinan dan ahli parti itu di Selangor sahaja.

Pimpinan peringkat tertinggi hanya berikan pandangan dan nasihat bagaimana cara untuk menyelesaikan isu sesama mereka di Selangor itu. Malahan pengerusi PKR Selangor itu adalah Timbalan Presiden parti itu sendiri. Jika Anwar menjadi penyelesaian yang baik untuk parti maka Anwar perlu bertindak menyelesaikan di antara dua orang pemimpin Selangor itu.

Tetapi Anwar mengambil langkah untuk menambahkan masalah yang tersedia wujud dalam PKR itu. Jika Anwar benar-benar mempunyai pengaruh dan kuasa terhadap pimpinan di bawah beliau, Anwar sepatutnya menyelesaikan isu dengan bersikap ‘magnanimous’ dan selesaikan dengan memberi formula terbaik untuk kedua-dua pihak yang berbalah itu.

PKR sepatutnya memberikan ‘muka’ sedikit kepada Timbalan Presidennya Azmin Ali dan menjaga kedudukan dan air muka Azmin sejajar dengan kedudukannya sebagai orang nombor dua parti itu. Rakyat masih ingat betapa bertungkus lumusnya Azmin semasa Anwar dalam keadaan terhimpit selepas pemecatan beliau (Anwar) dari parti pada 1998 dahulu.

Tetapi Anwar tidak dapat menyelesaikan masalah perlucutan Azmin dari Lembaga Pengarah PKNS yang setengahnya dikatakan dilakukan oleh Khalid Ibrahim itu. Sememang ada lojiknya jika pemecatan itu dilakukan oleh Khalid atau setidak-tidaknya Khalid membiarkan keadaan itu berlaku kerana rasa tidak gemar beliau terhadap Azmin.

Dalam pada itu beberapa kali Anwar telah menegur Khalid dalam beberapa isu pentadbiran Negeri Selangor dan jika Anwar mendapat kefahaman yang sebenarnya selepas itu, parti boleh mengambil tindakan terhadap Khalid kerana Khalid tidak pun berada di peringkat penentu dasar parti diperingkat tertinggi.

Sesungguhnya masalah dalaman PKR itu berpunca dari pemainan politik dalam keluarga Anwar sendiri. Khalid adalah pemimpin kesayangan Presiden PKR itu dan mengikut kaedah kepartian mentaati kepimpinan parti itu adalah baik. Tetapi Presiden parti tidak senang dengan kehadiran Azmin kerana Azmin adalah Timbalannya dan masih muda dan mempunyai masa depan yang lama untuk membina kepimpinannya dalam PKR itu.

Perpecahan Khalid dengan Azmin berpunca dari rumah Anwar sendiri dan sekarang ia telah merebak tetapi hanya dalam ‘parameter’ kepimpinan di Selangor sahaja. Justeru itu selesaikan dikalangan kepimpinan di Selangor sahaja tanpa membawa isu itu keperingkat nasional dan juga kepada parti-parti lain, DAP dan PAS yang tidak mempunyai masalah di Selangor itu. PAS tetap utuh dan DAP tetap aman dibawah kepimpinan baru parti itu di Selangor.

Jika ‘ayam kita naik kerumah dan berak diatas lantai rumah kita, ia perlu dibersihkan dimana tahi ayam itu terletak’ untuk menjaga kebersihan lantai rumah itu. Tidak payahlah membasuh seluruh lantai yang luas itu kerana cebisan tahi ayam dan kecil yang terletak diatas lantai itu. Tidak perlu membasuh seluruh rumah untuk menyelesaikan secebis tahi ayam itu.

Jika Anwar mampu memberitahu Datin Seri Presiden yang tinggal serumah dengannya untuk menasihatkan Khalid dan beliau pula menasihatkan Azmin, maka tidak perlu dilakukan tindakan meletakkan diri sendiri menjadi penyelesaian terhadap isu yang berbangkit ini. Jika selesai pun masalah Azmin dengan Khalid ini dengan meletakkan diri beliau ditengah-tengah, akan timbul pula masalah lain yang mungkin lebih merumitkan semua pihak.

Sekarang agak sudah ramai rakyat Selangor yang takut jika Anwar jadi Menteri Besar kerana beliau bukan anak Selangor. Takkanlah oleh kerana masalah yang berpunca dari rumahnya sendiri itu terpaksa rakyat Selangor mendapat kepimpinan dari Pulau Pinang pula. Ada setengah yang terlalu terpengaruh dengan kata-kata Karpal Singh telah pandai berkata yang Anwar hanya boleh menjadi MB Selangor ‘over my dead body’, dan berbagai-bagai lagi.

Kita tidak boleh lupa Azmin mempunyai pengaruh besar dalam politik pembangkang di Selangor dan Khalid pula mendapat sokongan dari rakyat biasa kerana rekod kecemerlangan beliau mentadbir Negeri Selangor yang telah menunjukkan perbezaannya dengan pentadbiran negeri sebelum beliau itu.

Penyelesaian di Selangor ini boleh di selesaikan di rumah Anwar sendiri. Beliau hanya perlu bercakap dan berunding dengan baik dengan Datin Seri Presiden di rumah sahaja kerana Datin Seri Presiden tinggal bersama dengan beliau dirumah dan bilik yang sama.

Sepatutnya di satukan kedua-dua mereka yang berbalah ini daripada mengambil tindakan penyelesaiannya dengan menawarkan diri sendiri yang ‘tidak lekang dari banyak masalah’ yang lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.