`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 23, 2014

Awas bom jangka di jalan raya

APABILA seorang rakan mengatakan terdapat banyak ‘bom jangka’ di jalan raya kita, saya kira dia tidak keterlaluan.

Bayangkan, dalam seminggu ini sahaja sudah berapa banyak nyawa terkorban akibat kemalangan, melibatkan pelbagai jenis kenderaan, kereta, lori dan bas ekspres.

Sebenarnya, kemalangan jalan raya bukan perkara baharu. Ia sudah berlaku sejak dahulu lagi, dari masa kita belum ada jalan yang lebar, hingga kepada masa kita menikmati lebuh raya yang cantik sekarang.

Apa pun kita tidak boleh nafikan hakikat bahawa sikap buruk pemandu, sama ada kerana cuai, mengantuk, pandu laju atau lebih teruk, memandu di bawah pengaruh dadah, adalah antara faktor paling ketara yang menyebabkan kemalangan jalan raya.

Dalam beberapa kes kemalangan yang berlaku hanya beberapa hari lalu, kita dapati pemandu yang terlibat disyaki berada di bawah pengaruh dadah dan akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan demikian.

Masalahnya, apabila didapati bersalah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Bahaya, mereka hanya boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Apakah hukuman begini mampu membuat mereka yang degil mematuhi undang-undang? Jika dengan hukuman gantung sampai mati pun masih ramai yang terus melakukan kesalahan berkaitan dadah, apalah sangat kesalahan yang juga berkaitan dadah yang membuat mereka meringkuk dalam penjara tidak lebih dari dua tahun.

Menjamin pemandu bas ekspres, terutamanya, untuk memandu dengan berhati-hati bukanlah sesuatu yang mudah.

Kita sudah saksikan satu demi satu kemalangan berlaku akibat kelalaian dan kelajuan melampau, bukan kerana kerosakan yang tiba-tiba.

Jelas menjamin semua pemandu patuh kepada peraturan di jalan raya seperti memandu pada kelajuan yang dihadkan adalah sesuatu yang hampir mustahil.


Seperti dalam apa sahaja bidang kerja, ramai yang berdisiplin, tetapi ada sahaja kerbau yang membawa lumpur.

Dalam perkhidmatan bas, walaupun tidak ramai, ada sahaja yang pandu seperti pelesit, tanpa mempedulikan keselamatan ramai penumpang yang diamanahkan kepada mereka.

Bukan sedikit cadangan bagaimana mahu mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya yang dibuat sama ada oleh NGO atau pun individu.

Tetapi entah kenapa cadangan yang mampu mengurangkan risiko kemalangan itu seolah-olah tidak mendapat layanan atau dipandang remeh.

Setiap kali berlaku kemalangan ada sahaja pihak yang berjanji akan siasat; suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat, tetapi apa hasilnya?

Selepas kemalangan bas di Genting Oktober lalu yang mengorbankan 37 nyawa dan mencederakan 17 penumpang, 51 cadangan dibuat untuk mengelak tragedi seumpama itu.

Anda jangan terperanjat. Setakat hari ini tidak kurang daripada 15 kemalangan bas dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan lebih 100 lagi, kebanyakan mereka penumpang bas, mengalami kecederaan.

Esok lusa kita tidak tahu di mana pula akan berlaku kemalangan? Siapa pula akan jadi mangsa? Kita hanya mampu berdoa tiada nahas berlaku.

Kali ini saya ada dua cadangan. Pertama, kita semua tahu kelajuan adalah faktor utama berlakunya kemalangan.

Apakah tidak boleh pihak berkuasa ubah suai kenderaan, supaya, biar macam mana pelesit pun pemandu yang ada, setiap bas dan lori tidak boleh mencecah kelajuan lebih 90 kilometer sejam, umpamanya.

Kedua, tulis nombor telefon bimbit pihak berkuasa dan syarikat bas besar-besar dalam bas dan pada tiket, supaya, apabila penumpang sedar bas dipandu bahaya, mereka boleh cepat-cepat hubungi balai polis atau syarikat bas, supaya bas itu boleh ditahan di sekatan jalan raya sebelum berlaku nahas.

Selagi ada pemandu tidak gentar dengan undang-undang dan terus menggunakan jalan raya mengikut cita rasa mereka sendiri, selagi itulah bom jangka akan terus berada di jalan raya dan lebuh raya kita.

Janganlah tunggu nahas untuk bertindak. Lakukan apa yang mungkin. Lakukan segera.


Posted & copy by Rakyat Marhaen 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.