`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, August 3, 2015

Bekas Menteri Besar Pula Pertikai Kredibiliti Kabinet Najib.. "Kabinet 1MDB" Katanya.. (Video Inside)


Veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid berkata Kabinet baharu yang dilantik perdana menteri minggu lalu dibarisi mereka yang akan mempertahankan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menggelarnya "Kabinet 1MDB".

Ia juga terdiri daripada mereka yang kritikal terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata bekas menteri Besar Kedah itu dalam video yang dimuat naik di YouTube.  

"Yang jelas pula, yang dilantik di dalam (jemaah) menteri itu ialah orang-orang yang bersuara menghentam Dr Mahathir.

"Seolah-olah, Kabinet ini Kabinet 1MDB. Kabinet untuk mempertahankan 1MDB. Kabinet untuk memperkecilkan atau menutup segala usaha untuk mendedahkan 1MDB.

"Jadi, masalah dia masih belum selesai. Bunga pinjaman bank jalan terus, pelaburan yang tak menguntungkan jalan terus dan modal bank terpaksa jalan terus," kata Sanusi yang merupakan bekas setiausaha agung Umno dan naib presiden pada zaman Dr Mahathir.

"Jadi, bagi kita, apa nak jadi kepada negara ini," kata bekas menteri pembangunan luar bandar dan pertanian tersebut pada satu temu bual Jumaat lalu.

Minggu lepas, Datuk Seri Najib Razak menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kerajaan dalam rombakan Kabinet yang menyaksikan beberapa ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), badan Parlimen yang menyiasat 1MDB, dinaikkan pangkat ke jawatan menteri. Muhyiddin sebelum ini lantang mengkritik 1MDB yang mengumpul RM42 bilion hutang dalam masa 6 tahun beroperasi.

Sanusi, yang merupakan menteri besar Kedah dari 1996 hingga 1999, merasakan pemecatan Muhyiddin bukan kerana ucapan kerasnya mengkritik 1MDB pada mesyuarat agung tahunan Umno Bahagian Cheras, 26 Julai lalu.

"Saya tak fikir dia dipecat kerana ucapan itu. Saya fikir ucapan itu adalah sebab terakhir. Kerana, nak siapkan senarai nak lantik Kabinet baru ni, dia makan masa.

"Kita dulu pun pernah tukar Kabinet juga. Nak tukar kabinet, kena kaji," katanya sambil menambah Muhyiddin hanya membangkitkan isu biasa yang menjadi kebimbangan dan diperkatakan rakyat.  

Bekas menteri yang pernah berkhidmat di zaman Dr Mahathir, Sanusi juga memberi pandangannya berhubung pelantikan 4 anggota PAC sebagai menteri dan timbalan menteri, mengatakan ia melumpuhkan panel bipartisan itu.

Beliau berkata prosiding PAC yang sedang berjalan sekarang, termasuk inkuiri terhadap 1MDB, lebih penting daripada tugasan seorang timbalan menteri.

"Orang yang tengah buat kerja secara aktif dalam PAC, 4 orang daripada yang paling aktif sudah naik pangkat jadi timbalan menteri, lumpuhlah PAC," katanya.

Beliau juga menyentuh mengenai pasukan petugas khas yang ketika ini menyiasat 1MDB, menyatakan kehairanannya apabila "seorang (daripada mereka) sudah kena berhenti kerana sakit".  

Beliau dipercayai merujuk kepada bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Patutnya, orang yang sakit minta berhenti, yang ini tak. Orang yang dikatakan dah lama sakit ni tak minta berhenti pun, dia nak selesaikan tugas dia, tiba-tiba dia diberhentikan. Itu kan menjadi tanda tanya," katanya.

"Dan kita tengok, hasil daripada penyelidikan ini, sudah ada tangkapan. Dan ada yang nak ditangkap, dah lari. Jadi, rakyat bertanya-tanya, dunia pun dah tanya-tanya.

"Kawan-kawan saya dari luar negeri, dia tahu, dia ikut semua ini. Jadi, bila dia ikut, dia hairan... Kerana, sudah ada tindakan daripada pasukan petugas ini, tiba-tiba ada pemecatan."

Beliau juga mempertahankan bekas ketuanya Dr Mahathir, yang dikecam beberapa menteri Umno kerana membangkitkan isu 1MDB.

Sanusi berkata, berbeza dengan pemimpin pembangkang yang membawa isu itu kerana hendak mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya, Dr Mahathir menimbulkannya kerana menjangkakan ia boleh menjadi isu yang akan menjatuhkan BN.

"Dr Mahathir nampak, cara ini memang boleh mengalahkan kita, kecuali kita sendiri ambil masalah ini dan selesaikan," katanya lapor The Malaysian Insider



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.