`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, August 8, 2015

SPRM DITEKAN LAGI, APAKAH SHUKRI BAKAL MANGSA SETERUSNYA?

SPRM diganggu, diancam, digugat dan dilemahkan lagi.

Jika sebelum ini SPRM ditekan dengan penahanan beberapa pegawainya di ketika tugas mereka belum selesai dalam menjalankan siasatan berhubung kemungkinan wujud elemen rasuah berkaitan SRC International Sdn Bhd, kini agensi itu terus dijadikan mangsa.

Kali ini Pengarah Operasi Khasnya, Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategiknya, Rohaizad Yaakob ditukarkan serta merta ke Jabatan Perdana Menteri yang berupa suatu tindakan disiplin terhadap mereka.

Bahri adalah pegawai SPRM yang lantang mengkritik penahanan beberapa pegawainya oleh pihak polis untuk disiasat berkaitan kebocoran maklumat sehingga menyifatkannya sebagai "kerja gila"  dan percaya ada tangan ghaib di belakangnya.

Beliau juga bersumpah dengan nama Allah untuk mencari dalang tersebut sehingga ke lubang cacing sambil mengingatkan kuasa yang mereka ada cuma sedikit saja.

Rohaizad pula adalah pegawai SPRM yang menerima kunjungan pemimpin pembangkang yang hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan moral kepada badan itu yang sedang menjadi sasaran siasatan, serbuan dan tangkapan oleh pihak polis.

Insiden pertukaran ini berlaku tidak berapa lama selepas Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi memberi jaminan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap pegawai SPRM yang disiasat itu, sebaliknya mengatakan mereka hanya diambil keterangan sahaja.

Soalnya apakah kesalahan disiplin mereka sehingga dikenakan tindakan disiplin dan ditukarkan itu? Apakah berjuang menegakkan kebenaran sudah menjadi suatu kesalahan? Apakah juga menerima tetamu yang datang yang merupakan sebahagian daripada amalan berbudi bahasa turut merupakan suatu dosa?

Daripada derma berjumlah RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib, RM42 juta daripadanya diterima daripada Ihsan Perdana, sebuah anak syarikat 1MDB yang menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial yang menerima RM50 juta daripada SRC International melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Ketika ini siasatan SPRM terhadap SRC International masih berjalan. Melalui tindakan polis sebelum ini, beberapa fail, dokumen dan komputer riba telah dirampas, manakala dengan pertukaran ini pula menyebabkan peneraju siasatan telah ditukarkan secara serta merta.

Dengan ini, sukar meramalkan sama ada siasatan seterusnya dapat dijalankan dengan sempurna, kecuali jika pihak polis memulangkan semua yang telah dirampas itu atau pegawai SPRM ada menyimpan bukti-bukti di tempat lain.

Bagaimanapun, dalam reaksi segeranya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shukri Abdul menuntut agar Jabatan Perdana Menteri atau JPM memulangkan semula kedua-dua pegawainya yang ditukarkan itu serta menawarkan dirinya sebagai ganti.

"Segera pulangkan mereka dan ambillah saya sebagai pengganti. Pegawai terbabit bertindak atas arahan saya," tegasnya.

Dengan menuntut JPM yang diketuai oleh Najib agar memulangkan kembali kedua-dua pegawai terbabit, Shukri umpama sudah mengisytiharkan "perang" terhadap sesiapa yang cuba mengganggu tugas badan itu dalam memerangi rasuah.

Suatu keberanian yang terpuji dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Yang ditunggu selepas ini ialah apakah reaksi Najib terhadap tuntutan Shukri ini? Bagaimana pula respon Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi sebagai orang nombor dua di JPM mengenainya?

Mungkinkah hanya Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa atau Jabatan Perkhidmatan Awam saja yang akan menjawabnya nanti?

Atau semuanya akan diam saja? Apakah sehari dua nanti Shukri pula akan menjadi mangsa tindakan disiplin atau pertukaran seterusnya?

Tetapi yang menimbulkan persoalan ialah mengapakah SPRM terus diganggu dan diamcam sebegini rupa? Tidak bolehkah badan itu dibiarkan menjalankan tugasnya dengan adil dan telus sebagaimana kebencian kita semua terhadap gejala rasuah?

Apakah tindakan itu menunjukkan Najib berasa kedudukannya masih tidak selamat meskipun sebahagian besar daripada RM2.6 bilion yang diterimanya daripada luar negara itu sudah diisytiharkan sebagai derma?

Di mata umum, kiranya pertukaran pegawai SPRM ini dilakukan dengan pengetahuan Najib, ia jelas memberi makna beliau sedang cuba mengelakkan kesalahannya daripada dikesan serta dibuktikan manakala jika tanpa pengetahuannya pula, bermakna ada orang lain mahu menganiaya dan memburukkan namanya.

Akhirnya, pahlawan Bugis tidak boleh lagi sekadar diam dan membatu sahaja. (SH)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.