`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 20, 2015

YA, AYUH KITA TUKAR KERAJAAN

i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Mug shots_RPK1517
Benar, Malaysia memerlukan perubahan. Tetapi ia mesti menjadi lebih daripada sekadar perubahan Perdana Menteri atau perubahan gabungan parti pemerintah sahaja. Dalam pada itu, sehingga seseorang boleh meyakinkan saya bahawa mereka boleh menawarkan perubahan kepada yang lebih baik bukan sekadar perubahan yang sama – tukar yang lama kepada yang baru, saya tetap bersetuju dengan PAS dan kekalkanlah Perdana Menteri sediada, kerana setakat ini semua perubahan yang kita lihat – sama ada perubahan Perdana Menteri atau perubahan gabungan parti pemerintah- belum terbukti lebih baik daripada yang sebelumnya. 
Raja Petra Kamarudin
Pada tahun 1999 , kita mahukan perubahan kerajaan. Dan itulah sebabnya ramai daripada kita menyertai gerakan Reformasi dan menyokong pakatan pembangkang baru PKN, DAP, PAS dan PRM yang dipanggil Barisan Alternatif.
Semasa seruan gerakan Reformasi dilaungkan pada ketika itu, kita di bawah cengkaman Mahathir. Ringkasnya, kita mahu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berundur. Siapa yang patut mengambil alih tampuk pemerintahan sekiranya Dr Mahathir meletakkan jawatan tidak penting. Kita hanya mahu Dr Mahathir pergi, tidak kisahlah sesiapa pun yang bakal mengambil alih selepas itu.
Dua tahun kemudian Barisan Alternatif runtuh apabila DAP meninggalkan gabungan itu kerana tidak bersetuju dengan PAS. Kemudian, beberapa bulan selepas itu, pada pertengahan tahun 2002, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau akan bersara dan beliau akan menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tarikh penyerahan itu menjadi kenyataan pada 1 Nov 2003.
Ada di antara kita masih kekal dengan pembangkang tetapi majoriti rakyat Malaysia begitu lega kerana, selepas 22 tahun, Dr Mahathir akhirnya berundur juga, dan pada pilihan raya umum Mac 2004 beberapa bulan kemudian, mereka kembali mengundi parti pemerintah yang menyaksikan mereka memenangi majoriti terbesar dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Jadi apa yang majoriti rakyat mahu hanyalah perubahan Perdana Menteri sahaja, bukan perubahan kerajaan. Dan mereka telah menterjemahkan kegembiraan mereka terhadap Perdana Menteri baru ini melalui sokongan padu di peti undi.
Tidak lama selepas itu rakyat mula sedar bahawa apa yang telah mereka inginkan pada mulanya – iaitu sesiapa sahaja yang mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Dr Mahathir tidak boleh menjadi lebih teruk daripada beliau – ternyata telah berlaku sebaliknya. Abdullah telah membuktikan beliau lebih teruk daripada Dr Mahathir.
Jadi, apabila Dr Mahathir melancarkan gerakan ‘Undur Pak Lah’ pada tahun 2006 ramai daripada kita yang menyokong beliau. Bukankah ironis bahawa seorang yang kita benar-benar mahu gulingkan seketika dulu, kini mendapat sokongan kita dalam usaha untuk menggulingkan penggantinya?
Kita tidak peduli tentang apa yang Dr Mahathir telah lakukan semasa beliau menjadi perdana menteri. Dosa-dosa beliau boleh kita lupakan buat sementara waktu dan boleh dimaafkan selagi beliau berusaha menyingkirkan penggantinya. Kita telah menyokong beliau kerana kita berkongsi matlamat yang sama.
Tetapi ada satu perkara yang kita risaukan, iaitu siapakah yang berada di fikiran Dr Mahathir sebagai pengganti Abdullah? Petunjuk yang kita terima adalah bahawa beliau mahukan Tengku Razaleigh Hamzah. Dan kita telah menerimanya dengan hati terbuka.
Kemudian setelah Abdullah mengundur diri, bukan Ku Li tapi Najib Tun Razak pula yang mengambil alih kuasa. Kita telah mengesyaki bahawa ini mungkin berlaku dan oleh sebab itulah kita bertanya kepada Dr Mahathir sekiranya Abdullah berundur akhirnya, siapakah gerangan yang beliau fikirkan sebagai Perdana Menteri yang baru?
Tetapi Dr Mahathir tidak memberikan kita jawapan secara langsung. Beliau memberikan bayangan yang tidak jelas dan hanya menjawab sesiapa yang jujur ​​boleh mengambil alih tampuk pemerintahan. Dalam masa yang sama beliau soalah-olah memberi gambaran kepada kita bahawa lelaki yang ada dalam fikiran beliau adalah Ku Li.
Sekarang Dr Mahathir mahu kita menyokong beliau lagi dalam usaha untuk menggulingkan Najib. Janganlah bimbang siapa pengganti Najib. Sesiapa pun akan menjadi lebih baik daripada Najib. Ya, kita masih ingat apabila dulu kita diberitahu dahulu bahawa ada orang yang lebih baik daripada Dr Mahathir dan kemudian ada orang yang lebih baik daripada Abdullah. Sekarang ini kita diberitahu ada gerangan yang lebih baik daripada Najib pula.
Ini adalah kali ketiga kita diberitahu bahawa ada orang yang lebih baik daripada Perdana Menteri yang sedia ada. Dan sudah dua kali mereka gagal buktikan. Jadi, apakah yang membuatkan mereka fikir mereka tidak gagal lagi pada kali ini?
Apa yang menjadi masalahnya ialah kita hanya bercakap mengenai penukaran Perdana Menteri. Kita tidak bercakap mengenai cara mengubah budaya politik dan sistem politik. Jadi, tukar sahaja kepada Perdana Menteri baru, tapi masih meneruskan parkara yang sama. Ia seperti hanya menukar baju pada badan yang sama. Dan kita sudah lakukan kesilapan ini sebanyak dua kali sebelum ini. Adakah kita melakukannya untuk ketiga kalinya dan akan terus terbukti bahawa kita tersilap langkah lagi?
Ada yang berpendapat bahawa pilihan lain yang ada adalah dengan bukan sahaja menukar Perdana Menteri Umno dan Barisan Nasional tetapi mengubah keseluruhan kerajaan. Kita tendang Umno dan Barisan Nasional keluar dan kita gantikannya dengan kerajaan baru.
Pastinya ia akan menjadi alternatif yang lebih baik jika Umno dan Barisan Nasional sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Tetapi menukar Barisan Nasional dengan siapa? Adakah dengan Pakatan Rakyat?
DAP telah mendakwa bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Pakatan Rakyat sudah mati. Dan, walaupun mereka sedang membentuk pakatan pembangkang baru bagi menggantikan Pakatan Rakyat, PAS tidak akan dijemput atau dibenarkan untuk menyertai gabungan pembangkang baru ini.
DAPlah yang telah memusnahkan pakatan pembangkang yang pertama dipanggil Gagasan Rakyat selepas pilihan raya umum 1990. DAP sekali lagi menghancurkan pakatan pembangkang kedua yang dikenali sebagai Barisan Alternatif selepas pilihan raya umum 1999. Dan kini DAP telah menguburkan pakatan pembangkang ketiga yang dinamakan Pakatan Rakyat. Dan setiap kali mereka bertindak demikian, alasannya adalah sama, mereka tidak senang dengan PAS.
Jadi sekarang mereka mahu membentuk pakatan pembangkang keempat dalam tempoh 25 tahun dan PAS tidak akan menjadi sebahagian daripadanya. Dan ini adalah pakatan pembangkang baru yang mereka tawarkan kepada kita sebagai gantian kepada Barisan Nasional.
Ini tidak memberi gambaran bahawa pakatan terkini dan yang keempat dalam tempoh 25 tahun adalah cukup stabil untuk mengambil alih negara ini. Apa jaminan yang kita ada bahawa gabungan terbaru ini akan bertahan apabila tiga gabungan sebelum ini tidak kekal? Dan pada setiap kali ianya berlaku DAPlah yang memfailkan perceraian.
Jadi, ya Malaysia memang memerlukan perubahan. Tetapi ia mesti menjadi lebih daripada sekadar menggantikan Perdana Menteri atau perubahan gabungan parti pemerintah. Dalam pada itu, sehingga seseorang itu boleh meyakinkan saya bahawa mereka boleh menawarkan perubahan kepada yang lebih baik bukannya ulangan kesilapan yang sama, saya akan tetap bersetuju dengan PAS dan ‘biarkan’ Perdana Menteri sekarang ini kekal, kerana setakat ini apapun perubahan yang kita telah alami – sama ada gantian Perdana Menteri atau perubahan gabungan parti pemerintah – ternyata belum terbukti ianya lebih baik daripada yang sebelumnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.