`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 7, 2015

ZAHID PERLU HENTIKAN GANGGUAN POLIS KEPADA SPRM, SIASAT BOCOR MAKLUMAT KEMUDIAN

Isu derma RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak bukan lagi sekadar isu politik yang memanaskan topik perbualan dalam masyarakat dan sama ada salah atau betul perbuatan itu, tetapi telah menjadi perkara yang meruntuhkan sebahagian sistem dalam pentadbiran negara.

Disebabkan wang tersebut, SPRM dan PDRM saling berbalah dan seolah-olah sedang bermusuh, manakala Jabatan Peguam Negara yang berhak terhadap sesuatu pendakwaan pula semakin tidak diyakini oleh masyarakat berikutan Gani Patail tiba-tiba disingkirkan daripada jawatannya.

Walaupun SPRM sudah membersihkan nama Najib berhubung sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya dengan mentaktifkannya sebagai derma, tetapi badan itu masih lagi menyiasat berkaitan SRC Internanational Sdn Bhd yang turut menyumbang sebahagian daripada jumlah tersebut.

Melalui pendedahan The Wall Street Journal sebelum ini, SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan didakwa menyalurkan RM50 juta kepada sebuah syarikat subsidiarinya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, yang kemudian disumbangkan kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd dengan jumlah yang sama.

Ihsan Perdana yang merupakan syarikat berkaitan perlaksanaan tanggungjawab sosial bagi 1MDB kemudian menyalurkan pula sebanyak RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib. RM8 juta lagi dikekalkan dalam akaun syarikat itu.

Siasatan terhadap SRC International dan kaitannya dengan Najib ialah berikutan syarikat itu telah dibantu mendapatkan dana Kumpulan Wang Amanah Pencen sebanyak RM4 bilion sebelum ini. Sumbangan RM50 juta kepada Ihsan Perdana dan RM42 juta daripadanya dimasukkan ke akaun Najib didakwa kerana bantuan pinjaman yang diperolehinya itu.

Ini bermakna secara tidak langsung daripada RM2.6 bilion itu terdapat sebahagian kecil wang berkaitan 1MDB iaitu RM42 juta manakala AS$681 juta lagi dimasukkan daripada luar negara melalui Falcon Private Bank.

Dalam pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini, SPRM bertanggungjawab menyiasat unsur-unsur rasuah berkaitan SRC International ini, termasuk juga sudah menahan reman CEO Ihsan Perdana, Dr Shamsul Anwar Sulaiman.

Walaupun pasukan petugas khas sudah dibubarkan oleh Peguam Negara yang baru Apandi Ali, tetapi SPRM tetap menyatakan tugas mereka menyiasat kes berkaitan SRC International belum berakhir dan berazam untuk menyelesaikannya dengan telus dan adil.

SPRM juga berpegang kepada Seksyen 72 Akta SPRM 2009 yang memberikan kekebalan undang-undang kepada pegawainya dalam menjalankan siasatan berkaitan kesalahan di bawah akta tersebut memandangkan penyiasatan yang dijalankan adalah dengan suci hati.

Bagaimanapun, belum pun SPRM habis melaksanakan tugasnya itu, beberapa pegawai dan kakitangan mereka telah ditahan oleh pihak polis atas dakwaan membocorkan maklumat. Maklumat bocor yang sedang disiasat itu ialah berkaitan perbankan dan deraf kertas pertuduhan terhadap Najib oleh Sarawak Report baru-baru ini.

Tiadanya siasatan berkaitan maklumat palsu memberi andaian kepada umum bahawa segala pendedahan yang tersebar sebelum ini, termasuk deraf kertas pertuduhan, adalah benar dan sahih.

Melalui penahanan dan serbuan terhadap sembilan pegawai SPRM setakat ini, bukan saja mereka disoal siasat, bahkan dokumen dan komputer riba turut dirampas oleh polis. Rumah juga turut diserbu. Ini bukan saja menimbulkan takrifan sebagai gangguan dan ancaman, bahkan seperti menghalang SPRM daripada meneruskan tugas mereka.

Meskipun Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mempertahankan tindakan mereka dengan alasan untuk sama-sama mencari kebenatan, namun SPRM tetap rasa terganggu.

Sebab Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mustafar Ali secara terbuka menyatakan rasa kesalnya atas tindakan polis itu kerana ia menjejaskan penyiasatan mereka.

Yalah...kalau dokumen dan komputer sudah dirampas, tentunya siasatan jadi terbantut dan tergendala. Keadilan juga sukar ditegakkan kerana bukti-bukti sudah tiada lagi dalam tangan, kecuali jika SPRM ada menyimpan salinannya di tempat lain yang lebih selamat.

Dalam hal ini, tidak menghairankan apabila SPRM mendapat simpati masyarakat yang melimpah. Selain dikunjungi pemimpin pembangkang untuk menyatakan sokongan moral, luahan di internet menyokong SPRM agar meneruskan tugas dengan telus dan adil juga datang bertalu-talu.

Betapa SPRM seperti sudah hilang daya dalam melaksanakan tanggungjawab kerana gangguan pihak polis ini sehingga terpaksa mengadakan solat hajat memohon petunjuk dan kekuatan daripada Tuhan. 

Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zain, dengan marah bersumpah untuk mencari dalang yang mengarahkan penahanan pegawainya itu sehingga ke lubang cacing selepas ini. Sambil menganggap tindakan polis sebagai "kerja gila", beliau berkata, ia tidak mungkin berlaku tanpa arahan seseorang.

Dengan rosak dan runtuhnya sebahagian sistem bernegara melalu perbalahan terbuka antara kedua agensi itu, semuanya kerana isu RM2.6 bilion, langkah terbaik yang harus diambil ialah menghentikan segera tangkapan, penahanan dan serbuan oleh polis terhadap SPRM.

SPRM harus diberi ruang melakukan tugas penyiasatannya terhadap SRC International terlebih dahulu sebelum tindakan lain mahu diambil terhadap mereka. Jika ada kes, terserahlah kepada Peguam Negara mengambil tindakan seterusnya, manakala jika tiada kes ia mesti diumumkan sebab-sebabnya.

Selepas habis tugas SPRM itu, barulah polis sepatutnya menjalankan tugasnya mengenai kebocoran maklumat sama ada berkaitan deraf pertuduhan, perbankan mahu pun melibatkan aktiviti mengganggu demokrasi berparlimen.

Ketika itu bukan saja SPRM, malah Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara juga boleh disiasat. Tetapi apabila polis melakukan penahanan di ketika SPRM sedang menjalankan tugasnya, ia tentulah dianggap mengganggu tugas agensi pembanteras rasuah itu serta dilihat seolah-olah mahu melindungi Perdana Menteri.

Lebih buruk lagi ialah sebelum wujudnya gangguan terhadap SPRM ini, Gani Patail telah pun disingkirkan beberapa jam sebelum Muhyiddin Yassin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dengan ini, dalam pasukan petugas khas yang dianggotai oleh empat agensi itu, hanya Bank Negara saja belum dikacauganggu, meskipun semakin kuat desas-desus Zeti Akhtar Aziz bakal ditukar sebagai Gabenor Bank Negara.

Demi memulihkan imej negara dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis, haruslah segera mengeluarkan arahan kepada PDRM agar menghentikan siasatan, penahanan serta serbuan terhadap SPRM ini.

Sesuai dengan kuasa dan peranan SPRM sebagai badan bebas setelah dinaiktaraf daripada Badan Pencegah Rasuah, ia semestinya dibiarkan menjalankan tugasnya tanpa sebarang gangguan. Kacauganggu oleh polis bukan saja memburukkan imej pemimpin dan kerajaan, malah menyebabkan kebosanan di kalangan rakyat.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri yang ada sedikit sebanyak asas agama dan mungkin lebih takutkan Tuhan berbanding Najib, Zahid wajib membuktikan dirinya tidak hilang jati diri meskipun setelah diberikan jawatan tinggi.

Kegagalan Zahid berbuat demikian akan menyebabkan beliau juga dilihat semacam ingin melindungi dan mempertahankan sama Perdana Menteri yang semakin dibenci dan dijauhi ketika ini. Kakitangan kerajaan yang ingin melaksanakan tugas dengan jujur, adil dan amanah demi kepentingan negara seharusnya dilindungi serta diberi galakan, bukannya ditekan dalam menegakkan keadilan. 

Malaysia akan menuju kehancuran dan kemusnahan jika kerosakan sistem dalam negara ini tidak segera dibendung sebagaimana runtuhnya banyak negara sebelum ini dan Zahid yang menjaga polis akan sama-sama tenggelam jika gagal berbuat apa-apa memulihkan kerosakan yang berpunca daripada Najib ini. 

Luahan hati SPRM terhadap gangguan polis kepada mereka...

Tindakan polis menyiasat mengenai kebocoran deraf kertas pertuduhan memberi gambaran ia adalah benar dan sahih...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.