`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 27, 2016

TEKA-TEKI HUDUD

Image result for hadi, parliament and Hudud

Secara tiba-tiba usul Hadi Awang untuk meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah yang gagal dilakukannya sebanyak empat kali sebelum ini iaitu sejak 1995, diluluskan oleh kerajaan untuk dibentangkan pada hari terakhir persidangan Parlimen, hari ini.

Usul Pas ini, jika diluluskan akan membolehkan Mahkamah Syariah di Kelantan menggunakan undang-undang syariah seperti yang ditetapkan oleh Enakmen Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan dan seterusnya memberi laluan kepada perlaksanaan hukum hudud di negeri tersebut.

Bagaimanapun, sebaik diberi kelulusan untuk membentangkan usul tersebut, Hadi Awang memohon ia ditanggungkan sehingga ke sesi Parlimen pada 17 Oktober depan.

Mengapa kerajaan tiba-tiba memberi kebenaran dan mengapa pula Hadi Awang menangguhkannya?

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan pembentangan usul itu, Hadi Awang memberi alasan beliau menangguhkannya disebabkan kekangan masa berikutan hari ini adalah hari terakhir sesi Parlimen kali ini.

Benarkah ia semata-mata sebab itu? 

Bukankah Hadi sepatutnya sudah bersedia dengan draf pembentangan sepanjang masa?

Selain itu, tidakkah juga usul boleh dibentangkan terlebih dahulu, cuma perbahasan saja yang ditangguhkan?

Dalam konteks UMNO dan kerajaan, mengapa tiba-tiba bersetuju dengan pembentangan usul berkenaan sedangkan ia seolah-olah tidak dibenarkan untuk dibentang sebelum ini, bahkan Najib Razak sendiri pernah mengatakan hudud tidak akan dilaksanakan sama sekali di Malaysia?

Mengapa sepantas itu UMNO tiba-tiba berubah?

Adakah kelulusan pembentangan ini bertujuan mengikat Pas untuk terus "kacau daun" bertanding dan menolak sebarang kompromi dengan PKR dalam  pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan datang?

Pas yang boleh dikatakan tiada harapan untuk mendapat undi bukan Melayu sekarang ini,  maka dengan kerjasama melalui usul hudud itu akan membolehkan Pas memperolehi lebih sokongan daripada blok undi Melayu yang pro pembangkang berbanding calon Pakatan Harapan yang turut bertanding.

Natijahnya, hanya blok undi Melayu pro pembangkang yang akan berpecah, manakala yang pro kerajaan  tetap tidak berubah dan terus terarah kepada BN.

Dengan sedikit sokongan pengundi bukan Melayu, maka kelebihan tentu saja akan memihak kepada BN  berbanding Pakatan Harapan. Calon Pakatan Harapan, walaupun mungkin mendapat lebih sokongan bukan Melayu, tetapi kemenangan mereka boleh dinafikan melalui undi Melayu yang lebih kecil dan berpecah dengan Pas.

Pas yang terpaksa berbahagi dua undi blok Melayu pro pembangkang dengan calon Pakatan Harapan, tetapi tidak mendapat sokongan bukan Melayu, hakikatnya tidak mungkin menang, baik di Sungai Besar mahupun di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, Pas mungkin boleh berpuas hati meskipun kalah kerana usul hudud mereka yang diberi pertimbangan oleh kerajaan sudah boleh dianggap sebagai kemenangan.

Dengan kebenaran yang diberi oleh kerajaan ini, sudah barang pasti kempen Pas di kedua-dua pilihanraya ini tidak lagi menyasarkan keburukan UMNO, isu 1MDB, wang RM2,600 juta dan hal-hal berkaitan Najib dalam kempen-kempennya.

Penangguhan usul sehingga Oktober juga tidak terkecuali bertujuan memberi ruang kepada UMNO yang dikelilingi oleh parti-parti kompenan dalam BN yang diketahui menolak hudud agar  tidak terlalu terbelenggu dengan isu tersebut dalam menghadapi dua pilihanraya yang dianggap penting untuk menguji sokongan rakyat terhadap Najib.

UMNO mungkin boleh melembutkan hati rakan-rakan komponennya bahawa yang diberikan mereka setakat ini hanyalah kebenaran kepada Pas dalam membentangkan usul, bukannya sokongan terbuka kepada hudud.

Persoalannya ialah apa pendirian UMNO dan BN selepas pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar atau ketika pengundian di Parlimen setelah usul dibentangkan Oktober nanti?

Atau lebih jauh, benarkah Najib dan UMNO benar-benar mahukan hudud dilaksanakan? (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.