`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 1, 2017

KENYATAAN MEDIA DATUK RUHANIE AHMAD, NAIB PRESIDEN PERKASA MALAYSIA.

Image result for perkasa


1.   Perkasa Malaysia mendesak pemerintah membentangkan satu kertas putih yang komprehensif mengenai status ekonomi negara akibat pelbagai kecelaruan iktisad mutakhir ini.

2. Ini kerana ekonomi Malaysia sekarang adalah haru-biru akibat berbagai-bagai skandal dan salah guna kuasa, melibatkan beberapa syarikat milik kerajaan (GLC).

3. Perkasa harap, jangan  disebabkan PRU14 akan tiba, rakyat dipaksa untuk yakin secara membabi buta, bahawa ekonomi negara memang stabil, positif, dan memberangsangkan.

4.  Rakyat hanya akan buat keputusan mengenai status ekonomi negara selepas pembentangan kertas putih ini.

5. Mereka mahukan kertas putih ini kerana petunjuk kepada kesihatan ekonomi sesebuah negara, bukan hanya berasaskan KDNK, jumlah pelaburan asing, dan lain-lainnya

6. Rakyat juga tahu, indikator kesihatan ekonomi sesebuah negara bukan hanya diukur mengikut statistik dan laporan-laporan badan penarafan dan pengurusan kewangan antarabangsa.

7. Ekonomi sesebuah negara perlu juga diukur dari sudut insani pengurus ekonomi dan ketua eksekutif negaranya, yang merangkumi elemen akhlak, integriti, dan akauntabiliti kepada rakyat

8. Selain di atas, pemerintah perlu sedar bahawa kelompok rakyat yang berinformasi kini amat insaf, satu skandal ekonomi yang mungkin lebih besar daripada kes 1MDB, melibatkan sebuah syarikat gergasi negara, dijangka meletus tidak lama lagi.

9. Dalam konteks ini, benar atau tidak bahawa sebuah syarikat milik PETRONAS yang beroperasi di sebuah negara asing, sudah gulung tikar, setelah melabur berbillion ringgit?

10. Benarkah jumlah wang yang sudah dilaburkan adalah lebih besar daripada wang yang membabitkan1MDB? Benar atau tidak, cadangan PETRONAS untuk melabur di negara asing ini pernah ditolak oleh pengurusan Tan Sri Hassan Merican?

11. Benarkah, cadangan yang sudah ditolak ini, dibawa semula untuk kelulusan PETRONAS di bawah pengurusan barunya, dan diluluskan tanpa sebarang kajian risiko yang komprehensif?

12. Benar atau tidak, pelaburan tersebut kini dibatalkan kerana pengurusan PETRONAS mutakhir, tidak mahu kerugian lebih besar akibat salah keputusan yang dibuat sebelumnya?

13. Seterusnya, kelomppok rakyat yang berinformasi, juga maklum bahawa Khazanah Nasional, tidak lama lagi dijangka menjual PLUS, yang turut dimiliki oleh KWSP.

14. Kalau ini benar, rakyat perlu diberitahu, apa akan jadi kepada saham KWSP dalam PLUS, dan kalau saham KWSP dalam PLUS turut dijual, tidakkah ini merugikan pencarum-pencarum KWSP?

15. Terbaru sekali, rakyat Malaysia yang berinformasi, mendapat maklumat, bahawa skandal FGV telah menyebabkan banyak pihak turut kerugian besar.

16. Contohnya, benar atau tidak bahawa kejatuhan saham FGV kebelakangan ini menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada KWSP, Tabung Haji, LTAT, PERKESO, Kerajaan Negeri Pahang, dan ASB?

17.  Rakyat perlu tahu, apakah pendekatan pemerintah untuk mengatasi fenomena kerugian ini? Tidakkah pemerintah prihatin bahawa fenomena ini menjejaskan pelaburan dan caruman rakyat jelata dalam organisasi-organisasi berkenaan?

18. Rakyat Malaysia yang berinformasi juga bimbang bahawa projek ECRL yang melibatkan pelaburan China mungkin menyebabkan Malaysia menanggung beban hutang yang besar di hari muka.

19. Jika benar, tidakkah ini bermakna bahawa Malaysia akan dilanda petaka besar di hari-hari mendatang, sama dengan petaka yang telah menimpa beberapa negara lain yang berurusan dengan syarikat-syarikat China sebelum ini.

20. Berdasarkan pelbagai kemusykilan di atas, Perkasa yakin bahawa pemerintah mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskannya kepada rakyat.

21. Cara terbaik dalam hal ini adalah menerusi pembentangan di Parlimen Malaysia, satu kertas putih mengenai status ekonomi negara yang telus dan komprehensif.

22. Maklumat-maklumat dalam kertas putih ini akan membolehkan rakyat menggunakan kuasa demokrasi mereka menerusi peti undi dalam PRU 14 kelak, secara bijaksana.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.