`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, July 18, 2017

TAKUT DIGELAR ‘KAFIR’, AHLI PAS SERTAI BERSATU BUKAN AMANAH

APABILA PAS berpecah dua dan melahirkan Amanah, ahli yang tidak berpuas hati dengan parti itu secara logiknya patut menyertai Amanah, tetapi sebenarnya ramai antara mereka menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (bersatu), parti dipimpin Dr Mahathir Mohamad.
Sekurang-kurangnya tujuh ketua cawangan PAS bersama ahli mereka di Jerlun, Kedah keluar meninggalkan parti itu secara diam-diam dan menyertai Bersatu, bukannya Amanah.
Alasannya ialah jika mereka menyertai Amanah, pelbagai masalah akan dihadapi, dituduh pengkhianat, dikafirkan, dipulaukan daripada majlis kenduri dan pelbagai serangan lagi oleh pengikut taksub PAS.
Jadi, selepas tidak senang dengan pendekatan PAS yang dianggap lari daripada perjuangan selama ini, ramai ahli PAS di Jerlun menyertai Bersatu, bukannya Amanah.
Salah seorang daripada mereka, Irwan Mahmud, 36, yang juga bekas pemimpin Pemuda PAS Jerlun yang kini menjadi orang kuat Bersatu di DUN Air Hitam, kawasan Mukhriz Mahathir.
“Kami tinggalkan PAS kerana tidak puas hati dengan pendekatan PAS sekarang. Namun kami tidak boleh sertai Amanah. Kalau sertai Amanah, kami akan dikenakan pelbagai tindakan oleh pengikut tegar PAS.
“Kami sertai Bersatu. Lagipun, kami dapati Bersatu mendapat sokongan kuat di Kedah ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Irwan berkata PAS hari ini lari daripada segi politik khasnya yang diasaskan bekas presiden PAS dihormati ramai, Fadzil Nor apabila mereka menjauhi pembangkang dan mendekati Umno yang menjadi musuh PAS sejak sekian lama.
“Ramai yang pegang jawatan dalam PAS sekarang bagi saya agamawan plastik. Mereka kata hendak perjuangkan Islam tetapi realiti kerja mereka tidak begitu,” katanya.
Katanya, PAS sekarang sama macam Umno.
Kalau Umno memperjuangkan bangsa dan melabel siapa yang lari daripada parti itu sebagai pengkhianat bangsa, PAS pula melabelkan sesiapa keluar parti sebagai pengkhianat Islam.
“Sukar bagi kami untuk menyertai Amanah kerana kepimpinan PAS berjaya meletakkan imej sesiapa yang keluar PAS, masuk Amanah adalah orang yang kecewa dan wala (patuh) kepada DAP.
“Kalau kami masuk Amanah, kami akan dipulaukan, kenduri kami tidak sertai, kalau kami ke surau pun mereka tidak layan,” katanya.
Irwan berkata sebenarnya ramai yang hendak meninggalkan PAS kerana tidak lagi setuju dengan hala tuju parti itu, tetapi mereka terpaksa melakukannya senyap-senyap kerana takut.
“Saya terangkan kepada mereka, keluar PAS bukan keluar Islam. Kalau ada rukun Islam, keluar PAS ni keluar Islam, saya pun tak mahu keluar.
“Ia hanya macam tukar kereta saja, bukan tukar bini. Tukar kereta apa salahnya,” katanya.
Bekas pengarah penerangan Kedah ketika PAS memerintah negeri itu Zulkifli Yahaya berkata fenomena keluar PAS dan masuk Bersatu ini memang benar-benar berlaku.
“Mereka takut masuk Amanah kena pulau ahli PAS,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata fenomena itu setakat ini banyak berlaku di Jerlun dan Alor Setar.
“Selain faktor takut putus kawan dengan PAS, Jerlun memang pusat kegiatan Bersatu dengan adanya Mukhriz di sana,” katanya.
Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh berkata ramai antara ahli dan penyokong PAS yang bertemu dengannya menceritakan keadaan takut keluar PAS dan masuk Amanah kerana tidak mahu dipulaukan.
“Mereka enggan menyertai Amanah secara terang terangan kerana tidak mahu ada masalah dengan ahli PAS, tetapi mereka mengakui tidak akan mengundi PAS lagi dalam pilihan raya akan datang,” katanya yag juga bekas exco Kedah ketika PAS memerintah negeri itu pada 2008.
– https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.