`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 15, 2017

Kawasan kejiranan di PJ jadi ‘sumber manusia’ ahli politik cari remaja upahan

Di Taman Lindungan Jaya, ramai anak muda sanggup melakukan kerja yang disuruh parti politik tertentu dengan upah serendah RM20.
jalan-pjs-1
PETALING JAYA: Sebuah kawasan kejiranan di Selangor yang dihuni penduduk yang rata-rata berpendapatan kecil dan sederhana merupakan antara “sumber manusia” bagi pelbagai aktiviti politik, dan mungkin juga menyertai perhimpunan bertujuan menimbulkan kekecohan, menurut tinjauan FMT.
Taman Lindungan Jaya yang terletak di Petaling Jaya Selatan sarat dengan rumah teres dan rumah pangsa kos rendah, dan pemandangan anak muda dan remaja berpeleseran sesuatu yang biasa di sini.
Pengunjung ke sini mungkin tidak sukar mengaitkan kawasan ini dengan ekonomi sempit dan masalah sosial. Di sinilah juga antara kawasan yang terkesan daripada pergaduhan berbaur perkauman hampir 2 dekad lalu selepas salah faham melibatkan tuan rumah sebuah majlis perkahwinan dan sebuah keluarga yang menguruskan jenazah.
Walaupun pergaduhan seumpama itu kini menjadi sejarah hitam yang cuba dilupakan, tidak banyak yang berubah di kawasan ini dari segi ekonomi dan sosial.
Apa yang menarik adalah kawasan ini menjadi pembekal sumber manusia kepada parti politik yang mahu penyertaan anak muda untuk meramaikan pelbagai majlis dan perhimpunan anjuran mereka, termasuk yang kerap menimbulkan kekecohan.
“Sebenarnya, remaja di sini tidak aktif untuk menyertai mana-mana parti atau terlibat dalam politik. Mereka kebanyakan tidak campur dan aktif bersukan,” kata seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan.
“Tetapi mereka mungkin dibayar RM20, RM30, diberi makanan percuma dan disediakan pengangkutan. Itu perkara biasa,” katanya.
Ia tidak memeranjatkan, kerana salah seorang daripada 3 remaja yang ditahan pada forum “Nothing to Hide” dianjurkan PPBM Ahad lalu beralamatkan kawasan kejiranan ini.
Polis semalam menahan reman 3 remaja berusia antara 17 dan 19 tahun yang disyaki mencetuskan kekecohan pada program itu dengan membaling suar dan objek lain ke arah pentas, ketika ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad, memaksa penganjur menamatkan forum tersebut serta merta.
Selain Taman Lindungan Jaya, 2 remaja lain masing-masing berasal dari Setapak, Kuala Lumpur dan Perlis, menurut alamat tertera di kad pengenalan mereka.
Portal The Malaysian Insight pula memetik sumber yang rapat dengan polis sebagai berkata mereka diupah RM50 ringgit bagi menimbulkan kekecohan.
Percubaan mengunjungi ahli keluarga salah seorang remaja itu bagaimanapun gagal, dan kehadiran FMT tidak disenangi beberapa jiran sekeliling yang enggan bercakap dengan media dengan alasan mempunyai hubungan baik dengan keluarga suspek.
Seorang penduduk tempatan bagaimanapun berkata adalah sesuatu yang biasa remaja menjadi sasaran pemimpin politik.
“Remaja ini juga mungkin diceritakan perkara yang tidak betul sehingga menyebabkan mereka marah dan sanggup melakukan kekecohan itu,” katanya.
Menurutnya, upah RM20 dan RM30 kepada anak muda di Taman Lindungan Jaya suatu perkara biasa,
Sebelum ini, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman mendakwa wujud usaha sistematik untuk mensabotaj forum pada Ahad lepas, dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada “remaja upahan” yang menyamar sebagai ahli sayap itu dengan memakai baju T palsu PPBM.
Dalam pada itu, percubaan FMT untuk mendapatkan komen daripada saudara mara salah seorang remaja ditahan di Taman itu tidak berjaya dan tidak mendapat kerjasama daripada mereka. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.