`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, August 12, 2017

RUMAH UMNO JANGAN DIBIARKAN MUSNAH, KATA ZAHID

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli Umno sama-sama mempertahankan “Rumah Umno” daripada dicerobohi oleh pihak, termasuk beberapa bekas pemimpin, yang mahu melihat parti itu musnah.
Menyamakan parti keramat berusia 71 tahun itu sebagai “rumah”, Zahid yang juga naib presiden Umno menjalankan tugas timbalan presiden, berkata sememangnya menjadi tanggungjawab ahli parti untuk mempertahankan rumah itu daripada segala ancaman.
“Kita yang berada di rumah Umno ini, memang tanggungjawab kita menentukan jika rumah kita bertingkapkan kaca, berdindingkan besi, kita tidak mahu mana-mana tokoh atau bekas pemimpin atau individu cuba membaling batu ke cermin tingkap rumah kita,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Baru, malam tadi.
Beliau mengakui bukan mudah untuk mempertahankan “rumah Umno” yang berusia 71 tahun, namun tiang seri parti itu disifatkan masih kukuh dan perlu terus dipertahankan, selain dipermodenkan mengikut peredaran semasa.
“Rumah itu harus dipertahankan dan jangan dirobohkan untuk jadi rumah baru kerana tiang serinya masih kukuh, lantai yang mula bocor itu kita tampal dan jika boleh kita ganti lantai dengan lantai baru,” katanya.
Zahid turut mengingatkan semua ahli Umno Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang dianggap sebagai ibu kepada PRU dan merupakan satu peperangan besar bagi parti keramat itu.
“Sebagai pejuang parti, kita bukan pejuang materialistik tetapi untuk memastikan kemenangan, kita memerlukan komitmen semua untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, Zahid turut meminta ahli terus berjuang walaupun menghadapi apa jua bentuk cabaran yang datang.
“Itu semua perkara lama, kita kena ada daya tahan. Kita tidak boleh menoleh ke belakang. Bila kita pandu kereta, kita tidak boleh toleh ke belakang kerana kita akan kemalangan. Sesekali kita boleh jeling dan tengok cermin ke belakang.
“Ertinya kita tidak boleh menoleh ke belakang dalam perjuangan kita. Kita kena teruskan perjuangan kita,” katanya.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pulai yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Md Jais Sarday.
– Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.