`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 2, 2017

SIAPA KENA ‘TALKIN’: UMNO ATAU PEMBANGKANG?

KUALA LUMPUR – Umno terus wujud dan kuat walaupun acap kali usaha “mentalkinkan” parti itu dilakukan, khususnya melalui serangan yang berpusat kepada kepimpinan parti, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Naib presiden Umno, yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno, itu berkata tokoh utama Umno dijadikan “tarikan graviti” yang “disimbah” dengan pelbagai fitnah dan tohmahan bagi membunuh perwatakan dan menghilangkan kebolehpercayaan rakyat, biar pun pemimpin itu mempunyai trek rekod yang baik serta bersih.
Namun jelasnya, Umno terus utuh kerana kepimpinan parti itu memperjuangkan agenda inklusif meliputi pelbagai kaum, agama dan bangsa meskipun keindukan perjuangan Umno yang berpaksikan orang Melayu dan kesyumulan Islam.
“Pentalkinan ini saya khuatir akan berlaku pada satu pihak lain (pembangkang) dan kita tahu telah acap kali usaha untuk mentalkinkan Umno ini dilakukan, hasilnya dengan usaha keras, doa dan takdir Allah, Umno masih wujud bukan hanya dalam bentuk ‘horizontal’ tetapi ‘vertical’  sehingga pemerkasaan Umno itu dapat dirasakan. Malah dalam keadaan begini, Umno terus menjadi tulang belakang kepada komposisi Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara Khas terbitan Bernama News Channel sempena Persidangan Agung Umno 2017, dihoskan Datuk Dahlan Maamor.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata serangan itu tetap akan berulang dengan jalan cerita yang berbeza khususnya menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata ia diburukkan lagi dengan tuduhan dilemparkan melalui dalam talian yang menjadi sumber maklumat khalayak berbanding media konvensional, sehingga mengaburi pandangan rakyat.
“Kita lihat sistem komunikasi telah berbeda. Dahulu ada surat layang dan selepas itu ada buku layang dan sekarang ini tidak perlu ada surat dan buku layang.
“Ia terdedah menerusi media dalam talian yang etika jurnalisme tidak lagi menjadi keutamaan biarpun portal itu adalah portal berita.
“Apatah lagi penggempur siber yang bukan hanya menghujani tetapi meributkan suasana dengan badai yang membawa tompok awan hitam bagi mengaburi pandangan dan objektif daripada khalayak,” katanya.
Katanya, sudah menjadi lumrah sesuatu keburukan itu umpamanya isu berkaitan pemimpin mudah diterima masyarakat manakala sesuatu kebenaran pula jarang dapat diterima.
“Berita paslu adalah kaedah baharu kerana dunia tanpa sempadan, langit semakin terbuka dan dunia telah disejagatkan… ini adalah gelombang yang tidak boleh kita elak, tetapi saya menyeru kepada diri saya dan kita semua bahawa Allah SWT telah memberikan kita fikiran, maka berfikirlah dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.
Bagaimanapun Zahid berkata parti tunjang BN itu cukup bertuah kerana mempunyai presiden dan perdana menteri yang mempunyai daya tahan luar biasa serta boleh menjadi ikutan kepada semua anggota parti.
“Kita tahu tuduhan yang dibalingkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu pelbagai termasuk beliau suatu ketika dituduh sebagai pembunuh apabila kes yang sama-sama kita ketahui, dianggap dan dibalingkan sebagai perompak kerana kononnya merompak wang dalam satu dana pelaburan kerajaan atau pun memperolehi dana politik dari sebuah negara sahabat yang kononnya digunakan untuk kepentingan peribadi.
“Jadi tuduhan-tuduhan yang begini adalah tuduhan yang berhajat untuk membunuh perwatakan yang pada hemat saya agenda yang digaris bawahi oleh musuh-musuh politik untuk meletakkan tarikan graviti itu pada tingkat paling bawah dan menghilangkan rasa kepercayaan rakyat kepada pemimpin itu,” tambahnya.
Justeru, beliau berkata penting bagi jentera Umno melakukan usaha proaktif dalam talian bagi menjawab segala isu yang dibangkitkan kerana ia mampu mengubah persepsi rakyat terutama kumpulan pertengahan yang sentiasa melihat usaha dilakukan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan negara.
“Dalam perkara ini, pentingnya usaha-usaha proaktif yang dilakukan oleh hulubalang papan kekunci ini untuk bukan hanya menjawab tetapi menyediakan satu ‘drop box’ terhadap isu yang harus dimasukkan ke dalam lejar politik untuk dihadamkan sebagai isu-isu politik untung dan rugi yang akhirnya kita menyediakan lejar keseimbangan politik, perimbangan kira-kira politik untuk melihat untung atau rugi aset dan liabiliti yang diperolehi,” katanya.
Namun kata Ahmad Zahid usaha itu, perlu dilakukan secara bijaksana dan tertib kerana rakyat Malaysia terutama orang Melayu tidak suka dengan pendekatan yang mengaibkan, memburukkan dan ‘hit below-the-belt’ dalam menangani isu yang dibangkitkan.
Tambahnya lagi, anggota Umno harus bekerjasama dan mengukuhkan sifat kebersamaan dalam menghadapi isu-isu yang menyerang parti dan kepimpinan.
“Kita harus yakin kepada diri kita, yakin kepada kepimpinan parti kita dan jika kita tidak yakin kepada diri, parti dan pemimpin kita, maka berakhirlah sejarah kita,” ujarnya.
— Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.