`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, May 31, 2018

Ubat, makanan hospital dan cadangan lain kepada menteri kesihatan

Sektor kesihatan memerlukan inisiatif crowd-funding yang berterusan dengan galakan penderma diberikan perlepasan cukai.
KOMEN
Mereka yang mendapatkan rawatan di kelas 3 di hospital awam rata-rata terdiri daripada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Di zaman Barisan Nasional, pemotongan bajet di sektor kesihatan mempunyai kesan yang mendalam terhadap mereka dan juga mewujudkan cabaran kepada para pegawai perubatan di hospital awam.
Berdasarkan pengalaman penulis di wad rawatan kanser Hospital Kuala Lumpur tahun lepas, antara perkara utama yang perlu dipulihkan segera ialah “portion” makanan yang dibekalkan kepada para pesakit kelas 3.
Menurut seorang doktor yang berkhidmat di wad ini, portion makanan telah dipotong kerana langkah penjimatan. Nasi berkurang, dan lauk seperti ayam pun lebih kecil.
Kebanyakan pesakit terpaksa duduk di hospital sepanjang rawatan radioterapi dan kemoterapi kerana tidak mempunyai duit yang cukup untuk dijadikan tambang ambulan untuk dibawa ulang-alik ke rumah. Sepinggan nasi yang dibekal hospital awam dikongsi berdua, untuk sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam.
Oleh itu, langkah segera menteri kesihatan untuk mengarahkan agar portion makanan ini dipulihkan ke portion asal akan banyak membantu para pesakit di kelas 3.
Insentif juga boleh diberikan kepada para pesakit yang membuat deklarasi awal untuk membawa bekal sendiri ke hospital dengan memberikan diskaun ke atas jumlah bayaran yang dikenakan ke atas kemasukan wad. Ini boleh mengelakkan pembaziran berlaku apabila makanan yang dihidangkan tidak dimakan oleh pesakit.
Satu tabung khas juga perlu diwujudkan di setiap hospital untuk meringankan beban pesakit yang terpaksa bergantung kepada ambulan untuk berulang-alik ke hospital. Para penderma yang menderma kepada tabung ini boleh diberikan pelepasan cukai atau penaiktarafan rawatan ke kelas 2 dan kelas 3 mengikut bilangan kali derma dan jumlah yang dilakukan.
Pihak hospital awam juga tidak boleh membuat kesimpulan membuta-tuli bahawa semua pesakit yang dirujuk daripada hospital swasta mampu membayar untuk rawatan kelas pertama di hospital awam.
Tanggapan bahawa mereka yang dirujuk daripada hospital swasta mampu membayar hospital swasta, oleh itu mereka mampu bayar hospital awam kelas pertama, adalah salah. Kebanyakan golongan ini terpaksa dipindahkan daripada hospital swasta kerana insuran yang diberikan syarikat telah habis kuota, dan gaji mereka hanyalah di takuk biasa.
Percayalah sekiranya mereka mampu membayar, mereka akan membayar daripada duduk di wad kelas 3.
Satu skim ganjaran harus diwujudkan kepada ahli keluarga pesakit yang memulangkan ubat-ubatan yang tidak habis digunakan apabila pesakit sudah sembuh atau meninggal dunia, atau pihak kerajaan boleh membelinya kembali pada harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran.
Mereka yang sudi menderma segala peralatan bantuan pesakit juga harus diberikan pelepasan cukai yang sewajarnya kerana ini sangat membantu dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Sektor kesihatan memerlukan inisiatif crowd-funding yang berterusan dengan galakan penderma diberikan perlepasan cukai.
Bayangkan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperuntukan RM5,000 sebagai potongan cukai bagi mereka yang menderma kepada sektor kesihatan, pada kadar cukai individu 28%, kerajaan akan kehilangan RM1,400 hasil cukai tetapi mendapat RM3,600 sumbangan ke atas sektor kesihatan yang memberikan kerajaan untung bersih RM2,200, untuk digunakan di sektor kesihatan.
Dengan ini, sektor kesihatan akan mendapatkan peruntukan lebih daripada kerajaan seperti yang dihajat menteri kesihatan tanpa membebankan kewangan negara yang sudah pasti terjejas dengan cukai perkhidmatan (SST) diganti dengan GST. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.