`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, October 29, 2019

Makna di sebalik teater Uda dan Dara



Jumaat dan Sabtu lalu, 25 dan 26 Oktober mencatatkan suatu peristiwa budaya yang bersejarah bagi Kuala Lumpur kerana berlangsungnya persembahan teater Uda dan Dara yang unik apabila ia diadakan di tempat terbuka di Padang Merbok. Propnya pula adalah realistik dengan suasana bendang diwujudkan apabila jerami padi menjadi hamparan di kawasan itu.
Hanya cuaca tidak menyebelahi persembahan itu kerana pada waktu ini, Kuala Lumpur dilanda musim hujan petang hingga ke malam. Maka begitulah juga apa yang berlaku pada persembahan Jumaat dan Sabtu. Hujan renyai memaksa penonton berpayung dan berbaju hujan tetapi ia tidak mengganggu pertunjukan. Para pelakon dengan semangat teater yang kuat meneruskan persembahan sementara peminat teater tetap tidak berganjak.
Penulis turut bersama khalayak pada Sabtu bagi menonton persembahan itu dalam hujan renyai. Jerami yang basah kerana hujan menimbulkan aroma sensasi bendang.
Tajuk rasmi persembahan itu ialah Teater di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019. Ia merupakan persembahan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama KL International Arts Festival 2019.
Uda dan Dara adalah karya Usman Awang yang diarahkan oleh Dinsman, seorang aktivis Paksi yang terkenal dalam kalangan komuniti sastera, seni dan budaya Kuala Lumpur. Beliau yang aktif sejak 1970-an ketika berada di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melanjutkan aktiviti seninya dalam Grup Teater Elit (GTE) yang turut dikaitkan dengan sasterawan negara itu.
Dinsman yang pernah menulis Puisi Panjang untuk Dr Mahathir Mohamad juga dikenali dalam kalangan aktivis politik pembangkang selepas berlakunya gerakan Reformasi pada 1994. Beliau dikenali rapat dengan aktivis dan aktiviti PKR dan PAS. Pertubuhannya, Paksi menampilkan pendekatan seni untuk rakyat.
Namun selepas pilihan raya umum 2008, beliau diketahui sering menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat sokongan dari kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dalam kegiatan seninya. Sungguhpun begitu, sedikit sebanyak beliau dapat juga tajaan bagi aktiviti teater beliau seperti Teater Atas Pokok yang diadakan di Shah Alam dan persembahan Uda dan Dara di bendang di Tanjung Karang. Beliau bukan saja kreatif tetapi cekal dalam usahanya.
Bagi persembahan Muzika Uda dan Dara di Padang Merbok ini, ternyata beliau berjaya mendapat sokongan banyak pihak terutamanya dari Kementerian Pertanian yang diterajui ahli politik dari parti Amanah.
Tetapi Uda dan Dara, Usman Awang dan Dinsman bukan saja merupakan fenomena seni semata-mata. Ini kerana mereka adalah sarat dengan kandungan ideologi. Mereka adalah antara khazanah bangsa dari kalangan aliran kiri yang menjadi sebahagian daripada arus perdana pemikiran politik negara.
Kehadiran golongan seperti mereka juga menunjukkan bangsa Malaysia bukan saja terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Bukan saja di Malaysia, semua bangsa terdiri daripada pelbagai aliran pemikiran atau ideologi, dari kanan dan kiri, semuanya berkongsi sfera politik negara.
Sinopsis yang diberikan dalam risalah program menyatakan teater Uda dan Dara ialah pertembungan kelas antara kaum modal dengan petani miskin. Ia menggambarkan pengeksploitan dan kezaliman yang mendapat tentangan dari kesepakatan masyarakat kampung untuk bangun dengan semangat perjuangan membara. Mereka bertindak dan berdepan dengan kelompok pemodal bagi menentang kezaliman dan penindasan demi menegakkan keadilan dan menjulang kebenaran.
Tema dan plot ini adalah klise dan lebih kurang sama seperti mana banyak karya beraliran kiri di seluruh dunia pada pertengahan abad ke-20, baik dalam bentuk naskhah propaganda mahupun sastera. Tetapi tema ini tetap popular yang tidak pudar ditelan zaman walaupun sistem ekonomi dan politik dunia sudah banyak berubah.
Naskhah Uda dan Dara adalah hasil era 1960-an dan 1970-an sementara Usman Awang membentuk pemikirannya pada 1940-an dan 1950-an. Pada masa itulah bermulanya tradisi aliran kiri dengan penglibatan banyak sasterawan dan wartawan yang turut memperjuangkan kemerdekaan. Konsep kemerdekaan aliran ini bukan saja bebas daripada penjajahan tetapi juga penindasan.
Sektor paling rapat dengan pejuang kemerdekaan ialah pertanian, yang terdiri daripada petani, nelayan dan pekerja ladang. Usman Awang sendiri sentiasa rapat dengan isu pertanian dan antara sajak beliau yang terkenal ialah “Pak Utih” dan “Nasi Yang Kusuap”.
Pemikiran bagi pembelaan petani dan nelayan menjadi arus perdana dan turut dijadikan agenda kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Tetapi mereka lebih melihatnya dari segi kaum. Sementara Parti Rakyat yang merupakan pembangkang melihatnya dari sudut kelas. Institusi seperti Mara dan Felda adalah usaha pembelaan terhadap rakyat termasuk dari segi pengagihan tanah untuk peladang. Begitu juga dengan penubuhan agensi seperti Bernas dan LKIM untuk petani dan nelayan. Sebab itu Kementerian Pertanian mempunyai kaitan dengan isu yang dibawa oleh Uda dan Dara.
Tetapi sektor pertanian masih tetap mempunyai isu termasuk soal orang tengah yang sukar untuk diselesaikan. Petani, peladang dan nelayan masih memperoleh pendapatan kecil. Bagi Mahathir, beliau beranggapan cara terbaik bagi kemajuan pertanian adalah penggabungan tanah untuk dijadikan ladang supaya lebih efisien seperti mana yang berlaku di negara maju.
Sebelum sampai ke Padang Merbok untuk menonton Uda dan Dara, penulis berada di Cheras bagi memenuhi jemputan satu majlis yang diadakan oleh sekumpulan anak muda bagi menyambut ulang tahun kelima program yang dinamakan mereka sebagai Kuliah Buku atau Kubu.
Sempena ulang tahun itu, mereka meraikannya dengan membincangkan mengenai seorang tokoh kiri lama Indonesia yang merupakan salah seorang daripada pejuang kemerdekaan republik itu, iaitu Tan Malaka.
Bagi komuniti kiri negara ini, serta juga peminat sejarah Nusantara abad ke-20, nama dan perjuangan Tan Malaka adalah tidak asing lagi, iaitu sekurang-kurangnya sama terkenal dengan Sukarno. Bagi golongan kanan, tentunya Tan Malaka adalah di luar minat mereka.
Tan Malaka lahir pada 1897 dan meninggal dunia pada 1947. Walaupun merupakan dari kalangan kiri, beliau juga diterima sebagai sebahagian daripada khazanah politik arus perdana bukan saja bagi Indonesia tetapi juga Nusantara.
Dunia sudah banyak berubah dan tentunya tanggapan Tan Malaka dan Usman Awang terhadap suasana zamannya adalah berbeza dan tidak sesuai untuk abad ke-21 ini. Tetapi mesej perjuangan bagi kemerdekaan individu dan rakyat akan tetap sama. Maknanya manusia tetap menuntut persamaan, keadilan dam kehidupan lebih baik.
Menjelang dekad 2020-an, orang masih mahu menghayati mesej yang dibawa Usman Awang dan Tan Malaka terutama anak-anak muda menunjukkan usaha melawan penindasan dan ketidakadilan adalah perjuangan abadi dan berpanjangan.
Cumanya berbeza dengan Usman Awang dan Tan Malaka, anak-anak muda sekarang bukan saja mudah dan mampu akses maklumat lebih banyak, tetapi perjalanan sejarah yang dilalui oleh golongan kiri menjadi pelajaran berharga yang begitu luas dan mendalam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.