`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, January 21, 2020

Selepas Mahathir, masa depan pendidikan masih belum tentu



Pada 2002, penulis bersama ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan seorang lagi rakan sekerja mewawancara Mahathir Mohamad sempena Perhimpunan Agung Umno untuk akhbar Mingguan Malaysia.
Wawancara itu diadakan di pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya. Antara isi penting mengenai pendidikan. Ada nada kekecewaannya terhadap keadaan pendidikan negara yang dirasakan lemah dan perlu pembaharuan besar-besaran dan drastik.
Malah selepas wawancara itu, perbincangan masih berkisar pada pendidikan. Keprihatinan beliau ialah pada kelemahan pelajar-pelajar menguasai bahasa Inggeris, Sains dan Matematik serta kurang upaya dalam memenuhi pasaran pekerjaan.
Tidak disangka oleh penulis ketika itu ia menjadi wawancara akhir sebelum beliau mengumumkan peletakan jawatan perdana menteri di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di akhir Perhimpunan Agung Umno itu. Ia disambut dengan reaksi emosional bukan saja oleh ahli-ahli Umno tetapi juga sebahagian besar rakyat.
Atas desakan barisan kepimpinan Umno beliau bersetuju menangguh peletakan jawatannya selama setahun, iaitu pada 2003. Beliau melepaskan jawatan perdana menteri ke-4 selepas Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di mana beliau memberi amanat akhir pada negara-negara Islam secara terus terang dan jelas mengenai kedudukan umat Islam dan apa yang perlu dilakukan.
Pada tahun itu, umumnya rakyat melepaskan beliau dan menyambut baik pelantikan penggantinya Abdullah Ahmad Badawi. Perdana menteri itu menang besar pada Pilihan Raya Umum 2004. Barisan Nasional mengambil balik Terengganu dan PKR hanya menang 1 kerusi iaitu Wan Azizah Ismail di Permatang Pauh dengan majoriti tipis.
Sejak 2004, kritikan terhadap keadaan pendidikan negara terus bertimbun terutama dari kalangan bukan Melayu. Pembangkang sama ada semasa dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kemudiannya, Pakatan Harapan sentiasa mengemukakan isu pendidikan kerana mereka tidak berpuas hati dengan keadaan sedia ada.
Maka tidak hairanlah apabila PH menang pada PRU 2018, perdana menteri memberikan keutamaan pada pendidikan. Ketika menubuhkan Kabinet, beliau melantik pemimpin DAP, Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan pemimpin PKR, Azmin Ali sebagai menteri ekonomi, tetapi beliau sendiri mahu memegang portfolio pendidikan.
Ternyata bagi beliau, portfolio pendidikan penting kerana hanya beliau dapat menyelesaikannya. Pastinya beliau mempunyai idea-idea untuk dilaksanakan. Ia seolah-olah suatu penebusan terhadap kekecewaan atau kegagalannya berkaitan pendidikan semasa menjadi PM ke-4.
Hasrat beliau terhalang apabila bantahan besar dinyatakan oleh banyak penyokong PH sendiri terutama dalam kalangan bukan Melayu. Mereka membantah bukanlah kerana menolak aspirasi atau idea-idea pendidikan Mahathir, tetapi kerana langkah itu bercanggah dengan manifesto PH yang menghalang PM memegang portfolio lain. Walaupun ketetapan manifesto itu lebih kepada portfolio kewangan kerana mereka serik dengan apa yang dilakukan Najib Razak berkaitan isu 1MDB, tetapi ketetapan itu meliputi semua kementerian.
Ini kerana yang memulakan PM menyandang jawatan menteri kewangan adalah Mahathir sendiri, kemudian diteruskan Abdullah dan Najib. Tetapi Mahathir melakukannya ketika negara berada dalam Krisis Kewangan. Seharusnya ia tidak diteruskan oleh penggantinya.
Maka jika dilihat dari sudut ini, Mahathir berasakan negara sedang menghadapi Krisis Pendidikan yang mana beliau sendiri patut tangani. Lebih-lebih lagi ada pihak yang menyalahkan beliau sebagai punca krisis ini kerana ia berlaku ketika beliau menjadi PM dahulu.
Tetapi kalau dilihat kembali semasa pentadbiran Mahathir sebagai PM ke-4, dapat dirasakan beliau tidak puas hati dengan menteri-menteri pendidikannya, dari Musa Hitam, Sulaiman Daud, Anwar Ibrahim hinggakan beliau memecah 2 kementerian itu dan melantik seorang bukan ahli politik sebagai menteri pengajian tinggi. Ia merupakan suatu inovasi tapi dirasakan beliau tetap tidak berpuas hati.
Sebagai PM ke-7, beliau akur dengan bantahan orang ramai supaya tidak meneruskan hasratnya untuk menyandang portfolio pendidikan. Ini kerana kemungkinannya dirasakan kerajaan PH perlu mengutamakan integriti, dan dalam hal ini ia perlu mengotakan janji manifesto.
Maszlee Malik
Maka beliau melantik Maszlee Malik. Hakikat beliau melantik seorang ahli Parlimen PPBM menunjukkan PM meletakkan kepentingan besar terhadap portfolio itu. Melantik seseorang daripada partinya sendiri kemungkinannya lebih mudah membimbingnya, sekurang-kurangnya dapat mencerminkan aspirasi PPBM.
Umumnya orang Melayu dapat menerima Maszlee kerana beliau dikira intelektual awam yang terkenal juga. Selain daripada seorang ahli akademik, beliau mempunyai latar belakang dan pemikiran Islami.
Bagi orang bukan Melayu, mereka tidak begitu mengenal Maszlee tetapi timbul keraguan apabila mendapati beliau disifatkan sebagai seorang Islamis. Mereka bimbang Sekolah Kebangsaan akan melalui proses Islamisasi. Ini kerana sekolah kebangsaan yang ada inipun dianggap sudah banyak cenderung terhadap agama. Namun pada awalnya mereka tidak lantang membantah Maszlee kerana kemungkinannya untuk memberi peluang.
Ternyata Maszlee memperoleh kritikan bukan saja dari kalangan bukan Melayu tetapi dalam kalangan orang Islam. Pembangkang serta penyokongnya bertalu-talu mengkritik beliau. Itu tidak menghairankan, tetapi apa yang menghairankan ialah penyokong PH juga membidas beliau.
Tidak diketahui apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet, tetapi ternyata Kabinet tidak memihak pada Maszlee apabila beliau dinasihati berundur oleh Mahathir. Walaupun banyak kebaikan yang Maszlee lakukan tetapi banyak pihak termasuk dalam kalangan PPBM sendiri meragui tentang soal keutamaan beliau.
Tidak sampai 2 tahun, Maszlee mengundurkan diri. Dalam seminggu jawatan menteri pendidikan mengalami kekosongan sehinggalah apabila PM mengumumkan beliau akan memangkunya sementara. Kali ini tidak ada bantahan mengenai tindakan beliau itu. Umumnya berasa lega dengan pengunduran Maszlee walaupun beliau mempunyai peminat dan penyokong sendiri. Apa yang ada hanyalah komen-komen sinis terhadapnya, yang pastinya beliau tidak hiraukan.
Tetapi apa yang penting berlaku selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai tinggi Kementerian Pendidikan. Dari situ beliau memperoleh maklumat, dan menyatakan pendiriannya mengenai keadaan pendidikan negara.
Apa yang jelas ialah beliau tidak puas hati dengan Sekolah Kebangsaan. Baginya Sekolah Kebangsaan terlalu bersikap keagamaan sedangkan ia kurang berjaya menyediakan pelajar-pelajar dari segi memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam menghadapi dunia hari ini, termasuk soal penguasaan bahasa Inggeris.
Mahathir tidak mempunyai masa yang panjang. Tuntutan supaya beliau mengundurkan diri semakin kuat terutama dalam kalangan penyokong Anwar, tetapi Mahathir membayangkan akan berundur selepas sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik hujung tahun ini. Keadaan usianya juga tidak mengizinkan.
Beliau mungkin dapat mencadangkan hala tuju Apec melalui ucaptamanya. Seperti mana juga beliau mungkin dapat mengemukakan pandangannya terhadap ke mana wajar sistem pendidikan perlu dibawa.
Tetapi adakah penggantinya, tidak kira siapa kelak, akan meneruskan wawasannya dalam pendidikan? Adakah Anwar mahu meneruskan wawasan beliau? Atau jika BN menang semula PRU ke-15, mereka akan akan teruskan wawasan pendidikan Mahathir? Dengan pengalaman negara ketika pentadbiran Abdullah dan Najib, kelihatannya masa depan Malaysia menjadi tidak menentu semula. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.