`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, February 20, 2020

Tender 16 sekolah daif di Sarawak ditangguh, kata Lim

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penangguhan tender sekolah daif di Sarawak juga disebabkan cadangan menutup dan menggabungkan beberapa sekolah rendah, tetapi tidak dipersetujui oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya.
PUTRAJAYA: Pelaksanaan tender di 16 sekolah daif di Sarawak ditangguhkan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kerja Raya Sarawak mengkaji semula skop dan kos pelaksanaan projek, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Dijangkakan pelaksanaan sekolah ini akan ditender pada bulan Mac 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung status projek pembangunan semula sekolah daif di Sarawak.
Enam belas sekolah berkenaan adalah antara 37 jumlah sekolah yang terlibat dalam projek pembangunan semula sekolah daif di Sarawak Fasa 1, melibatkan peruntukan RM350 juta yang dibiayai menggunakan bayaran balik pinjaman kerajaan Sarawak kepada kerajaan persekutuan.
Daripada 37 sekolah itu, 21 sekolah lagi telah ditender dengan 6 projek dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST), manakala tender di 15 sekolah lagi akan dimuktamadkan oleh Lembaga Perolehan Perbendaharaan Malaysia Sarawak esok (21 Feb), katanya.
Lim berkata, penangguhan tender di sekolah terbabit juga disebabkan cadangan untuk menutup dan menggabungkan beberapa sekolah rendah serta membuka satu sekolah baru, namun tidak dipersetujui oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya.
Cadangan penggabungan itu dikhuatiri akan membabitkan penutupan sekolah yang berada berhampiran dengan petempatan komuniti setempat kerana sekolah baru berada di lokasi lebih jauh, dan mungkin menyebabkan keciciran pelajar disebabkan faktor jarak serta kos pengangkutan yang tinggi, katanya.
“Oleh yang demikian, cadangan penutupan sekolah ini tidak dipersetujui dan harus digunakan untuk memperbaiki sekolah sedia ada tanpa mengurangkan bilangan sekolah,” katanya.
Bagi 2020, Lim berkata Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 juta untuk projek sekolah daif di Sarawak berbanding RM100 juta pada 2019.
Kerajaan menetapkan bahawa peruntukan tersebut hendaklah digunakan untuk membaik pulih sekolah daif termasuk membangun semula bilik darjah yang tidak dapat dibaiki, katanya.
“Peruntukan ini tidak boleh digunakan untuk menutup dan menggabungkan beberapa buah sekolah dengan tujuan semata-mata untuk membina sebuah sekolah baru seperti yang dicadangkan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun lepas,” kata Lim. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.