`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 4, 2020

Sektor ekonomi elemen terpenting dalam fasa baru Covid-19



Di peringkat awal usaha membendung Covid-19, kesihatan rakyat adalah elemen terpenting berbanding ekonomi.
Berdepan musuh tidak kelihatan ini, kerajaan terpaksa melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP). Ini kerana tiada siapa yang tahu di mana Covid-19 sedang berkumpul dan melakukan serangan seterusnya.
Ketika itu, kerajaan juga tidak mengetahui berapa ramai yang sudah dijangkiti dan apakah sektor kesihatan mampu menampung dan merawat jumlah mangsa Covid-19.
Selain bertujuan mengasingkan manusia yang tabiatnya suka berkumpul untuk menghalang Covid-19 meletus secara mendadak – yakni mendatarkan lengkuk jangkitan Covid-19 – PKP juga membantu melengahkan masa supaya sektor kesihatan dapat diperkukuhkan dan prosedur operasi standard diperkemaskan bagi menangani Covid-19.
Kejayaan utama PKP selama 6 minggu ialah ia memberikan masa secukupnya kepada sektor kesihatan untuk menguatkan dirinya. Ini dapat dilihat dengan bertambahnya kapasiti dan pusat kuarantin bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 dan mereka yang perlu dikuarantin selepas pulang dari luar negara.
Bukan itu saja, kapasiti ujian Covid-19 yang boleh dijalankan juga berjaya ditingkatkan kepada 16,000 sehari.
Pada masa sama, PKP juga berjaya mendatarkan lengkuk jangkitan Covid-19. Dua kejayaan ini membuka ruang kepada kerajaan untuk mengambil risiko menghidupkan semula enjin ekonomi yang terpadam lebih 40 hari.
Di fasa awal, kerajaan melakukan tugasnya dengan mempersiapkan rakyat ke arah normal baru dan meningkatkan kapasiti sektor kesihatan.
Kini, kita memasuki fasa baru di mana sektor ekonomi menjadi elemen terpenting untuk mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat susulan fasa pertama.
Tujuan utama kerajaan di fasa baru ini hanyalah satu, iaitu mengelakkan kadar pengangguran berleluasa. Jika pengangguran lebih meluas berbanding Covid-19, maka enjin ekonomi akan mengambil masa lama untuk dihidupkan semula. Ia adalah satu perimbangan yang terpaksa dilakukan.
Secara ringkasnya, fasa baru ini akan membawa makna “sakit ketika kita ada kerja dan duit jauh lebih baik daripada sakit ketika kita menganggur dan tiada duit”.
Sejauh mana rakyat dapat mematuhi disiplin dan normal baru yang diamalkan ketika PKP akan menentukan kejayaan kita di fasa baru ini.
Antara disiplin terpenting yang perlu dipraktikkan ialah hanya keluar rumah jika perlu, perjarakan sosial 1m, selalu mencuci tangan dan pakai topeng, elak tangan menyentuh muka, hidung dan mulut serta aktiviti berkumpulan.
Pemilik perniagaan yang menarik nafas lega juga perlu sedar, jika berlaku sebarang jangkitan ke atas pekerja dan kesilapan tidak mematuhi SOP akan menyebabkan premis perniagaan ditutup sehingga proses pembersihan serta kuarantin selesai seperti yang berlaku di pasar awam sekitar Lembah Klang dan pusat tahfiz.
Covid-19 tidak mungkin dapat dihapuskan tanpa vaksin. Ia sudah merebak ke seluruh dunia. Dalam fasa baru ini, rakyat perlu belajar hidup di dalam normal baru bersama Covid-19, tetapi kita perlu menjauhkan diri daripada virus itu.
Oleh itu, rakyat perlu mengingatkan diri yang virus Covid-19 masih berleluasa dan bimbang kita akan dijangkiti jika tidak berhati-hati.
Rakyat harus sentiasa berjaga-jaga supaya jangkitan Covid-19 sentiasa berada di tahap yang boleh ditangani sektor kesihatan. Hanya dengan itu, kita akan berjaya mengekalkan kesihatan diri dan ekonomi secara selari.
Disiplin dan kesedaran rakyat penting untuk mematuhi SOP kesihatan dan ia akan menjadi penentu kejayaan dalam fasa baru ini.
Untuk menang dalam perang ini, kita mesti menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan PKP dilaksanakan semula pada masa depan selepas tamatnya PKP yang memasuki fasa ke-4 ketika ini.
Jika rakyat leka dan mengambil mudah, PKP terpaksa dilaksanakan semula. Ketika itu, Malaysia akan berdepan malam yang lebih gelap dan panjang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.