PETALING JAYA: Pejabat bekas exco Selangor, Haniza Talha di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dirantai selepas perkhidmatannya ditamatkan semalam.
Kejadian itu disedari seorang pegawainya yang mewakili Haniza untuk mengambil barang peribadinya pagi tadi.
Difahamkan, tindakan itu dibuat atas arahan pihak atasan.
“Pejabat exco Haniza di bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) dirantai.
“Mereka tidak bagi masa dan peluang untuk Haniza ambil barang-barang beliau,” kata pegawai yang enggan dinamakan itu kepada FMT hari ini.
Haniza yang sebelum ini menyandang portfolio perumahan dan kehidupan bandar Selangor, ketika dihubungi FMT berkata: “Saya tidak pasti siapa yang mengarahkan demikian (pintu dirantai).”
FMT sedang menghubungi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk mendapatkan komennya.
Semalam, Amirudin mengumumkan perkhidmatan Haniza sebagai exco negeri ditamatkan bersesuaian keputusan PKR melucutkan keahliannya akhir bulan lalu.
Katanya, keputusan itu turut dipersetujui Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Portfolio perumahan dan kehidupan bandar yang disandang Adun Lembah Jaya itu kini dipangku Amirudin, dan semua program berkaitan ditangguhkan buat sementara.
Pada 28 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat PKR bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keahlian 5 ahlinya, termasuk Haniza, Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin, Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid dan Adun Sungai Aceh, Zulkifli Ibrahim,
PKR menggantung keahlian Haniza sejak 6 April lalu kerana menemui bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lalu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.