KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Joniston Bangkuai berkata, kenyataan ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang kitab Injil terpesong daripada makna sebenarnya tidak berasas dan boleh mencetuskan perbalahan antara kaum serta agama di negara ini.
Katanya, kenyataan Zawawi itu berunsur hasutan dan tidak boleh dimaafkan kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama.
“Kenyataan seperti itu boleh menimbulkan kebencian antara kaum dan agama, ia tidak dialu-alukan kerana kita hidup di negara berbilang budaya, pelbagai etnik dan agama.
“Daripada membuat kenyataan tidak berasas, kita sepatutnya mendukung dan mempromosikan nilai toleransi tinggi serta mengamalkan budaya saling hormat-menghormati antara 1 sama lain setiap masa.
“Di Sabah dan Sarawak, kami semua hidup dalam keadaan harmoni walaupun berasal daripada latar belakang agama berbeza.
“Keluarga pelbagai kepercayaan dapat duduk dan menghabiskan waktu bersama tanpa sebarang masalah, begitulah tingginya sikap toleransi dan rasa hormat kami antara 1 sama lain dan oleh sebab itulah kenyataan seperti ini tidak pernah didengar di Malaysia Timur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Joniston berkata, sebagai ahli Parlimen, Zawawi sepatutnya memberi contoh yang baik dengan mempromosikan perpaduan dan bukan perpecahan.
Katanya, kenyataan Zawawi yang juga ahli Parlimen PAS itu bukan saja menghina umat Kristian tetapi dianggap menghasut dan melanggar Perlembagaan persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjamin hak semua rakyat untuk mengamalkan kebebasan beragama.
“Kami menggesa beliau (Zawawi) membuat permohonan maaf secara terbuka dan selain itu, kami berharap rakyat Malaysia jangan terlalu terbawa dengan perasaan marah yang disebabkan kenyataan sebilangan individu mempunyai pemahaman yang berlainan dan kepentingan lain,” katanya.
Pada 26 Ogos lalu, ketika perbahasan Rang Undang-Undang untuk mengusulkan denda lebih berat kepada pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol, Zawawi mendakwa kitab Injil sudah dipesongkan atau diubah. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.