`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, November 13, 2020

Ini bukan khutbah tentang vaksin

 

Dengan segala kesedihan, kesusahan, keperitan serta kesengsaraan akibat wabak Covid-19, tentunya apabila vaksin yang boleh menjadi penawar “dihidangkan” kelak, ramai yang akan berpusu-pusu untuk mendapatkannya. Disuntik dengan kesyukuran dan rasa rela hati. Betul begitu?

Tidak semestinya.

Menurut laporan, ada kajian menunjukkan bukan 100% rakyat yang disaring menyatakan kesediaan mengambil vaksin anti Covid-19 jika vaksin itu ada. 85% kata ya. Baki 15% enggan. Bahkan menolak sama sekali atas pelbagai alasan.

Beberapa hari lalu, Khairy Jamaluddin, menteri sains, teknologi dan inovasi, memuat naik ke Twitter beberapa paparan skrin daripada Facebook akan keluahan rasa golongan yang tidak yakin dengan keberkesanan vaksin Covid-19.

Agak tidak memeranjatkan kerana kita tahu adanya golongan anti-vaksin di negara ini. Walau untuk apa pun penyakitnya. Mereka pernah mendapat perhatian umum dan pelbagai reaksi sebelum ini.

Pun begitu kali ini berhubung vaksin Covid-19 , Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman, muncul mengulas mengenai keraguan yang ditimbulkan pengguna media sosial seperti yang dinyatakan Khairy.

Sebagai agamawan, selain soal vaksin berkenaan perlu selamat, tentu juga beliau bercakap mengenai soal halal dan haram. “Kita perlu pastikan halal dan haramnya,” kata beliau kepada FMT tempoh hari.

Kata beliau lagi, “kalau vaksin ini tidak ada perkara yang haram, tidak ada najis, maka kita boleh gunakan ia dari segi syarak. Perlu dipastikan ia tidak memberi kemudaratan kepada mana-mana pihak. Jika semua ini dipenuhi maka tidak ada halangan”. Kesimpulan apa yang dikatakan mufti ialah vaksin Covid-19 mesti halal.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, pula dilapor FMT berkata berdasarkan pengalamannya, isu hukum menurut agama Islam serta kesan sampingan vaksin dalam jangka panjang akan dibangkitkan pihak berwajib .

“Bagi isu agama, saya percaya Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengulas isu ini dan isu kedua saya yakin Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian ketat bagi memastikan vaksin ini selamat.”

Namun berbalik kepada soal halal haram seperti yang diperkatakan mufti Pahang tadi, seandainya (sekadar andaian yang saya harap tidak berlaku), vaksin anti-Covid-19 yang ditemui kelak didapati tidak halal atau lebih tepat haram, apa yang harus dilakukan? Khususnya oleh rakyat beragama Islam. Adakah umat Islam Malaysia tidak boleh mengambilnya?

Bukan tujuan saya untuk berkhutbah pada hari Jumaat yang mulia ini. Tidak juga saya mahu bertazkirah mahupun menyampaikan kuliah agama. Sesungguhnya saya tidak layak melakukan itu semua.

Cuma apa yang saya diberitahu oleh para agamawan dan pakar agama serta matlumat yang diperolehi daripada buku agama yang dibaca, sesuatu yang haram boleh digunakan dan juga dimakan jika ia satu-satunya cara mengelak dan mengatasi mudarat.

Kata para imam dan ustaz, semua binatang dan makanan yang diharamkan sebagaimana yang disebut dalam hukum fiqh, adalah berlaku dalam keadaan normal.

Walau bagaimanapun ketika dalam keadaan darurat, kata mereka, maka hukumnya berubah menjadi “halal” tetapi mengikut beberapa syarat tertentu.

Mereka kerap mengulangi status haram dan halal makanan khususnya memang mutlak.Tetapi dalam keadaan darurat seorang Muslim dibolehkan makan atau mengambil benda yang statusnya haram. Para agamawan memetik beberapa ayat Al-Quran sebagai dalil.

Keadaan darurat yang dimaksudkan, kata mereka, ialah keadaan terdesak dan amat memerlukan. Ertinya jika seseorang itu tidak melakukan hal tersebut (memakan yang haram) ia akan membahayakan keselamatan dan nyawanya.

Contoh yang kerap digunakan ialah seorang Muslim dibolehkan makan babi jika tidak menemui makanan lain ketika keadaan dirinya terjejas teruk akibat kelaparan. Jika dia tidak mengambil atau makan makanan haram dia boleh mati umpamanya.

Keadaan sedemikian adalah daruat. Darurat yang dimaksudkan, kata ulama, ialah keadaan sebenar-benarnya dan bukan sesuatu yang direka atau andaian.

Bagi saya, keadaan wabak Covid-19 yang kita alami sekarang ialah satu darurat (tetapi bukan seperti yang ditafsir kerajaan ketika memohon Agong mengisytiharkan darurat tempoh hari dan tidak mendapat perkenan).

Lantas, pada pandangan saya, walaupun jika vaksin kelak tidak halal, umat Islam perlu mengambilnya untuk menyelamatkan nyawa. Dalam bahasa kasar, jika tidak diambil boleh mati. Seperti yang dikatakan sendiri oleh mufti Pahang “usaha menyelamatkan nyawa antara perkara terpenting yang dituntut agama Islam menerusi konsep maqasid syariah”.

Kata para ulama setiap penyakit ada penawarnya kecuali mati. Bukan kah vaksin penawar penyakit? Sekurang-kurangnya untuk mencegah jika bukan untuk mengubati?

Ketika ini vaksin Covid-19 sedang dibangunkan di beberapa negara. Malaysia diberitakan sedang memuktamadkan rundingan pembangunan vaksin dengan beberapa negara.

Dalam pada itu Malaysia dikatakan dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin dari China. Mungkinkah ini sebabnya ada pihak yang was-was dan ragu akan soal halal haramnya vaksin ini? Semata-mata kerana vaksin Covid-19 untuk Malaysia dihasilkan dari China? Wallahualam.

Sehingga kini Russia sudah mengumumkan data awal vaksinnya, yang dikenali sebagai Sputnik V, menunjukkan ia berkesan 92% .

Sebelum itu , syarikat gergasi farmasi, Pfizer, dan syarikat bioteknologi, BioNTech, mengeluarkan hasil sementara menunjukan vaksin mereka lebih 90% berkesan untuk mencegah Covid-19.

Sememang banyak ujian dan kajian masih dijalankan. Tetapi perkembangan ini amat dialu-alukan dan mengembirakan. Ia bagai cahaya dihujung terowong.

Seperkara lagi sebelum saya mengakhiri artikel ini, BioNTech ditubuhkan di Mainz, Jerman pada 2008 oleh pasangan suami isteri, Ugur Sahin dan Ozlem Teruci.

Mereka kini dikenali di seluruh dunia sebagai saintis yang membangunkan vaksin Covid-19 pertama yang keberkesanan tinggi.

Kedua-duanya imigran dari Turki – negara Islam. Mungkin ini akan melegakan rasa tidak senang dan was-was pihak tertentu di Malaysia terhadap vaksin Covid-19. Mungkin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.