`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 9, 2020

Maahad tahfiz, sekolah pondok di Pahang dibenar beroperasi dengan bersyarat, kata Wan Rosdy

 

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelajar maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri itu tidak dibenarkan keluar dari kawasan pusat pengajian mereka.

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang hari ini memutuskan untuk membenarkan maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini terus beroperasi secara bersyarat, iaitu pelajar tidak dibenarkan keluar dari kawasan pusat pengajian mereka.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu tenaga pengajar dari luar Pahang, khususnya yang datang dari kawasan zon merah wabak Covid-19, dilarang kembali mengajar di pusat pengajian agama di negeri itu untuk sementara waktu.

“Keputusan ini adalah bergantung kepada keadaan. Jika terdapat kes jangkitan baru dilaporkan di sekolah pondok atau maahad tahfiz, maka arahan berhenti operasi akan dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy, berkata langkah itu merupakan langkah awalan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Pahang, walaupun negeri ini buat masa ini tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seperti negeri lain.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian itu ditutup mulai hari ini sehingga tahun hadapan sebagai langkah memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Arahan itu turut terpakai bagi sekolah di negeri tidak dikenakan PKPB iaitu Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak.

Selain itu, Wan Rosdy berkata pasukan keselamatan dengan diketuai pihak polis akan meningkatkan sekatan jalan raya di lokasi terpilih mulai Rabu ini, bagi menyekat tindakan rentas negeri, terutamanya dari zon merah ke Pahang.

“Bagaimanapun, polis masih mempunyai budi bicara dan memberi kelonggaran mengikut kes tertentu seperti kecemasan dan kematian.

“Kita berharap orang ramai dapat memahami tindakan ini bukan mahu menyusahkan, namun sebagai langkah pencegahan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.