`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, November 22, 2020

PKPB: Zon bebas cukai Rantau Panjang sepi tanpa pengunjung

 

Zon bebas cukai Rantau Panjang yang sebelum ini menjadi tumpuan pelancong bertukar sunyi sejak perintah kawalan pergerakan bersyarat dikuatkuasakan di situ dan beberapa daerah lain di Kelantan bermula semalam. (Gambar Bernama)

PASIR MAS: Zon bebas cukai Rantau Panjang di sini yang dahulunya meriah dan menjadi tumpuan utama pelancong untuk membeli-belah kini menjadi seakan “pekan koboi” sebaik perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan bermula semalam.

Tinjauan mendapati hampir separuh peniaga di premis atau kedai sedia ada membuat keputusan untuk tidak beroperasi kerana kekurangan pengunjung, selain kebanyakan premis atau gerai kini hanya dijadikan stor menyimpan barang.

Meskipun kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi diteruskan ketika tempoh ini, tetapi ia tidak menarik orang ramai untuk berkunjung sehingga rata-rata peniaga yang ditemui mengeluh kerana ada yang hilang punca pendapatan.

Selain itu, jualan harian peniaga terjejas sehingga 3 kali ganda, namun mereka tetap akur dengan situasi semasa bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Seorang pemilik gerai jualan makanan ringan Asmawi Iberahim @ Mohd, 39, yang berniaga di pekan itu sejak 20 tahun lepas berkata, suasana muram ini berlaku sejak PKP pada Mac lagi.

Ia menjadi amat ketara sejak PKPB dilaksanakan dengan pengunjung berkurang secara mendadak dan hanya beberapa penduduk setempat sahaja kelihatan.

“Keadaan ketika ini amat memeritkan bagi peniaga di sini. untuk mendapatkan pelanggan sekitar 5 orang pun terlalu sukar, sekali gus menjejaskan pendapatan harian.

“Sebelum ini ia mampu mencecah lebih RM200 sehari, namun kini sekitar RM50 hingga RM80 sahaja,” katanya.

Peniaga kekacang Azura Abdul Ghani, 24, berkata dia turut mengalami nasib yang sama dengan jumlah pelanggan di Pekan Rantau Panjang boleh dikira dengan jari. Keadaan itu menyebabkan sukar bagi peniaga kecil sepertinya untuk kekal bertahan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk melaksana PKPB di Kelantan mulai 21 Nov hingga 6 Dis berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di negeri itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.