`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 7, 2021

132,118 dapat kerja menerusi skim kerajaan, kata Zafrul

 

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, program yang sedang diusahakan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan menjelang hujung tahun ini.

KUALA LUMPUR: Seramai 132,118 individu berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan setakat 26 Mac, berbanding 131,568 pada minggu sebelumnya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuklah pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

Sementara itu, Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 yang diluluskan setakat 26 Feb mencapai nilai RM12.84 bilion melibatkan 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja.

“Bagi PSU 2.0, setakat 26 Mac, sejumlah RM1.11 bilion disalurkan kepada 72,875 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 626,955 pekerja,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-48.

Zafrul berkata, bagi Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, seramai 137,290 peserta diluluskan untuk mengambil bahagian dalam kursus disediakan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut melancarkan HRDF Placment Centre (HPC) iaitu pusat penempatan pekerja yang bertujuan untuk mempromosi peluang pekerjaan serta memadankan calon yang sesuai dengan perniagaan, organisasi dan industri yang tepat.

“Untuk mencapai hasrat ini, HPC komited bukan sahaja untuk menyediakan kursus latihan tetapi juga perkhidmatan nilai tambah yang dapat membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mencari kerja,” katanya.

Katanya, platform tersebut memberi penekanan kepada pembangunan peribadi pencari kerja melalui perancangan dan bimbingan kerjaya, pemadanan pekerjaan serta kaunseling.

Menurutnya, program seperti itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan menjelang hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, antara inisiatif lain kerajaan dalam penjanaan pekerjaan adalah penganjuran Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 pada 3 hingga 4 April di mana seramai 4,631 pencari kerja ditemuduga dan 982 ditawarkan pekerjaan, manakala 1,257 lagi akan menjalani temuduga pusingan kedua. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.