JOHOR BAHRU: Kawalan sempadan, terutama di negeri Johor, harus diambil serius berikutan ancaman ideologi kumpulan ekstremis agama di Indonesia, kata pakar antikeganasan.
Beliau berkata, ancaman itu membimbangkan dan dilihat berkembang terutama pada bulan Ramadan.
Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman yang juga penganalisis keganasan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata, kumpulan rakyat negara itu yang berada di sini juga perlu dipantau ketat supaya ideologi ekstremis agama tidak disebar di negara ini.
Katanya, serangan fizikal yang berlaku di Singapura dan Indonesia, termasuk letupan bom di Makassar oleh pasangan suami isteri dan insiden wanita mengacu senjata di ibu pejabat polis baru-baru ini adalah contoh jelas wujudnya rangkaian berkenaan.
“Situasi keselamatan sempadan cukup merisaukan dengan masalah rasuah yang membelenggu, bukan semua, tetapi ada segelintir yang mudah ‘dibeli’, dibayar atau diugut, termasuklah ‘direkrut’ pihak tidak bertanggungjawab.
“Kedudukan geografi kita amat memudahkan perbuatan rentas sempadan berlaku.
“Di peringkat polis mungkin tidak ada masalah, tetapi di peringkat kastam dan imigresen? Ini boleh berlaku,” katanya kepada FMT.
Ahmad berkata, jika usaha penyebaran ideologi dan merekrut anggota ekstremis giat berjalan di Indonesia, tidak mustahil ia juga boleh berlaku di Malaysia.
“Mereka (kumpulan ekstremis agama) berusaha mendapatkan sokongan dengan mewujudkan kumpulan WhatsApp, Facebook dan Telegram.
“Selain mengutip dana, ia juga bersedia melangkah ke peringkat lebih radikal, iaitu serangan berbentuk fizikal.
“Tiga kelompok berpotensi yang perlu diambil serius adalah bekas anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang masih berpegang pada ideologi mereka dan menetap di sini.
“Selain itu, bekas penyokong IS (Islamic State) dan orang muda yang tidak tahu apa-apa dan kerap mengabiskan masa melayari internet.
“Mereka semua terdedah kepada naratif ekstremis agama,” katanya.
Perairan Johor sememangnya menjadi tumpuan, terutamanya dalam kalangan rakyat Indonesia, untuk masuk dan keluar secara haram melalui lorong tikus yang banyak dikesan di sepanjang jajaran pantai negeri itu.
Beberapa kes sebelum ini melibatkan rakyat negara ini yang direkrut oleh kumpulan ekstremis agama pergi ke Singapura atau Indonesia menggunakan laluan air di sempadan Johor.
Pada 2009, Mas Selamat Kastari, yang disyaki pemimpin kumpulan militan JI yang ditahan dan dibawa ke Singapura berjaya melarikan diri dari pantai utara republik itu ke Johor Bahru. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.