PETALING JAYA: Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ditemui terapung di sebuah tali air di Kampung Jambu Merah, Kota Bharu, Kelantan, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang, mangsa yang berusia tiga tahun itu dikatakan terjatuh ke tali air sebelum lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.32 petang.
“Mangsa ditemui pada jam 4.56 petang dalam keadaan terapung di tali air di lokasi terbabit,” kata beliau.
Fakaruddin berkata, proses mengambil mayat mangsa berdepan sedikit kesukaran berikutan tali air berkenaan mempunyai cerun yang curam.
“Anggota menggunakan tali menyelamat sebagai keselamatan untuk mengambil mangsa sebelum dinaikkan ke daratan,” kata beliau, menurut laporan Berita Harian.
Sejurus berjaya dibawa naik, anggota bomba segera memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun pasukan kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.