`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 10, 2021

Muhyiddin tunggu Umno pecah

 

Tajuk artikel ini saya pinjam daripada Sin Chew Daily, “Muhyiddin is waiting to see Umno split” atau Muhyiddin sedang tunggu untuk saksikan Umno berpecah. Begitu bunyi tajuk yang diberi kepada terjemahan penulisan kolum rakan saya Tay Tian Yan, editor kanan akhbar berbahasa Cina itu.

Saya tidak akan mengulas penulisan rakan saya itu. Sekadar menegaskan saya setuju dengan rumusan tajuk rencana kolumnya. Jelas dan nyata Umno berpecah membawa 1001 nikmat kepada Muhyiddin Yassin dan parti pimpinannya, PPBM. Serta Perikatan Nasional gabungan yang diketuainya.

Umno memang sedang berperang saudara. Antara puak Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan puak pro PPBM-PN. Lebih tepat apa yang dipanggil kluster menteri. Ini pun jelas terang dan nyata. Oh ada lagi kumpulan yang pro-Umno yang mahu Zahid mengundur diri kerana masalah peribadinya.

Beberapa hari lalu pula timbul rakaman perbualan yang didakwa antara Zahid dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim. Tidak perlu saya ulas apa yang diperbualkan kerana umum kemungkinan besar sudah mendengarnya melalui pelbagai platform media sosial.

Yang ingin di ketengahkan ialah Anwar menyifatkan rakaman audio itu sebagai usaha kepimpinan negara setelah gagal “mengugut” dan “merasuah” pemimpin pembangkang.

“Ini nak gunakan kita, nak lawan politik dalam Umno, nak guna kononnya perbualan saya dengan Zahid untuk politik PPBM nak menikam pimpinan Umno,” Anwar dipetik berkata.

Pemimpin Umno, Puad Zarkashi melonjakkan pertanyaan sama ada rakaman audio itu dan juga penyebarannya satu “konspirasi di peringkat tertinggi?”.

Zahid menganggapnya “percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan Umno”.

Semua hujah yang disenaraikan, sama ada fakta atau tuduhan, menjurus kepada naratif Umno pecah, Muhyiddin untung.

Untuk rekod, Zahid dan Anwar menafikan mereka orang yang dirakam berbual seperti yang didakwa.

Namun bagi Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamad, presidennya diserang kerana Perikatan Nasional tidak mahu Umno menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik.

Kata Jazlan, kesahihan klip audio yang disebarkan belum dipastikan, namun jika ia sah sekali pun, “tidak ada salahnya Zahid bercakap dengan presiden PKR kerana kedua-dua parti mencari ‘common ground’ ( titik persamaan) menjelang pilihan raya umum akan datang”.

Ada benarnya kata-kata Jazlan itu. Lagi pun semua berkemungkinan dalam politik. Tidak dinafikan Umno adalah ancaman besar buat PPBM khususnya dan PN secara am. Apa lagi jika Umno kuat.

Buat masa ini, Umno dilihat “agak lemah”. Bagaimanapun jika ia menjalin hubungan dengan PKR, gandingan dua parti ini akan memberi ancaman lebih hebat bagi PPBM-PN. Diakui untuk menjalin kerjasama Umno–PKR-PH bukan sesuatu yang mudah. Tetapi berbalik kepada kenyataan “dalam politik semua boleh jadi”.

Ada tanggapan, terutama pada suatu ketika dulu, orang Melayu “memerlukan Umno untuk memperjuangkan agenda Melayu”. Setuju atau tidak terpulang. Memang tanggapan ini telah dan boleh dipertikaikan.

Namun, antara yang yakin akan tanggapan sedemikian ialah Dr Mahathir Mohamad walaupun ketika beliau memegang tampuk kepimpinan PPBM dahulu. Ketika itu ramai dalam PPBM turut berkongsi pendapat itu.

Pun begitu, menurut Mahathir ketika itu, bukan Umno yang ada (masa itu) yang boleh diharapkan orang Melayu kerana “ini Umno Najib Razak” walaupun ketika berkata begitu, Najib bukan lagi presiden Umno.

Oleh itu, Mahathir mahu PPBM (parti baru yang lemah) menjelma sebagai Umno yang akan menjadi juara Melayu dan sekali gus diterima majoriti orang Melayu.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian mengingatkan saya, semasa saya menulis satu artikel tiga tahun lalu, bahawa Mahathir pernah berkata PPBM mahu menjadi Umno 1946 yakni Umno asal yang ditubuhkan Onn Jaafar.

Justeru, Mahathir menerima masuk orang Umno ke PPBM termasuk Mustapa Mohamad yang kini masih dalam PPBM tetapi bertuankan Muhyiddin.

Ketika itu, orang Umno dilihat akan keluar parti berduyun-duyun atau berbondong-bondong masuk PPBM. Ini akan melumpuh bahkan melenyapkan Umno sama sekali.

Tetapi itu tidak berlaku. Majoriti orang Umno – pemimpin dan ahli – tidak berganjak dan Umno kekal hingga ke hari ini. Sebaliknya Mahathir sendiri keluar PPBM bersama beberapa orang setianya termasuk anak beliau, Mukhriz.

Langkah Sheraton terjadi dan tidak perlu diulas lagi. Muhyididn menjadi pemimpin nombor satu PPBM dan saya katakan beliau juga impikan PPBM mengambil alih Umno sebagai parti Melayu terunggul.

Bagaimanapun, sebagai seorang politikus pengalaman, Muhyiddin tentunya tahu partinya tidak segagah yang diharapkan walaupun dibantu sedikit sebanyak oleh PAS dan “diperkuat” kumpulan Azmin Ali yang berpaling tadah terhadap PKR.

Tetapi itu di peringkat pimpinan. Di akar umbi, PPBM tidak ada yang membanggakan. Orang Melayu rata-rata juga tidak terlalu ghairah terhadap parti itu.

Malang buat Muhyiddin, pucuk pimpinan Umno (selain mereka yang ada dalam kluster menteri) tidak sebulu dengannya. Pada hal, amat penting buat beliau, Umno ada di sebelah pihaknya. Ini boleh dilakukan jika kumpulan dalam Umno yang pro beliau mengambil alih pucuk pimpinan parti.

Tentunya Muhyididn “memerhati dengan tekun dan teliti” agar orang Umno yang menyokongnya akan berjaya menyingkirkan Zahid dan tim pada pemilihan parti kelak. Atau sebelum itu, kerana tidak dapat dipastikan bila pemilihan Umno akan diadakan walaupun sebelum ini dikatakan ia akan dijalankan tahun ini.

Namun, jika Zahid kekal presiden apabila PRU15 diadakan dan beliau ditonjolkan sebagai “poster boy” Umno atau BN (jika gabungan itu masih ada), Muhyididn mungkin akan tersenyum lebar kerana imej Zahid yang tercalar akibat kes mahkamah yang dihadapi akan dieksplotasikan semasa kempen.

Bagaimanapun, yang membimbangkan Muhyiddin ialah jika Zahid undur diri dan diganti oleh timbalannya, Mohamad Hasan, yang disifatkan ramai sebagai “bersih” dan “berwibawa”.

Jika Tok Mat berganding dengan pemimpin seperti Nur Jazlan mahu pun seorang lagi Jazlan – Ahmad Jazlan Yaakub dari Kelantan atau Nazri Aziz atau mungkin juga Johari Ghani, bekas menteri kewangan dan ahli korporat berkaliber – satu barisan pimpinan Umno yang menggugat PPBM akan muncul.

Tidak perlu kita jadi pakar politik untuk tahu Muhyiddin tidak mahu itu terjadi. -FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.