`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 14, 2021

Pengawal peribadi dakwa dirotan, diacu pistol kerana berpuasa

 

Mangsa mendakwa dibelasah menggunakan rotan sehingga menyebabkan lebam dan mengalami pembekuan darah.

KUALA LUMPUR: Seorang majikan ditahan selepas dua pengawal peribadinya mendakwa dirotan kerana berpuasa, tidak sampai 24 jam selepas gambar dan salinan laporan polis kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, berkata suspek berusia 43 tahun itu diberkas di kediamannya di Klang, Selangor kerana disyaki melakukan ugutan jenayah dengan pistol dan merotan dua lelaki terbabit disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan mereka berpuasa.

Menurutnya, kejadian bermula apabila pengadu dan seorang rakannya didatangi suspek yang bertanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 malam tadi.

Zainal berkata selepas pengadu dan rakannya memaklumkan mereka berpuasa, majikannya memarahi dan menampar pengadu di kepala, sebelum mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang.

“Apabila sampai di rumah suspek, pengadu dan rakannya dipukul menggunakan sebatang rotan dan diacukan pistol.

“Pengadu dan rakannya yang mengalami lebam di belakang badan kemudiannya mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Klang kira-kira jam 3 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Zainal berkata siasatan awal polis mendapati pengadu dan rakan sekerjanya bekerja dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan sebagai pengawal peribadi.

Beliau berkata siasatan polis mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak suka pengadu dan rakannya berpuasa pada bulan Ramadan dan memaksa mereka tidak berpuasa.

“Apabila pengadu enggan dengar arahan tersebut, suspek tidak puas hati dan tamparnya sekali di kepala semasa berada di Jalan Pinang.

“Pekerja suspek telah memukul pengadu dan rakannya semasa berada di rumahnya di Batu Nilam menggunakan rotan sehingga menyebabkan badan pengadu lebam dan mengalami pembekuan darah.

“Suspek semasa berada di rumahnya, bertindak merampas sepucuk pistol jenis Glock milik pengawal peribadinya dan mengacukannya ke arah pengadu sambil membuat ugutan bunuh,” katanya.

Berikutan itu, Zainal berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan serta melakukan ugutan jenayah.

“Polis juga merampas sepucuk pistol jenis Glock milik pengawal peribadi itu yang digunakan untuk mengugut kedua-dua mangsa,” katanya.

Beliau berkata polis masih mengesan beberapa suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes terbabit. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.