PETALING JAYA: Gabungan Perumahan Awam menuntut kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik di bawah harga RM100,000, bagi membolehkan lebih ramai isi rumah B40 memiliki kediaman sendiri.
Bercakap dalam satu forum anjuran NGO Gabungan Marhaen, wakilnya M Kathi, berkata realitinya harga rumah di negara ini dijual pada harga tinggi dan keadaan itu tidak selari dengan pendapatan atau gaji minimum yang diterima majoriti individu kumpulan B40.
“Kenapa harga rumah begitu tinggi di Malaysia? Puncanya tanah yang dikawal oleh kerajaan negeri diniagakan kepada pemaju. Pada dasarnya kerajaan negeri tidak boleh terlibat secara langsung dalam perniagaan ini tetapi mereka akan mencipta satu syarikat di bawah kerajaan negeri untuk menguruskan tanah ini.
“Contohnya Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang yang menjual rumah mampu milik dengan harga permulaan pada RM240,000. Adakah rakyat kita dengan gaji minimum RM1,200 boleh beli rumah dengan harga tersebut?” katanya dalam forum bertajuk pandemik, kemiskinan and perjuangan disiarkan di Facebook.
Forum berkenaan juga dianjurkan sempena Hari Antarabangsa untuk Pembasmian Kemiskinan yang ditetapkan pada 17 Oktober setiap tahun.
Kathi berkata, berdasarkan kriteria institusi perbankan, peminjam hanya boleh membuat pinjaman perumahan berdasarkan satu pertiga gaji mereka.
“Jika mengikut gaji (minimum) RM1,200, seorang hanya boleh bayar rumah pada harga RM360 sebulan dan beli rumah bernilai RM70,000. Itu adalah masalah masyarakat marhaen di Malaysia apabila skim perumahan rakyat dibina oleh syarikat swasta,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan membina lebih banyak rumah sewa seperti projek perumahan rakyat (PPR) untuk B20 yang kebanyakannya isi rumah miskin tegar, yang tidak mampu membeli atau membayar pinjaman perumahan sendiri.
“Rumah untuk rakyat marhaen seharusnya tidak dijadikan alat untuk mencari keuntungan,” tegasnya.
Sementara itu, bagi menyelesaikan isu penyelenggaraan di kawasan perumahan kos rendah terutama PPR, beliau mencadangkan agar pihak pemaju atau perbadanan mengambil alih pengurusan penyelenggaraan.
“Ada aduan yang kita terima, mereka yang tinggal di PPR bukan saja bergelut untuk membayar sewa rumah malah tidak mampu membayar kos penyelenggaraan menyebabkan kebanyakan blok PPR tidak dapat diselenggara dengan baik,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.