`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 11, 2022

Masih bercakap pasal Azam

 

Tahun 2022 sudah berusia 11 hari. Masih bolehkah kita bercakap mengenai azam tahun baru?

Sudah lama saya tidak pasang azam baru pada penghujung tahun lama untuk direalisasikan pada tahun baru. Untuk azam menjadi kenyataan tahap disiplin adalah wajib. Tanpa disiplin azam akan tinggal azam. Baki daripada tahun lama akan terus wujud.

Oleh kerana saya tidak ada disiplin, maka saya tidak berazam untuk bersenam, kurangkan makan dan makan hanya ‘healthy food’. Dan supaya hasrat (baca: azam) akan terbukti tidak tercapai, saya memberitahu diri saya lebih baik jangan tanam azam. Buat saja apa yang dibuat selama ini. Tidak bersenam dan makan ikut selera. “Business as usual”. Sekurang-kurangnya tiada siapa boleh tuduh saya cakap tak serupa bikin.

Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob punyai azam tahun baru? Andainya ada, apa agaknya azam beliau? Mungkinkah Ismail berazam membereskan saki baki kelemahan peninggalan pentadbiran Muhyiddin Yassin?

Kalau ya jawapannya, tidak ada tanda azam itu menjadi realiti. Itu bercakap secara terus tanpa berlapik. Jika menggunakan bahasa lembut saya akan kata “belum” ada tanda azam untuk membaiki keadaan sudah terhasil atau menunjuk tanda akan berhasil.

Hakikatnya pentadbiran Ismail sudah dituduh “tidak berjaya” (menggunakan bahasa lembut). Memorandum Persefahaman yang ditanda tangani dengan Pakatan Harapan tidak membawa manfaat yang diharapkan.

Respon kerajaan terhadap bencana banjir tempoh hari bukan sesuatu yang membanggakan. Meminjam tajuk artikel kolumnis FMT Bakar Suar 31 Disember lalu – “Wibawa politik Ismail Sabri kuyup dek banjir?” – Jawapan saya, benar ia kuyup.
Dan kontroversi Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, turut memberi kesan keadaan imej kerajaan Ismail.

Sebenarnya, ada lagi isu yang mencalar (sekali lagi guna bahasa lembut) imej kerajaan. Namun tiga masalah yang disenaraikan tadi adalah yang terbaharu.

Oh ya. Satu lagi – PAS yang duduk dalam kerajaan Ismail sering tampil membela. Khususnya Presiden Abdul Hadi Awang. Tetapi ini memburukkan lagi keadaan kerajaan. Lebih membebankan daripada melegakan .

Ada orang pro Ismail “menasihati” Perdana Menteri “jangan baik sangat. Mesti keras dan tegas”. Adakah ini bermakna mereka tahu apa yang umum tidak tahu? Dan adakah “tidak keras dan tidak tegas” ciri “orang baik sangat”? Dan oleh itu “keras dan tegas” ciri “orang jahat”?

Kesimpulannya, ramai mulai menyamakan kerajaan Ismail Sabri dengan kerajaan Muhyiddin Yassin. Kedua-duanya disifatkan kerajaan “gagal”.

“Perdana Menteri bukan tidak mengerti betapa keyakinan rakyat terhadap kerajaannya semakin menurun,” kata pemimpin kanan, Umno Khaled Nordin pada satu hantaran di Facebook beberapa hari lalu.

Lantas apa yang Perdana Menteri mahu atau akan lakukan? Ada yang meramalkan PRU15 diadakan cepat sebagai jalan keluar. Mengiringi “ramalan” itu ialah persoalan sama ada pilihan raya adalah langkah terbaik. Dan adakah kerajaan Ismail cukup bersedia menghadapinya pada keadaan sekarang?

Baru-baru ini heboh pula diperkatakan Ismail akan merombak Kabinetnya. Ini dinafikan beliau. Penafiannya bagaimanapun tidak menyakinkan. Ramai juga menyifatkan jawapan beliau terhadap pertanyaan yang dikemukakan bukan penafian mahupun pengesahan.

Dan semalam spekulasi bertebaran sekali lagi, Kabinet akan dirombak.

Bagi Khaled Nordin, yang seperti Ismail, ialah Naib Presiden Umno, Perdana Menteri tidak ada banyak pilihan. Siapa lagi, kata beliau, yang Ismail boleh lantik menggantikan ahli Jemaah Menterinya yang gagal. Ismail, menurut beliau, bukan punyai banyak pilihan pun daripada kalangan Ahli Parlimen yang ada.

“Umum pun tahu beliau mewarisi Jemaah Menteri daripada kerajaan Perikatan Nasional yang tumbang. Hampir semua penyumbang PN yang gagal itu terus berada dalam kerajaan Ismail Sabri,” kata Khaled.

Menurut beliau, kedudukan Ismail yang sangat bergantung kepada parti kecil dalam kerajaan sekarang sangat menyukarkan beliau.

“Hendak dibuang siapa dan siapa gantinya sangat tertakluk kepada sokongan parti masing masing. Silap perhitungan mereka akan menarik sokongan terhadap PM,” kata Khaled.

Bagi saya, bukan Ismail tidak tahu akan semua masalah, rintangan dan sengketa yang (akan) dihadapi ini semasa jadi Perdana Menteri lebih satu ratus hari dahulu.

Kata peribahasa Melayu “kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai”. Rasanya Ismail memang “berumah di tepi pantai” kerana “tidak takut dilambung ombak” ketika masuk gelanggang politik, khususnya apabila bersetuju mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Muhyiddin.

Ertinya beliau tahu apa yang menunggu tetapi beliau terima juga jawatan Perdana Menteri. Oleh itu, kenalah tanggung apa yang dihadapi. Bukan begitu?

Imbas kembali pemilihan Umno 2018. Ismail menang jawatan Naib Presiden dengan menduduki tangga teratas mendahului Mahdzir Khalid (tempat kedua) dan Khaled (di tempat ketiga). Maksudnya, beliau tahu sepak terajang politik.

Cuma sekarang, Umno berada dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini itu bak kata Khaled, “Perdana Menteri dari Umno tetapi Umno tidak menguasai kerajaan”.
Dan dilema Ismail adalah dilema Umno. Yang terpukul kata Khaled adalah Umno kerana setiap kelemahan kerajaan, Umno yang akan menerima bukan sekadar tempias tetapi “the hurricane of people’s anger”.

Namun, menurut Khaled, Umno juga tidak boleh membiarkan Perdana Menteri “keseorangan” kerana beliau adalah wakil Umno dan beliau sepatutnya menjadi suara Umno.

Kata-kata itu agak meyakinkan Ismail. “Reassuring” buat beliau kerana kata-kata Khaled boleh dibaca sebagai “Ismail tidak berseorangan dan Umno disisinya.

Bagaimanapun, Khaled juga berkata Umno “sedang bekerja keras untuk mencari strategi keluar dari kemelut ini.” Ini terbuka kepada pelbagai interpretasi. “Strategi keluar” yang dikatakan Khaled boleh datang dalam bermacam rupa dan bentuk.

Dan ia boleh datang bersama seribu satu akibat. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.