PETALING JAYA: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin Ali, mendakwa akar umbi pembangkang kini hangat mempersoalkan tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak bersedia menggunakan logo gabungan parti itu.
Beliau berkata tindakan PKR enggan menggunakan logo PH pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, menunjukkan Presidennya, Anwar Ibrahim mula hilang keyakinan pada gabungan pembangkang itu.
“Bagaimana nak jelaskan kepada rakyat, apabila ketua sebuah gabungan parti tidak bersedia menggunakan logo parti sendiri.
“Ini satu pertanyaan yang sedang hebat diperkatakan di peringkat akar umbi. Kalau ketua sendiri tidak yakin dengan parti atau gabungan sendiri, itu satu perkara besar harus menjadi pertimbangan rakyat di Johor,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan PKR akan menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala dua sekutunya dalam PH iaitu DAP dan Amanah menggunakan logo gabungan pembangkang itu.
Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, dua parti itu menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri, meskipun mempunyai perbezaan pendapat mengenainya.
Dalam pada itu, Azmin berkata tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Johor keluar parti tidak menjejaskan persiapan parti itu dan PN dalam PRN Johor.
Katanya, Bersatu sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan, dan menyifatkan tindakan keluar parti itu sebagai bukan perkara luar biasa, khususnya menjelang pilihan raya.
“Yang penting, parti ini masih kukuh, tegap berdiri dengan penyatuan yang bertambah kukuh dalam PN.
“Kita saksikan semalam bagaimana hasil muzakarah antara PAS dengan Bersatu, yang membuktikan PN masih kukuh dan akan terus berusaha mengukuhkan peranan kita dalam demokrasi di negara ini,” katanya.
Azmin juga memberi amaran, PN tidak akan berkompromi dengan ‘golongan kleptokrat’, dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin dalam Umno yang berdepan pertuduhan rasuah.
Katanya, rakan komponen Bersatu dalam PN, iaitu PAS turut memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak lagi bertindak melakukan PRN seperti di Johor kerana ia akan menggugat prestasi ekonomi dan kestabilan negara.
Beliau berkata, apa juga tindakan politik seharusnya adalah ke arah memperkukuhkan kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.
“Itu yang dilakukan PN sejak awal. Kita adalah gabungan yang mahukan perpaduan, kestabilan, kedamaian dan bukan persengketaan dan yang mengajak semua pihak duduk berbincang demi kepentingan rakyat,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.