`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, January 31, 2022

Ribut petir, hujan di beberapa kawasan hingga 6 Feb, kata MetMalaysia

 

Angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di perairan Laut China Selatan dalam tempoh 2 hingga 6 Feb, menurut MetMalaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Beberapa kawasan sekitar Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami ribut petir serta hujan pada waktu petang hingga awal malam bermula hari ini sehingga 6 Feb depan, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia dalam satu kenyataan di Twitter berkata, kawasan terlibat ialah barat Sabah, barat dan tengah Sarawak serta pantai barat Semenanjung khususnya Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan pedalaman Pahang.

“Cuaca lembap dijangka berlaku di kebanyakan tempat dengan hujan pada sebelah pagi di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah, manakala cuaca panas dan kering dijangka berterusan di negeri-negeri utara Semenanjung.

“Angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di perairan Laut China Selatan dalam tempoh 2 hingga 6 Feb 2022,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia berkata, ramalan itu berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Sementara itu, sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa dan Rabu diramalkan berlaku hujan dan ribut petir pada sebelah pagi di satu dua tempat di Sarawak.

Ia meliputi kawasan di Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei dan Mukah serta di Sabah membabitkan daerah Kudat, Sandakan dan Tawau.

Keadaan cuaca pada petang pula, hujan dan ribut petir dijangkakan berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang), Sabah (pantai barat, pedalaman dan Sandakan) dan Labuan.

Pada sebelah malam, hujan dan ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Perak, Selangor, Sarawak (Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang) dan Sabah (pantai barat, pedalaman dan Kudat) serta Labuan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.