`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, January 25, 2022

Gunung Kinabalu bakal miliki balai bomba

 

Farhan (dua dari kiri) bersama pegawai dan anggota bomba Sabah meninjau Gunting Lagadan Hut yang bakal dijadikan lokasi pusat operasi MOSAR. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)

RANAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tidak lama lagi bakal mempunyai balai bomba yang terletak di lokasi paling tinggi di Malaysia atau mungkin di dunia, iaitu di Gunung Kinabalu, di sini.

Balai bomba atau Pusat Operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) itu bakal diwujudkan di bangunan bekas asrama penginapan di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu yang dikosongkan selepas kejadian gempa bumi pada 2015.

Apabila beroperasi kelak, ia bakal menjadi satu-satunya balai bomba di kawasan altitud tinggi di Malaysia, iaitu pada ketinggian lebih 3,382.2m dari paras laut.

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan berkata, sejak MOSAR ditubuhkan pada 2015 susulan insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015, tiada bangunan khas yang sesuai untuk keperluan operasi gerak kerja MOSAR.

Katanya, pasukan MOSAR hanya ditumpangkan di bilik penginapan di kawasan Panalaban dan kini keanggotaan MOSAR semakin bertambah, iaitu seramai 42 anggota bagi menghadapi sebarang kecemasan dan bencana di sepanjang laluan ke puncak gunung berkenaan.

“Kita ada melakukan tinjauan ke tempat penginapan MOSAR di Panalaban dan ia kurang sesuai dan perlu penambahbaikan.

“Oleh itu berdasarkan perbincangan awal kita bersama Taman-Taman Sabah (TTS) dan mereka (TTS) cadangan supaya Gunting Lagadan Hut dijadikan lokasi pusat operasi MOSAR.

“Bagaimanapun ada beberapa perkara yang kami kena semak lagi dari segi keselamatan dan aset atau pergerakan dan perbincangan lanjut akan diadakan dengan TTS,” katanya ketika ditemui di Gunting Lagadan, Gunung Kinabalu, semalam.

Terdahulu, Farhan dan Ketua Zon 3 Kudat, Sahidih Mahali bersama 15 pegawai dan anggota JBPM Sabah memulakan pendakian pada 22 Jan lalu untuk memantau gerak kerja MOSAR di Gunung Kinabalu.

Farhan (depan) memulakan pendakian untuk memantau gerak kerja MOSAR di Gunung Kinabalu, Sabtu lalu. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)

Pendakian yang dirasmikan oleh Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail itu juga bertujuan memantapkan lagi kerjasama strategik antara JBPM Sabah dan TTS dalam aspek penyelamatan melalui MOSAR.

Sementara itu, Farhan berkata, pihaknya akan menyemak semula keanggotaan serta prosedur operasi standard (SOP) MOSAR untuk memberi perkhidmatan yang lebih efektif.

“Selain itu, hasil pendakian kami melihat mungkin beberapa ‘staging area’ bagi memastikan kestabilan mangsa dapat dipantau dari semasa ke semasa.

“Kita tidak boleh membawa mangsa terus ke bawah tanpa melihat kestabilan mangsa itu sendiri dari semasa ke semasa, jadi kita merancang beberapa lokasi sebagai ‘staging area’ bagi memastikan tahap kestabilan mangsa terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Farhan berkata, sebanyak 259 kes penyelamatan dijalankan membabitkan pendaki untuk turun dari Gunung Kinabalu dan tahun ini sahaja, sebanyak enam kes penyelamatan dijalankan.

Katanya, kebanyakan kes yang dijalankan adalah menyelamat pendaki yang mengalami akut gunung atau Altitude Mountain Sickness (AMS), kesejukan melampau dan tercedera.

“JBPM juga menasihatkan sekiranya pendaki yang ingin mencabar diri untuk ‘menawan’ puncak Gunung Kinabalu supaya kenal pasti limitasi tahap kecergasan masing-masing.

“Selain persiap diri dari segi fizikal dan mental dengan membuat latih tubi sesuai dengan cabaran pendakian Gunung Kinabalu yang beraltitud tinggi dengan kadar oksigen rendah selain persediaan dari segi pakaian yang bersesuaian yang boleh mengurangkan risiko kejadian tidak diingini termasuk risiko kecederaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.