`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 25, 2022

Jika pembalakan penyebab harimau keluar, mengapa binatang liar lain tak berkeliaran, soal Mohd Amar

 

Mohd Amar Nik Abdullah, mempersoalkan mengapa binatang liar lain seperti gajah dan beruang tidak berkeliaran di perkampungan orang asli, melainkan harimau. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sekiranya pembalakan menyebabkan harimau keluar, mengapa binatang liar lain seperti gajah, beruang dan sebagainya tidak berkeliaran di perkampungan Orang Asli, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah, mempertahankan amalan pembalakan mampan di negeri berkenaan.

Beliau juga turut mempertahankan kenyataan Pengarah Perhutanan Negeri yang menyatakan pembalakan tidak menjejaskan populasi harimau.

“Yang dia (Pengarah Perhutanan Abdul Khalim Abu Samah) sebut itu betul… ada kajian orang buat.. WWF (Tabung Hidupan Liar Sedunia).

“Berdasarkan pandangan itu makna pembalakan ini… maksudnya pembalakan terpilih boleh bantu pengurusan hutan. Tak bangkitlah isu orang salahkan pembalakan seolah-olah pembalakan menyebabkan harimau keluar.. banjir dan lain-lain.

“Semua itu tak betul, kita amalkan ‘sustainable logging’ (pembalakan mampan),” katanya menurut laporan Awani.

Semalam Khalim dilaporkan berkata, aktiviti pembalakan teratur baik untuk untuk pertambahan populasi harimau berdasarkan kajian seorang pakar dari Sarawak.

Katanya, apabila ada aktiviti pembalakan, banyak tumbuhan baharu tumbuh yang seterusnya menarik minat haiwan seperti kancil dan sebagainya untuk datang ke kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, hutan simpan dibahagikan kepada dua iaitu hutan simpan perlindungan dan hutan simpan pengeluaran yang dikhususkan bagi aktiviti pembalakan yang terikat dengan peraturan catuan tebangan.

Kelantan katanya, mempunyai hutan simpan berkeluasan ratusan ribu hektar yang tidak diusik.

Beliau juga meminta orang ramai tidak menyalahkan pembalakan sebagai punca harimau keluar atau kejadian banjir. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.