`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 27, 2022

BN tiada kaitan langkah Zuraida keluar Bersatu, kata Zambry

 

Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu adalah urusan ahli Parlimen Ampang itu dan partinya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tiada kaitan dengan langkah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata Setiausaha Agungnya, Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, BN juga tidak mahu diseret dalam kemelut itu kerana gabungan terbabit melalui Ketua Sekretariat Undang-undang, Azalina Othman Said kini mengetuai agenda perubahan berkaitan akta anti-lompat parti.

“Terlalu awal untuk membuat sebarang komen berkenaan tindakan Zuraida. Kita tak mahu diseret dalam kemelut ini, ia adalah urusan beliau dan partinya,” katanya kepada FMT.

Semalam, Zuraida mengumumkan keputusan meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM kerana mempercayai perjuangan PBM dan tertarik dengan enam prinsip terasnya.

Menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata, beliau akan membincangkan peletakan jawatannya dalam Kabinet dengan perdana menteri dalam masa terdekat, namun tetap menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Zuraida menyertai Bersatu selepas dipecat oleh PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Khabar angin beliau akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM bertiup kencang sejak akhir tahun lepas berikutan spekulasi bekas naib presiden PKR itu akan mengetuai PBM yang kini diterajui Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Mengenai kemungkinan PBM bekerjasama dengan BN, Zambry berkata, ia perlu dibincangkan oleh Dewan Tertinggi BN.

“Sebarang langkah oleh mana-mana individu dan parti untuk menyertai BN perlu dibuat secara konsensus oleh Dewan Tertinggi BN.”

Terdahulu, Sng dilaporkan tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dengan BN, sekiranya ia menepati aspirasi dan hala tuju parti baharu itu.

Namun katanya, usul kerjasama PBM dan BN itu disuarakan akar umbi dan belum dimuktamadkan oleh partinya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.