`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 27, 2022

Durian premium di P Pinang pada harga mampu milik bulan depan

 

Pemilik dusun durian menjual durian kepada pemborong di Balik Pulau, Pulau Pinang, tahun lepas. Jun dikatakan sebagai masa terbaik untuk pencinta durian menikmati buah itu pada harga lebih rendah. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Penggemar durian akan dapat menikmati “raja buah” itu pada harga mampu milik pada Jun ini.

Harganya dijangka menurun berikutan lebihan bekalan di negeri lain.

Pemilik dusun durian Lai Kuan Beng, 50, berkata, pada masa ini hanya Pulau Pinang mempunyai lebih banyak bekalan buah itu di pasaran sejak awal bulan disebabkan tempoh pengeluaran durian di negeri itu adalah pada pertengahan April atau awal Mei, bergantung kepada cuaca.

“Harga agak tinggi sekarang kerana kurang bekalan berikutan musim durian belum tiba ke kemuncaknya dan kebanyakan durian Pulau Pinang juga diedarkan ke negeri lain,” katanya ketika ditemui di dusunnya di Sungai Ara di sini.

Lai berkata, durian turut ditanam di beberapa negeri termasuk Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, namun durian Pulau Pinang paling dicari-cari.

Katanya, kelemahan ringgit, kos buruh asing yang tinggi dan kenaikan harga baja adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan harga durian.

“Apabila musim durian bermula awal bulan ini, durian premium seperti Black Thorn berharga RM100 sekilogram, Musang King RM75 sekilogram manakala Hor Lor dan Udang Merah RM50 sekilogram.

“Kini harganya jatuh dan saya jangka ia akan terus jatuh apabila bekalan dari negeri lain diperoleh mulai bulan depan,” katanya.

Beliau berkata, Jun adalah masa terbaik untuk pencinta durian menikmati buah itu pada harga lebih rendah dengan lebih banyak pilihan terutamanya di negeri itu.

Sementara itu, pemilik kedai “1818 Durian and Fruit Dealer” di Balik Pulau, Elvis Liew Min Long berkata, minggu ini beliau mengumpul lebih lima tan durian setiap hari daripada pemilik dusun di kawasan itu, yang kemudiannya akan diagihkan kepada penjual tempatan dan negeri lain.

“Kami membekalkan durian setiap hari kepada penjual dari pelbagai kawasan seperti Yan di Kedah, Taiping di Perak, Kuala Lumpur dan Muar di Johor. Minggu ini harga mula turun perlahan-lahan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.