`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 2, 2022

Sukar elak 3 penjuru, PN dijangka lawan BN di banyak negeri, kata Sanusi

 

Menurut Sanusi Md Nor, agak mustahil untuk melihat pertembungan ‘dua penjuru’ selepas mengambil kira jumlah calon dari semua parti.

ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Sanusi Md Nor membayangkan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di kebanyakan negeri termasuk Kedah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sukar dielakkan.

Beliau berkata, ia sukar biarpun pertandingan “dua penjuru” sedang diusahakan oleh kepimpinan parti.

Katanya, ia juga kerana budaya Umno dan BN yang mengangkat pemimpin bahagian mereka sebagai calon dan agak mustahil untuk melihat berlakunya pertembungan “dua penjuru” selepas mengambil kira jumlah calon dari semua parti.

“Kemungkinan di banyak negeri kita akan bertanding tiga penjuru (tetapi) yang sedang diusahakan para pimpinan kita ialah dua penjuru, tapi saya rasa di Kedah pun jadi tiga penjuru, tak boleh elak…,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 800 perwakilan sempena Muktamar Pemuda PAS Ke-63 malam tadi.

“Kerusi Parlimen di Kedah ada 15 sahaja, DUN ada 36, ketua pemuda, ketua wanita, calon sedia ada (bila) bahagi-bahagi (kerusi) tak cukup maka agak mustahil perkara itu dibuat bagi memastikan dua penjuru,” katanya.

Justeru, menteri besar Kedah itu berkata, gabungan PN sudah bersedia dengan kemungkinan berlaku termasuk cabaran daripada Pejuang, pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

“Kita terima kemungkinan-kemungkinan berlaku – pertembungan PAS, Umno, PH, ada satu lagi di Kedah dipanggil Pejuang, itu senario yang akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, bercakap kepada media selepas itu, Sanusi berkata, rundingan masih terbuka bersama Umno-BN di 27 kerusi berisiko agar kawasan Parlimen itu tidak jatuh ke tangan PH.

“Saya rasa kalau tak dirundingkan siang-siang sudah dapat dekat PH, sayang pula. Jadi rundinglah selagi boleh, saya sedia untuk runding, takut mereka (Umno-BN) tak sedia.

“Sebab saya sebut tadi, kerusi tak cukup (untuk) semua orang, saya faham dilema yang dihadapi mereka (Umno-BN). Kalau ada ruang di mana-mana elok kita runding,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa PAS dan Umno kembali kepada wadah Muafakat Nasional (MN) untuk menyelamatkan 27 kerusi Parlimen berisiko, jika dua parti terbesar itu bertembung pada PRU15. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.