`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 11, 2023

Henti mentaliti subsidi, bos Mydin tegur peniaga terbabit Menu Rahmah

 

Inisiatif Menu Rahmah bersifat sukarela dan tiada paksaan oleh kerajaan kepada peniaga makanan, kata Pengarah Urusan Pasar Raya Mydin Ameer Ali Mydin.

PETALING JAYA: Peniaga perlu berhenti daripada “bermentaliti subsidi” jika mahu terbabit dalam program Menu Rahmah, tegur seorang taikun pasar raya yang juga antara penggerak utama inisiatif berkenaan.

Pengarah Urusan Pasar Raya Mydin Ameer Ali Mydin berkata, ini kerana inisiatif berkenaan bersifat sukarela dan tiada paksaan oleh kerajaan kepada peniaga makanan.

Tambahnya, majoriti bahan mentah di negara ini sudah pun disubsidi oleh kerajaan dan harga bahan asas juga menunjukkan trend mereda.

“Kerajaan dah bagi banyak subsidi, ayam, telur… malah beras kita juga disubsidi oleh kerajaan. Jika peniaga merasa terbeban, jangan jual (Menu Rahmah).

“Kita kena sedia maklum, bila inisiatif ini diumumkan, ia bukan paksaan, siapa nak jual mereka boleh jual, siapa yang rasa tak mampu (nak tanggung kos), tak perlu jual. Mentaliti subsidi kena hentikan,” katanya kepada FMT.

Tegasnya, kerajaan juga tidak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap kos bahan mentah kerana ia berkait rapat dengan suasana global.

Pada Sabtu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata kajian menyeluruh berhubung insentif kepada peniaga terlibat dalam pelaksanaan Menu Rahmah akan dibuat selepas Aidilfitri.

Ia susulan laporan FMT menyiarkan rasa kurang senang beberapa pengusaha makanan Menu Rahmah memandangkan ia lebih menguntungkan kerajaan dari segi “publisiti”.

Peniaga dikenali sebagai Nurul Nashfisha, 18, menyifatkan pendirian kerajaan sebelum ini enggan memberi insentif kepada peniaga Menu Rahmah sebagai tidak adil.

Peniaga dapat manfaat berganda

Tidak bersetuju dengan pandangan itu, Ameer berkata, peniaga yang terbabit dalam program itu sebenarnya mendapat manfaat berganda berbanding kerajaan.

“Sebenarnya yang ambil nama (dari Menu Rahmah) ini peniaga, sebab orang pergi ke kedai mereka kerana ada jual menu murah.”

Beliau berkata, peniaga juga perlu kreatif memperkenalkan Menu Rahmah kerana tidak semua hidangan ditawarkan perlu dijual pada harga murah.

“Dalam 30 menu yang dijual, peniaga boleh pilih dua atau tiga menu saja untuk terbabit dalam program Menu Rahmah. Ia meliputi 10% hingga 15% saja dari kos bahan mentah.

“Masih boleh untung,” katanya.

Beliau menyuarakan keyakinan program itu mampu bertahan lama berdasarkan sambutan menggalakkan daripada pelanggan dan peniaga yang ditemuinya.

“Kalau peniaga dah cuba dua, tiga bulan tapi tak balik modal, tak boleh tanggung kos, boleh berhenti. Tetapi majoriti yang saya jumpa mereka gembira jual Menu Rahmah ada yang kata makin ramai pelanggan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.