`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, October 29, 2023

Sewa rendah antara faktor Nilai jadi tumpuan warga asing, kata MB

 

Op Sabong yang melibatkan 350 anggota agensi keselamatan dan penguatkuasaan Negeri Sembilan termasuk pegawai polis, imigresen dan kastam dilaksanakan selama 5 hari mulai 24 Okt. (Gambar Facebook Aminuddin Harun)

NILAI: Premis berkadar sewa rendah, termasuk untuk dijadikan asrama dan transit sebelum warga asing dihantar ke negeri jiran, menjadi antara faktor menarik golongan itu bertumpu di Nilai, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Beliau yang juga Exco Keselamatan negeri berkata, perkara ini memberikan kesan kepada masyarakat setempat berikutan ada antara mereka yang melanggar undang-undang.

Malah katanya, ada dalam kalangan majikan mengambil kesempatan menempatkan pekerja dalam persekitaran tidak selesa.

“Jadi kita merasakan perlu untuk dibuat pemeriksaan bagi memastikan mereka (majikan dan warga kerja asing) mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

“Kita tahu sebahagian daripada mereka ada lesen, mereka (majkan) juga warganegara dan boleh menjalankan perniagaan mereka dengan baik, tetapi pastikan tidak melanggar peraturan, ada kedai yang telah lama beroperasi tapi baru nak mohon lesen apabila operasi dijalankan.”

Beliau berkata demikian selepas turun padang ketika operasi bersepadu atau Op Sabong yang melibatkan 350 anggota agensi keselamatan dan penguatkuasaan Negeri Sembilan termasuk polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam malam tadi.

Dalam operasi selama lima hari bermula 24 Okt itu, 17 operasi dilaksanakan dengan lebih 1,000 warga asing diperiksa. Sebanyak 185 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen, manakala 254 premis diperiksa dan lima premis disita.

Aminuddin turut menggesa ejen pekerja asing supaya mengikut peraturan dan tidak menjadikan Nilai sebagai tempat meletakkan pekerja sebelum dihantar ke lokasi lain.

Beliau turut menasihatkan warga asing untuk memahami adat dan budaya tempatan serta berkelakuan baik selain tidak melanggar peraturan.

Dalam pada itu, katanya, sejumlah 398 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 600 botol/tin bir serta 51 peket rokok pelbagai jenama seludup, selain 10 peket syabu dan 14 peket heroin turut dirampas dalam operasi itu.

Aminuddin berkata, semua kesalahan, rampasan dan tangkapan itu tertakluk pada akta, peraturan, dan enakmen yang berkuat kuasa, termasuk Akta Dadah Berbahaya 1985 (Akta 316), 1952 (Akta 234), Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/1963.

Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dipergiat oleh semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk diperluas ke semua daerah bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.

“Saya juga menyeru agar seluruh masyarakat memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan sentiasa cakna dan bekerjasama melaporkan segala bentuk kesalahan jenayah, salah laku, penyelewengan, penyeludupan dan pelanggaran undang-undang,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri sangat prihatin dan memberi tumpuan kepada isu lambakan warga asing di negeri ini serta giat melaksanakan langkah mengekang, mengawal dan memastikan mereka mematuhi undang-undang selain tidak mendatangkan kesan buruk kepada warga tempatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.