`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 30, 2023

Hujan tak halang rakyat pamer solidariti kepada Palestin di Selangor, P Pinang

 

Ribuan peserta Himpunan Kasih Gaza berkumpul di pekarangan Masjid Bandar Perda, Bukit Mertajam, petang semalam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Cuaca mendung serta hujan di Selangor dan Pulau Pinang sejak petang tidak menghalang orang ramai untuk berhimpun bagi menzahirkan sokongan dan solidariti kepada rakyat Palestin.

Di Selangor, sekitar 1,000 orang dianggarkan hadir pada himpunan “Solidariti 4 Palestin” semalam anjuran Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, dan turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari serta Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof.

Himpunan berkenaan, yang diwarnai kibaran bendera Palestin serta digemakan dengan laungan takbir dan “Hancur Zionis dan Yahudi”, dimulakan dengan solat Maghrib, diikuti solat Isyak serta solat hajat berjemaah dan alunan Asmaul Husna.

Selain itu, himpunan disemarakkan dengan nyanyian lagu oleh kumpulan nasyid terkemuka, antaranya Brothers, Saff-One dan Inteam serta bacaan puisi berkisar keadaan semasa, sejarah perjuangan serta penderitaan rakyat Palestin.

Di Pulau Pinang, lebih 2,000 umat Islam menyertai Himpunan Kasih Gaza seawal 4 petang di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bukit Mertajam, dengan berpakaian serba hitam sambil membawa bendera dan sepanduk “Free Palestine”.

Himpunan anjuran Gabungan SPT (GSPT) bersama Masjid Daerah SPT itu turut membabitkan penyertaan daripada 150 NGO serta pemimpin politik, dengan laungan “Free Free Palestine” dan Allahuakbar bergema di setiap sudut masjid.

Turut diadakan bacaan doa Qunut Nazilah selain pertunjukan silat oleh Anak Gayong SPT sebagai simbolik kepada kekejaman yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohamad Abdul Hamid yang turut menyertai himpunan itu menyifatkan kekejaman rejim Zionis terhadap umat Islam di Palestin sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Isu (Palestin) bukan saja isu umat Islam tetapi isu kemanusiaan yang mendapat sokongan daripada seluruh dunia yang membantah kezaliman oleh Israel,” katanya.

“Kita di Pulau Pinang juga tidak terkecuali menunjukkan sokongan bersama NGO bagi menyampaikan mesej kepada Israel supaya hentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin.”

Mohamad berkata, Tabung Solidariti Palestin yang dilancarkan pada 12 Okt lepas sehingga kini berjaya mengumpul hampir RM1 juta hasil sumbangan kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, individu serta badan korporat.

Katanya, jumlah keseluruhan kutipan akan diumumkan dalam masa terdekat serta akan diserahkan terus kepada Palestin melalui kerajaan Malaysia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.