`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 26, 2023

George Town, kota dengan roh

 

Hujung 1990-an, saya sedang mengerjakan sarjana di Universiti Sains Malaysia, di bawah Prof Shahnon Ahmad. Ketika itu saya tinggal di rumah beliau, dan sering merayau di George Town.

Akan tetapi saya harus berjujur mengatakan yang saya rimas dan tidak begitu gemar akan Pulau Pinang kerana saya berpendapat ia kota yang mati. Sedangkan saya baru usai pengajian peringkat asas di Universiti Malaya, di sebuah kota yang bingit bising dan paling penting hidup. Iaitu Kuala Lumpur. Tambah pula sekitar tahun-tahun itu adalah tahun yang hangat oleh gerakan reformasi.

Buat beberapa tahun saya tidak pernah kembali ke George Town. Tidak ada apa.

Lama setelah kerajaan DAP tertegak di Pulau Pinang barulah saya hadir semula. Lebih kerana saya diundang untuk menyertai George Town Literary Festival (GTLF). Ketika itu hubungan baik saya dengan Bernice Chauly, pengarah awal pesta sastera yang berpengaruh tersebut membolehkan saya ke sini. Ya, meskipun saya ‘orang sastera Melayu’.

Tatkala itu, George Town Literary Festival berputik sebagai keraian sastera yang agak khas untuk sastera bermedium bahasa Inggeris. Dengan ingatan orang sastera Melayu kan ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kesayangan mereka itu. Makanya orang yang termarjinal harus diberi tempat lain.

Perlahan-lahan pengaruh DBP merosok teruk dan orang sastera Melayu mulai mengurat dan mengendeng untuk ikut serta di George Town Literary Festival. Ini kerana pesta sastera anjuran DBP kelihatan tiada semangat. Ia dimudahkan apabila Pauline Fan mengambil alih, seorang yang mempunyai kefahaman seni secara praktikal dan juga inklusif. Saya percaya beliau melihat Dasar Kebudayaan Kebangsaan dari kaca mata berbeza.

Maka tahun ini untuk kali ketiga belas, GTLF hadir. Dalam ucapan pembukaan di hadapan ketua menteri Pulau Pinang, Pauline merayu Chow Kon Yeow agar melihat perkembangan GTLF yang kini sudah meraikan pengarang dari serata dunia dan begitu terkenal. Bukan sahaja melihat tetapi mendanai dengan sesungguhnya agar pasukan kerja dua orang itu dapat dinaiktaraf. Pauline mengingatkan, pada 2018, pesta sastera ini diberi anugerah The London Book Fair International Excellence Awards oleh London Book Fair menunjukkan pengaruh dan gengsinya yang makin melebar.

Jawaban Chow Kon Yeow ialah, “hanya siang tadi saya baru membentangkan sebuah bajet dengan defisit 500 juta” seraya mengurut dada. Untuk rekod bajet 2023 Pulau Pinang ialah dengan defisit sebanyak RM514.53 juta berbanding defisit tahun sebelumnya yang berjumlah RM467.12 juta.

Sesebuah kota seperti George Town, Pulau Pinang atau Kuching, Sarawak misalnya perlu diberi roh dan semangat. Untuk Kuching ada pesta muzik. Manakala George Town ada pesta sasteranya. Kalau di dunia luar, kota atau desa seperti Cannes, di Perancis dan Sundance di Amerika datang dengan pesta filemnya. Sedang, Jaipur India pula datang dengan pesta sasteranya yang demikian meriah.

Singapura cuba menyaingi dengan pesta-pesta seni begini. Malah dengan wang yang besar, ia berusaha memanjangkan tempoh. Akan tetapi Singapura begitulah seperti Singapura. Ia ada wang tetapi pengisiannya membawa kemusykilan lain. Selangor ingin menawarkan sesuatu yang berbeza dan dengan jenama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang amat menyukai seni dan budaya; Hadiah Sastera Selangor sudah boleh mendabik dada. Harap-harap ia berterusan.

Saya pernah memberitahu bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari untuk menumbuhkan semangat dengan memberi identiti kepada Melaka. Mungkin sahaja pesta sastera tradisional, atau pesta filem dokumentari. Seperti George Town Literary Festival ia akan bermula kecil-kecilan sehinggalah meningkat dan membesar remaja menjadi sesuatu yang berwibawa. Sayang, Langkah Sheraton berlaku dan pendajalan kerja seni juga dijadahkan.

Di Pulau Pinang, di mana politiknya lebih stabil; kegiatan seni dengan memberi jati diri ini dapat dilakukan dengan lebih giat dan selamat. Sebetulnya kegiatan seni begini memberi roh kepada sesebuah kota atau desa. Ia juga meletakkan nama kota itu di atas peta dunia. Orang yang tergiur dengan seni tertentu ini akan berpusu ke sini dan kemudian berbelanja dan melancong. Hal ini terjadi jelas setiap kali George Town Literary Festival.

Bila kita ke sini, kita juga mencuba peta gastronomi dengan pasembor, nasi kandar dan macam-macam lain.

Saya kira jika sesebuah kota ingin punya roh, ia tidak harus kedekut dan tidak harus takut untuk memberi; kerana pasti pulangan atau labanya akan datang kembali. Janaan dari ekonomi kreatif mestilah konsisten dan selepas beberapa tahun untung itu akan datang berganda.

Terlepas dari untung dan laba, sesebuah kota yang disandarkan dengan identiti seni tertentu akan memberi kehidupan kepada penghuninya. Untuk pesta sastera di George Town ini ia memberi manfaat kepada kelompok seperti penuntut di Universiti Sains Malaysia yang memberi perhatian khusus kepada sastera bandingan. Saban tahun, saya akan menemui anak muda dari kampus USM mendekati, mengingatkan perihal diri saya sendiri satu ketika lalu.

Saya berharap GTLF tidak akan surut dan sudut tetapi terus pasang dan kembang ke segala ceruk. Memang rayuan Pauline itu terasa remeh apabila melihat gerak kerja pasukan kecilnya itu begitu licin. Akan tetapi tidakkah melelahkan kerja dua orang untuk membolehkan dunia melihat kita? Patut-patutlah juga, orang seni bukan selalu meminta dan meminta pun bukan demikian banyak.

Moga-moga GTLF akan berkembang dan tidak terjejas oleh percaturan siasah negeri mahupun persekutuan. Juga, kota lain boleh belajar dari George Town. Bagaimana caranya untuk memberi roh kepada sesebuah tempat hunian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.