`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 27, 2023

Isyarat buat Muhyiddin tunjuk kepimpinan

 

“Ini adalah perhimpunan agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai presiden parti,” kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung parti itu Jumaat lalu. Memohon maaf atas kesalahan dan kesilapannya sepanjang memimpin Bersatu sejak menang tanpa bertanding pada pemilihan 2020, beliau jelas menahan sebak. Ia bukan pun seperti dibuat-buat.

“Keputusan ini untuk memberi peluang kepada pemimpin pelapis Bersatu mengambil alih kepimpinan parti,” katanya di sebalik teriakan perwakilan agar menarik balik pengumumannya itu. Bayangannya ialah ia satu pendirian yang sudah beberapa ketika dipertimbangkan sebelum pengumuman sebenar dibuat dan bukan secara spontan. Atau silapkah tanggapan itu?

Dalam satu wawancara dengan FMT yang tersiar 19 Nov lalu, Muhyiddin menyatakan mahu peralihan pimpinan Bersatu lancar agar tidak sampai parti berpecah-belah. Mengambil maklum gesaan perubahan pimpinan oleh seorang pemimpin, Eddin Syazlee Shith, yang mendakwa ada kelompangan dalam parti dan perlu dibaiki menjelang PRU16, Muhyiddin seakan-akan mempersiapkan perwakilan pada perhimpunan agung itu terhadap satu kejutan daripadanya.

Lantas apabila pengumuman dibuatnya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun depan, reaksi perwakilan harus tidak seperti dijangkakannya. Atau ia satu pementasan drama tanpa skrip yang dipertontonkan? Atau ia sekadar satu langkah taktikal untuk mengukur sokongan ahli parti seperti dirumuskan oleh penganalisis politik?

Berselang cuma 24 jam, Muhyiddin mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatan presiden Bersatu untuk sepenggal lagi. Ia semudah itu untuknya melenyapkan segala cakap-cakapnya sebelumnya mahu mempersiapkan peralihan pimpinan parti, juga pilihannya memberi laluan kepada Setiausaha Agung Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang untuk “melihat ke depan dan masa sesuai untuk melatih orang baharu”.

Berucap dalam sesi penggulungan perhimpunan agung kelmarin, Muhyiddin berkata beliau diyakinkan oleh isterinya, Noorainee Abdul Rahman, untuk tidak mengecewakan ahli yang memerlukannya. “Saya kata ‘OK, I will stay for the last term’. Saya mengumumkan akan bertanding pada pemilihan akan datang,” katanya, disambut sorakan perwakilan.

“Sebenarnya kuasa yang paling besar, saya nak sebutkan di sini, bukan perhimpunan agung. Kuasa besarnya tidak lain ialah isteri saya. Isteri saya hadir sejak semalam atau beberapa hari lepas. Dia teks kepada saya ‘Stay another term, jangan kecewakan mereka. They need you. Mereka ikhlas, Yang’. Saya jawab ‘Yes I know’. ‘Carry on saya restu, kata dia. Bersatu need you, masih belum kuat, kata dia’. Saya jawab ‘I will stay for the last term’. Isteri saya kata ‘Thank you, This is for the nation. Abah must stay on’.”

Kali ini tiada rasa sebak, tiada sedu-sedan, sebaliknya digantikan senyuman meleret diiringi kata-kata penutupnya: “Jadi saya nak menyatakan atas hasrat dan niat baik saudara-saudari sekalian yang saya akur dari pimpinan di atas, semua yang ada di sini dan mungkin di luar sana, saya membuat keputusan untuk menawarkan diri saya untuk bertanding jawatan presiden bila sampai masanya nanti.”

Ia juga mungkin caranya untuk menunjukkan kepada segelintir pemimpin dalam parti bahawa beliau masih mendapat sokongan tidak berbelah-bahagi perwakilan, khususnya kepada yang berura-ura mahu mengambil tempatnya dan tidak sabar untuk melihat beliau berundur.

Benarlah seperti dirujuk beberapa pihak, pusingan U yang dibuat Muhyiddin itu umpama mencontohi langkah Dr Mahathir Mohamad pada 2002. Dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno ketika itu, Dr Mahathir mengumumkan untuk mengundurkan diri sebagai presiden hanya untuk diserbu oleh ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk Rafidah Aziz dan Hishamuddin Hussein yang mendesaknya supaya menarik balik. Ini disusuli pengumuman timbalannya, Abdullah Ahmad Badawi, sejam kemudian bahawa Mahathir bersetuju mengubah keputusannya.

Sama ada berundur atau pertahan jawatan presiden itu satu keputusan tepat, hanya masa bakal menjadi pengukurnya. Seminggu dalam politik adalah satu tempoh yang panjang, apatah lagi setahun menjelang pemilihan akhir tahun depan yang memungkinkan apa saja berlaku.

Sorakan dan teriakan bersemangat yang mahukan beliau menarik balik keputusan berundur dan keriuhan serupa ketika mengumumkan akan mempertahankan jawatan presiden boleh dilupakan dalam sesingkat masa andainya ada krisis terbaru yang melanda parti selepas ini, tambahan selepas empat Ahli Parlimen Bersatu mengikrarkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan peruntukan pembangunan untuk kawasan masing-masing.

Begitu juga persoalan sama ada ia akan menjadikannya pemimpin Bersatu yang lebih kuat dalam pada partinya dikatakan terjejas oleh krisis dalaman, jika diambil kira sudah ada duluan pemimpin yang berbuat sepertinya akan dilihat umpama ‘itik tempang’. Seperkara yang pasti, tiada silapnya Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, James Chin daripada Universiti Tasmania, dan Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura yang berpandangan Muhyiddin sekadar mahu mengukur sokongan ahli partinya.

Apa pula kata Muhyiddin? “Gimik? You tanya kawan-kawan lain ini gimik ke? Saya bukan main-main,” tegasnya dengan wajah serius pada sidang akhbar selepas perubahan keputusannya itu. Barangkali kalau direnungkannya semula, ia mungkin lebih baik untuknya tidak mengumumkan pendirian enggan mempertahankan jawatan presiden berbanding dilihat seorang pemimpin “flip flop”.

Cabarannya selepas ini ialah untuk Muhyiddin memperlihat kepimpinan lebih kuat sebagai presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bukan pemimpin mengikut kesesuaian waktu dan isu, lebih-lebih lagi seorang ketua yang bersikap lepas tangan. Seiring dengan pengumuman terbarunya itu bermulalah ujian lebih getir untuk Muhyiddin menunjukkan kepimpinan.

Menyetujui tempoh setahun adalah tempoh yang sangat panjang dalam politik, rata-rata ia harus diterima kini yang Muhyiddin akan tampil apabila pemilihan Bersatu berlangsung menjelang akhir tahun depan. Tapi ia bukan jaminan beliau tidak akan mendapat tentangan seperti yang diungkapkannya “sesuai dengan amalan demokrasi yang kita amalkan”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.