`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 8, 2024

Anak bulan penentu ‘hari kemenangan’ umat Islam

 

Anak bulan dicerap melalui teleskop di Balai Cerap Selangor, Ayer Tawar.

PETALING JAYA: Setiap tahun umat Islam pasti menantikan pengumuman tarikh 1 Syawal oleh penyimpan mohor besar raja-raja bagi menyambut “hari kemenangan” iaitu Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

Selain Syawal, pengumuman tarikh bermula Ramadan iaitu bulan di mana umat Islam diwajibkan berpuasa dan Zulhijah bagi menyambut Aidiladha juga akan dibuat penyimpan mohor besar raja-raja.

Namun, pengumuman pada 2022 mencetuskan “kegemparan” apabila tarikh Aidilfitri yang ditakwimkan meleset.

Kaedah cerapan hilal atau anak bulan bagi menetapkan permulaan puasa seluruh negara kali pertama digunakan pada 7 Okt 1972 bersamaan 29 Syaaban 1392 Hijrah. Cerapan anak bulan amat penting bagi menentukan tarikh permulaan bulan dalam kalendar Islam.

Malaysia pernah menggunakan beberapa kaedah dalam penyusunan takwim Hijrah seperti istilahi, ijtimak hakiki, ijtimak wujud al-hilal sebelum 1995 dan imkanur rukyah bermula Mei 1995 sempena Muharam 1415H.

Mufti Selangor Anhar Opir memberi perincian kepada penyimpan mohor besar raja-raja mengenai data cerapan.

Berdasarkan carian di laman web mufti Wilayah Persekutuan, kaedah penentuan awal bulan Hijrah oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) adalah kriteria imkanur rukyah Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) yang dilaksanakan dan digunakan di Malaysia sejak 1992 hingga 2021.

Norameen Burhanuddin.

Penolong Mufti Bahagian Falak Jabatan Mufti Selangor, Norameen Burhanuddin, berkata pada 1992 Malaysia menggunakan kriteria imkanur rukyah meliputi tiga kriteria iaitu ketika matahari terbenam, altitud bulan lebih 2 darjah dan elongasi hilal (anak bulan) dengan matahari lebih 3 darjah atau umur hilal lebih lapan jam.

Katanya, ia diguna pakai dari 1992 hingga Ogos 2021 dan selepas itu kriteria baharu digunakan iaitu altitud hilal mesti lebih 3 darjah dan elongasi hilal ke matahari mesti lebih 6.24 darjah.

Beliau yang juga pegawai sains di Balai Cerap Selangor berkata, rasional di sebalik cerapan anak bulan adalah kerana sunnah Nabi Muhammad menetapkan umat Islam perlu merukyah (melihat anak bulan) bagi menentukan bulan Islam baharu.

Orang awam tidak melepaskan peluang untuk bersama dalam aktiviti mencerap anak bulan di Balai Cerap Selangor.

Walaupun hisab falak dapat menghitung kedudukan anak bulan secara tepat tetapi syarak menetapkan cerapan hendaklah dilakukan kerana ia sebahagian fardu kifayah bagi umat Islam.

Bagi Mufti Selangor, Anhar Opir, jika ada teknologi baharu seperti teleskop yang lebih jelas dan tepat, itu boleh digunakan.

Contoh data hisab falak bagi penentuan anak bulan Ramadan 1445H.

“Ada cadangan nak gunakan satelit dan seumpamanya tapi setakat ini tidak digunakan. Jadi tengok itu (cerap anak bulan) disuruh nabi cuma peralatan yang mungkin berkembang dari sudut penggunaan,” katanya.

Norameen menjelaskan, dulu mereka hanya menggunakan kamera DSLR yang diletakkan di teleskop bagi tujuan merakam anak bulan namun kini pelbagai teknologi pengimejan diadaptasi dalam proses pencerapan.

“Sekarang dah ada pelbagai teknologi pengimejan CCD (charge-coupled device), macam sekarang kita pakai (kamera) ZWO. Yang penting kita kena tahu di mana bulan berada,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.