`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, April 19, 2024

Balaci Mossad beraya di Kuala Lumpur

 

Free Malaysia Today

Sikap Malaysia terhadap Palestin dan Israel memang kian bertaring sejak pentadbiran Anwar Ibrahim. Selain menyelar dasar Jerman yang tidak berbelah bahagi menyokong apartheid Israel di Palestin pada sidang media bersama presiden Jerman, Olaf Scholz; Anwar juga simpatetik terhadap Hamas seperti yang ditunjukkan apabila perdana menteri menghubungi Ismail Haniyeh ekoran serangan Israel pada Aidilfitri yang mengorbankan sebahagian ahli keluarga pemimpin Palestin itu.

Baru-baru ini Anwar terang-terang menyatakan keberpihakan kepada Iran ekoran serangan dron ke atas pangkalan tentera Israel. Anwar memetik kronologi konflik yang bermula dengan tindakan Israel mengebom bahagian konsulat Iran di Damsyik, Syria sebelumnya. Terbaru, supra parti politik, Anwar membantu keluarga aktivis PAS dan Palestin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari Cinta Gaza Malaysia untuk keluar dari Palestin. Ini beliau lakukan meskipun Nadir penyokong kuat Perikatan Nasional.

Ketegasan Anwar ini membawa kepada satu kemungkinan. Tidakkah Israel berdendam dengan Malaysia dan mencari jalan untuk mengkucar-kacirkan negara ini? Apatah lagi sebahagian besar umat Islam di Malaysia mudah melatah dengan hal-hal ranting. Misalnya, tidakkah mungkin samseng Zionis mengusahakan perkelahian dengan menanam kekacauan agar pertelingkahan agama dan kaum memburuk lantas mengambil kesempatan? Kita mesti bersedia apa sahaja kemungkinan celaka.

Semua kerja-kerja begini boleh dilakukan oleh pasukan perisikan. Iran contoh negara yang banyak diganggu Israel dan agensi perisikannya iaitu Mossad. Senarai saintis nuklear Iran yang dibunuh oleh ejen luar sangat ramai.

Mungkinkah ada ejen Mossad dalam kalangan orang Melayu sendiri hidup dalam kalangan kita? Satu survei oleh Anti-Defamation League ada menyatakan sikap anti-Israel rakyat Malaysia adalah tinggi, di mana sejajar dengan itu, Pew Institute, dalam survei lain menemukan hanya 11% rakyat Malaysia menyokong Israel dalam konflik terbaru ini.

Siapakah 11% ini? Mungkinkah mereka ikut meraikan Aidilfitri bersama-sama?

Pergerakan Mossad di negara ini bukanlah rahsia dan banyak dilaporkan media. Misalnya pada 2018, seorang ahli akademik asal Palestin yang menetap di Malaysia, Fadi Al-Batsh, dibunuh oleh pasukan perisikan Israel di Setapak, dengan 10 peluru melatam jasadnya. Keluarga Al-Batsh memang mencurigai pembabitan Israel malah wakil Palestin di negara kita ketika itu, Anwar Al-Agha, mengesahkan ‘as syahid’ anggota Hamas. Pembunuhan itu disempurnakan oleh beberapa lelaki yang memandu motosikal berkuasa besar BMW 1100cc. Al-Batsh tinggal di sini sejak 2012 dan mengajar di Universiti Kuala Lumpur British-Malaysian Institute. Sebelumnya beliau menuntut di Universiti Malaya dengan biasiswa dari Yayasan Khazanah.

Kejadian itu nampaknya berterusan dalam tahun 2022, di mana sekumpulan empat orang dipercayai menculik seorang lelaki Palestin pada 28 September tahun tersebut di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur. Lelaki tersebut dibelasah dan disoalsiasat berkenaan dakwaan penglibatannya dengan Hamas dan Briged Qassam. Penculik-penculik itu dikatakan rakyat tempatan dan ekoran kejadian itu stesen televisyen Al Jazeera melaporkan terdapatnya sel Mossad yang dilatih di Eropah di Malaysia. Penculikan itu berjaya dipatahkan apabila sasaran kedua untuk diculik, seorang lagi rakyat Palestin bertindak mendapatkan bantuan polis.

Maka bukanlah mengejutkan apabila pada 2023, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengisyaratkan adanya rakyat Malaysia berkhidmat dengan Mossad. Beliau mendedahkan bagaimana terdapatnya ejen wanita yang dirujuk sebagai “freelancer“, melakukan penculikan rakyat Palestin itu. Wanita ini dibantu oleh 13 orang yang lain, dan pernah ke Perancis, Thailand, Itali dan Filipina; menyamar. Dia malah dikatakan fasih berbahasa Hebrew. Insiden-insiden di atas membuktikan ejen Mossad aktif di negara ini, dan ada orang Melayu tanpa segan silu menyokong Israel.

Kebimbangan kita ialah sel Mossad di negara ini bukan sahaja bertugas untuk membunuh dan menculik sasaran Palestin yang ada di sini, tetapi juga menjadi semakin liar, mendendami pentadbiran Anwar yang tegas dan tidak berganjak membela Palestin dan tidak menyokong Israel.

Israel mempunyai sejarah campur tangan dalam banyak urusan pentadbiran politik negara lain, dan tidaklah menghairankan jika mereka berhasrat untuk menggugat kepimpinan negara ini.

Ketegasan Anwar terhadap Israel mungkin mendorong kemarahan Zionis dan Mossad. Balaci Mossad dalam kalangan kita mungkin mengambil peluang dan kesempatan dengan menyucuk jarum dan mengapi-apikan konflik-konflik kecil supaya tercetus menjadi besar.

Hal ini tidaklah susah mana. Mengetahui perangai Melayu yang cepat melenting dan ahli politik yang suka melayan isu-isu sebegini, sehelai coli yang mungkin disulam dengan kalimah suci pun boleh memanaskan keadaan. Untuk itu kita rakyat Malaysia mesti bijak.

Jika terdapat sesuatu keadaan meragukan, eloklah kita terus ke balai polis membuat laporan. Bukan dengan mengambil tindakan sendiri di media sosial yang barangkali membantu dan melicinkan operasi Mossad untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah mulai harum namanya seantero dunia melawan kebejatan Barat dan Israel. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.