`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, April 19, 2024

Batal lebuh raya: Masih ada peluang untuk kerajaan jadi lebih prihatin

 

Free Malaysia Today

Saya menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan Jemaah Menteri membatalkan projek lebuh raya PJD Link, yang mana dalam beberapa tahun kebelakangan ini ditentang hebat oleh penduduk setempat.

Rakyat di kawasan terbabit membuat pendirian yang tegas dari 2013 lagi, di mana waktu itu lebuh raya yang hampir sama iaitu Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) ditentang dengan keras dan akhirnya dibatalkan oleh kerajaan Selangor.

Pada 2017, muncul lagi lebuh raya yang serupa tetapi sedikit tidak sama, di panggil Petaling Jaya Dispersal Link atau nama ringkas, PJD Link ini. Inilah lebuh raya yang ditolak oleh Jemaah Menteri kelmarin atas dasar tidak memenuhi syarat-syarat pra-kelayakan.

Dalam euforia dan kegembiraan teman-teman yang lain di Damansara semalam, saya juga terfikir bahawa apakah ini satu keputusan yang agak aneh? Selepas tujuh tahun berlalu, pemilik konsesi masih belum memenuhi syarat-syarat pra-kelayakan dalam perjanjian konsesi yang ditandatangi bersama pihak kerajaan pada 2020 yang lalu.

Sekiranya inilah situasi sebenar, maka sememangnya wajar pihak Jemaah Menteri menolak permohonan untuk lanjutan masa bagi memenuhi syarat-syarat tersebut. Tetapi saya juga berpendapat bahawa sebagai kerajaan yang berlaku adil dan mesra rakyat, sepatutnya tindakan pembatalan itu dibuat berdasarkan atas sebab-sebab bantahan dan pandangan negatif daripada rakyat.

Isu perumahan

Kita belajar daripada kesilapan dan pengajaran yang lalu itulah seharusnya kita akan menjadi lebih waras.

Mengikut persatuan penduduk yang terlibat, lebuh raya ini akan memburukkan lagi persekitaran di kawasan-kawasan yang terlibat.

Lebuh raya bertingkat di kawasan bandar, seperti yang kita semua tahu, tidak dapat lari daripada kemusnahan hartanah dan nilainya, juga pada masa yang sama tidak akan dapat menyelesaikan masaalah kesesakan lalu lintas. Tidak ada manfaat ekonomi yang terhasil daripada berdepan jejantas setinggi 40 kaki di depan rumah.

Lebuh raya cuma akan menambah kenderaan persendirian dan memburukkan kesesakan jalan raya. Ini banyak terbukti terutama di bandar-bandar besar seperti KL, PJ, Shah Alam, Penang, JB, Kuching, dan KK. KL dan PJ mempunyai rangkaian lebuh raya yang terbanyak dan kawasan ini juga antara kawasan yang paling teruk mengalami kesesakan lalu lintas setiap hari.

Jadi di mana letaknya kebenaran bahawa lebuh raya akan dapat menyuraikan kesesakan?

Kita semua akan terperangkap di lebuh raya yang tidak ke mana seperti apa yang berlaku kepada mereka yang baru pulang berhari raya beberapa hari yang lalu.

Seruan saya ialah sudah tiba masanya kerajaan berlaku adil dengan bertindak tegas dan tidak lagi membenarkan kawasan-kawasan bandar di mana tanah yang sedia ada, yang mahal harganya, digunapakai cuma untuk lebuh raya.

Tanah-tanah tersebut seperti di PJ Selatan misalnya lebih diperlukan untuk membina rumah-rumah baharu dan boleh diatur bagi rakyat yang tidak mempunyai kediaman sendiri.

Apa gunanya lebuh raya di pinggir rumah sekiranya rakyat sekitar masih termangu dalam kediaman yang lapuk dan usang di atas tapak tanah tanpa hak milik?

Pengangkutan awam

Masalah perumahan di bandar masih menjadi isu utama yang mesti diselesaikan oleh pihak kerajaan, bukan lebuh raya yang tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada rakyat setempat. Langkah seterusnya, kerajaan harus mengambil pendekatan untuk mengadakan lebih banyak perkhidmatan pengangkutan awam.

Pihak kerajaan masih ada peluang untuk membuat kajian baharu ke arah meningkatkan jumlah dan kapasiti pengangkutan awam, yang pada masa sekarang amat rendah tahap penggunaannya. Di banyak kawasan direntang lebuh raya masih ada tempat yang belum mempunyai sistem pengangkutan awam yang teratur dan berkesan.

Inilah peluang keemasan bagi pihak kerajaan untuk menjadi lebih prihatin dan melihat masalah rakyat dengan lebih dekat, bukan daripada sudut lebuh raya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.