Memperkenalkan dirinya sebagai Mr Burn dan membahasakan pelanggannya sebagai kanda dan abang-abang, dia harus bukan calang-calang usahawan. Memiliki galeri jualan cincin permata di Sungai Besi Lakefield, Kuala Lumpur, kecekalan, berani mengambil risiko dan strategi pemasaran yang tepat membolehkannya terus bertahan di sebalik persaingan sengit di pelbagai platform e-dagang.
Menjual cincin batu permata pelbagai kategori daripada perhiasan harian mampu milik, cincin tempahan buatan tangan hingga kepada berkelas premium, stok simpanannya pada satu-satu masa hampir menjangkau RM500,000 dengan permintaan yang terus meningkat.
Sesi ‘live’ hariannya menerusi Facebook mengundang tidak kurang 100 pengunjung setiap kali pada ketika pesaing-pesaingnya yang menjual dengan cara yang sama – jumlah mereka ada puluhan berbanding boleh dihitung dengan jari tujuh atau lapan tahun lalu – bergelut untuk bersaing hingga kebanyakannya mengkhusus kepada segmen cincin lebih murah.
Mr Burn atau gelaran komersialnya ‘King818’ atau ‘Zamrud King’ kerana stok simpanan batu zamrudnya – daripada jenis Colombia, Muzo Colombia, Zambia, Panjshir (Afghanistan), Lembah Swat (Pakistan), Ethiopia mahupun chatham buatan makmal terpilih Jerman – dikatakan yang terbesar tersimpan di dua peti besi.
Bukan tergolong sebagai usahawan berjaya dalam sesingkat masa, anak Negeri Sembilan ini lebih dahulu tersungkur apabila bisnes produk kesihatan melalui pemasaran pelbagai tingkat (MLM) yang pernah memberikannya pendapatan RM70,000 sebulan kemudian gulung tikar disebabkan saingan platform e-dagang menjual produk serupa dengan harga lebih murah.
“Jangan cari kekayaan, carilah keberkatan kerana kaya mungkin tidak kekal,” demikian selalu dipesannya dalam sesi ‘live’ Facebook sebagai berkongsi pengajaran jatuh bangunnya dalam bisnes hingga mampu naik kembali melalui perniagaan cincin dan batu permata.
Berpandangan jauh ketika menceburi perniagaan ini, Mr Burn awal-awal menyimpan stok batu permata yang banyak untuk dijual ketika harganya melambung selang beberapa tahun. Cara itu membolehkannya mengatasi saingan kerana mampu menjual pada harga lebih murah ketika pesaing terpaksa menjual mengikut harga semasa.
Harga zamrud berair kaca ketika ini contohnya boleh mencapai RM500 hingga RM1,500 bagi setiap satu carat berbanding mungkin hanya separuh daripada itu empat atau lima tahun lalu.
Memanfaatkan pengalaman 10 tahunnya dalam dunia pemasaran, Mr Burn cukup memahami kehendak pelanggan yang rencam tapi lazimnya rata-rata berkehendakkan barang cantik, berkualiti tapi pada harga murah, namun dia tidak mengabaikan golongan pengumpul (collector) yang hanya mahukan barang premium dan eksklusif.
Kerana itu, cincin jualannya dalam sesi ‘live’ boleh bermula di bawah RM200 untuk mereka yang mahu lebih berhias dan menaikkan aura diri pada hari raya ini hingga mengurangkan keuntungannya kepada hanya RM20 sebentuk, ada yang berharga sekitar RM2,000 melalui tempahan buatan tangan hingga kepada yang bernilai di atas RM200,000.
“Ada sesiapa yang minat cincin ini (bertatah batu nilam biru Sri Lanka tanpa rawatan)? Siapa yang nak boleh bayar harga sebuah Vellfire tunai. Tapi untuk abang-abang yang mahukan cincin cantik pada hari raya, usah khuatir… kita ada banyak cincin dengan permata cantik pada harga bawah RM200,” katanya dalam satu sesi jualannya kelmarin.
Mungkin ada berasakan model perniagaannya tidak mampu bertahan apabila pelanggan sudah melengkapi koleksi mereka – pelanggan tetapnya termasuk dari Singapura membeli purata 10 cincin pelbagai permata – tapi Mr Burn tidak gusar kerana akan sentiasa ada kitaran pelanggan baru yang berkongsi minat serupa.
Kita tinggalkan kisah Mr Burn untuk menyorot bagaimana Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, lebih dikenali sebagai ‘Sambal King Malaysia’, mencari keberkatan Ramadan dengan berkongsi rezeki bersama kakitangannya untuk berhari raya.
Tular di media sosial beberapa hari lalu pempengaruh dan usahawan ‘Sambal Nyet Berapi’ itu telah menutup kedua-dua kilangnya di Kelantan Isnin lalu untuk meraikan 100 kakitangannya dengan membeli-belah untuk raya, berbuka puasa dan tidak ketinggalan memberikan mereka duit raya dalam sampul surat ‘tebal’.
Khairulaming, yang melancarkan produknya Sambal Nyet Berapi pada 2021, memang dikenali sangat mengambil berat kebajikan stafnya. Dua tahun lalu, dia meraikan mereka dalam percutian dua hari di Langkawi. Tahun lalu turut menyaksikannya memberi mereka duit raya, menjamu mereka dan berbelanja pakaian raya untuk setiap seorang stafnya.
Menurut Wikipedia, jumlah jualan sambalnya pada 2021 mencecah 540,000 botol atau sebanyak RM7.5 juta manakala pada 2022, jualan diperoleh ialah sebanyak RM14 juta.
Produk keduanya ‘Dendeng Nyet Berapi’ dilancarkan dua bulan lalu. Sejurus dilancarkan pada 2 Feb, 80,000 paket produk barunya itu yang bernilai RM1.2 juta terjual menerusi TikTok Shop Malaysia dalam tempoh hanya tiga minit.
Bukan sedikit kejayaan yang diraihnya, termasuk pencipta kandungan terbaik tahunan dan anugerah pilihan ramai yang diputuskan melalui undian masyarakat dalam majlis Anugerah TikTok MY 2023.
Terdahulu, pada 2022, Khairulaming yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal) dari Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat memenangi anugerah penjual baharu terbaik dan khidmat pelanggan terbaik daripada syarikat e-perdagangan Shopee.
Pada Mei tahun lalu, video memasak puding kukus gula hangus yang dikongsikan Khairulaming di TikTok mendapat pujian cef selebriti antarabangsa, Gordon Ramsay. Pengusaha restoran di Chelsea, London itu teruja melihat Khairulaming menunjukkan kaedah memasak makanan tradisional suku kaum Maori, New Zealand itu, lantas memujinya menerusi video duet di akaun TikTok miliknya.
Berbalik kepada buah tangan raya kepada stafnya, Khairulaming, 31, dalam satu rakaman videonya yang tular berkata: “Mula-mula kami bawa mereka berbelanja untuk baju raya. Oleh kerana ada 100 orang, kedai itu dipenuhi dengan kakitangan saya. Mereka boleh pilih apa saja warna dan fesyen pilihan mereka.
“Kemudian kami ke pasar raya untuk membeli keperluan hari raya. Semua nampak kalut menelefon ibu-bapa dan suami mereka mengenai keperluan yang hendak dibeli. Ada yang membeli minyak masak, beras dan ayam. Yang lain pula mendapatkan lampin pakai buang untuk anak-anak. Semua orang gembira berbelanja,” kongsinya.
Selesai berbelanja di pasar raya, mereka kembali ke kilang di mana mereka diberikan duit raya yang disudahi dengan makan malam buffet di sebuah hotel.
“Biarkan mereka berseronok. Terima kasih kepada semua yang menyokong perniagaan kami. Kami ucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada semua,” katanya lagi.
Hantaran video Khairulaming melalui platform X itu mendapat 370,000 “like” dalam tempoh 15 jam selain menerima 16,000 komen, dengan ramai memuji atas kemurahan hatinya di samping ada yang bertanyakan jika masih ada kekosongan di syarikatnya.
“Dia seorang pempengaruh bagus yang meraikan stafnya yang bekerja keras untuk meningkatkan keuntungan syarikat. Syabas kepada semua. Semoga Khairulaming terus maju dalam perniagaannya,” komen @aaamirfarid.
Kedua-dua kisah Mr Burn dan Khairulaming ini mungkin bukan di luar kebiasaan tapi sekurang-kurangnya ia memberi kita panduan mengenai keberkatan dan rezeki yang patut dikongsi. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.