`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, April 25, 2024

Hebat sangat ke mendiang Lee?

 

Free Malaysia Today

Menurut kolumnis akhbar The Star, Joceline Tan, beberapa wartawan yang membuat liputan kematian Lee Kee Hiong, Adun Kuala Kubu Baharu yang meninggal dunia akibat kanser tempoh hari, tertanya-tanya apa mengenainya yang membuatkan ramai pemimpin DAP datang memberi penghormatan dan meratap di kerandanya.

Kata Tan dalam kolumnya 20 Apr lalu mengenai Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu yang akan diadakan bulan depan, mendiang Lee “not a standout figure in Selangor politics,” kata beliau.

Jujur saya nyatakan saya tidak mengikuti karier ramai ahli politik Selangor termasuk mendiang Lee. Berdasarkan kurang kemunculan atau tidak banyak liputan media tentang Lee, apa yang dikatakan kolumnis The Star tadi boleh diterima. Maksud saya ada benarnya apa yang Tan kata yakni mendiang Lee bukan seorang ahli politik yang menonjol. Pada hemat saya mungkin mendiang tidak ditonjolkan atau tidak mahu menonjolkan diri.

Apa pun kejayaan Lee menang bergaya di Kuala Kubu Baharu pada pilihan raya 2013, 2018 dan 2023 menceritakan segala-galanya. Ternyata diam-diam Lee dia begitu menonjol dalam kalangan penduduk dan pengundi di Kuala Kubu Baharu, minus the media glare.

Ertinya memberi khidmat yang memuaskan penduduk. jika tidak masakan diberi kepercayaan pengundi tiga kali berturut-turut. Dalam tiga pilihan raya itu Lee menewaskan calon MCA, PAS, Gerakan, Muda, PRM, dan beberapa calon bebas.

Kuala Kubu Baharu pernah suatu masa dahulu kawasan pengundi majoriti Cina. Itu sebab DAP, MCA, Gerakan, atau parti berbilang bangsa tetapi bermajoriti ahli berketurunan Cina kerap bertanding di situ.

Keadaan berubah dan Kuala Kubu Baharu sudah menjadi kerusi campuran di mana 46.4% pengundi Melayu, 30.6% Cina, 18% India, dan 5% pengundi masyarakat lain. Ini perangkaan terbaharu tetapi beginilah sedikit sebanyak keadaannya sejak Kuala Kubu Baharu bukan lagi kawasan majoriti Cina beberapa tahun lalu. Lantas PAS seperti dikata tadi pernah bertanding di samping calon bebas daripada masyarakat India.

Boleh disimpulkan Lee yang mewakili DAP diterima baik kebanyakan pengundi pelbagai bangsa dan agama, berpandukan kemenangan tiga penggal yang disebut tadi. Lee meninggal dunia 21 Mac lalu lantas pilihan raya kecil diadakan 11 Mei ni. Penamaan calon Sabtu ini.

Kali ini Perikatan Nasional dikatakan amat yakin ia mampu mendapat undi Melayu sekali gus tawan Kuala Kubu Baharu. Sifir mudahnya ialah menang solid undi Melayu, ditambah pula sejumlah undi Cina, India dan lain-lain maka kemenangan tercapai. Ertinya undi Melayu seperti lazim crucial.

Bercakap mengenai sokongan Melayu saya tertarik akan sejarah mendiang Lee dengan kumpulan seniman rakyat atau Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia – Paksi. Ia dianggotai aktivis dan penggiat seni budaya termasuk nama besar Yassin Salleh, Hasni Abas, Kassim Muhamad, dan tentunya Shamsuddin Othman, yang lebih dikenali sebagai Dinsman.

Mereka terkenal dengan puisi dan sajak berorientasi rakyat, kritis, dan keras. Paksi juga dianggotai pelukis dan penulis. Ia pernah pada April 2018 bekerjasama dengan mendiang Lee dan Yayasan Usman Awang menganjurkan aktiviti dua hari bertema integrasi negara yang dinamakan “Integrasi Nasional Usman Awang” di Kuala Kubu Baharu.

Kata Dinsman turut dijemput untuk berjumpa sekumpulan seniman-budayawan ialah Mahathir Mohamad. Menurut beliau di ambang pilihan raya umum 1982 dalam kesibukan berkempen Mahathir yang waktu itu baru menjadi perdana menteri “boleh luangkan waktu berharganya hadir acara puisi saya di Dewan Bahasa dan Pustaka dan menangis kerana terharu”. Tetapi tidak sahut jemputan 2018.

Paksi bagaimanapun sekarang dilihat sebagai pro-Pakatan Rakyat khususnya Anwar Ibrahim. Saya berpeluang mengenali beberapa ahli Paksi termasuk Dinsman sendiri selaku presidennya. Daripada penghayatan saya dapati Paksi dengan perjuangan berkonsep Tekad Budaya sememangnya memihak kepada PH dan Anwar. Tetapi perlu diakui ia tidak sokong membabi buta. Ia tidak taksub. Paksi setahu saya mengkritik keras kerajaan secara terbuka dan secara langsung melalui puisi dan sajak sinis serta penulisan apabila melihat apa yang mereka dakwa kepincangan dan kelemahan kerajaan Madani.

Untuk PRK Kuala Kubu Baharu, Paksi secara terbuka menegaskan ia akan membantu berkempen dan kata setiausaha agungnya Hasni Abas, “semoga wakil yang menggantikan beliau (Lee) menang”. Semasa artikel ini ditulis calon semua parti bertanding belum diumumkan.

Pada 6 Mei ini Paksi akan berada di Kuala Kubu Baharu untuk “mengingati sumbangan YB Lee Kee Hiong kepada aktiviti seni dan budaya pertubuhan kami dan masyarakat,” menurut Hasni.

Kata aktivis Paksi, Kassim Muhamad, Kuala Kubu Baharu menjadi jambatan budaya kerana “kehadiran sosok kepimpinan politik Lee Kee Hiong”.

Kesimpulannya Paksi menyokong Lee walaupun orang DAP kerana mendiang menyokong tekad budaya nasional (yang boleh dibaca seni budaya Melayu). Sekarang Paksi menyokong siapa juga yang dipilih sebagai pengganti Lee meskipun jika datangnya dari DAP parti yang dilihat parti Cina walaupun Paksi memperjuangkan seni budaya Melayu. This cuts through racial barrier. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.