`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, April 25, 2024

Melampan undi di Kuala Kubu Bharu

 

Free Malaysia Today

Sekiranya anda berminat dan lekas terpikat dengan sejarah, makanya Kuala Kubu Bharu sebuah ‘kota-desa’ yang luar biasa. Bukan sahaja Kuala Kubu ini dipercayai didiami manusia sejak zaman neolitik membawa ke era zaman gangsa, ia juga menyaksikan aneka episod pemodenan, perebutan kuasa, dan keserakahan manusia oleh tawaran kaya timahnya. Kota kecil ini bahkan pernah dinobat penjajah British pada tahun 1925 sebagai kota-taman yang pertama di Malaya.

Dalam kalangan orang Selangor, Kuala Kubu Bharu tersohor sebagai singgahan sebelum mendaki Bukit Fraser; atau menerusi Gereja Katolik St Paul yang khutbahnya sepenuh dalam bahasa Cina; tidak terkecuali masjid gaya seni bina Jawa dikenal sebagai Masjid Lama al-Hidayah; banglo kolonial Bukit Kutu; kampung Orang Asli Pertak; pusat tempa dan beli keris; atau sebagai tempat untuk hiking, berkayak; selain menanggal kudis dan panau dengan merendam kaki atau mandi di kolam air panas.

Hari ini Kuala Kubu Bharu pusatnya sukan lasak dengan pemandangan indah di sekitar Air Terjun Sungai Chiling; untuk berkeringat memanjat sejam dua Bukit Kutu atau menginap semalam tiga di vila atau banglo sewaan secara mewah. Dek kerana tidak jauh dari Kuala Lumpur, ia juga menjadi tumpuan warga kota untuk berehat seketika.

Pada 2021, kerajaan Selangor yang menyedari kepentingan kawasan ini selaku warisan negara mengangkat Kuala Kubu Bharu sebagai kawasan warisan negara. Usaha untuk menaik tarafnya masih berjalan dengan sungguh-sungguhan.

Pada minggu-minggu mendatang, Kuala Kubu Bharu akan menjadi tumpuan kuasa-kuasa politik tanahair yang bertembungan untuk merebut kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang kosong lantaran kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong akibat kanser pada penghujung Mac lalu. DAP akan mempertahankan kuala mereka ini.

Kuala Kubu Baharu mungkin menjadi lambang keberahian Perikatan Nasional untuk merebut Selangor, atau kawasan yang perlu dikubu oleh DAP secara mati-matian; tetapi, terlepas dari percekcokan siasah, Kuala Kubu mangkuk sejarah yang jika diberi perhatian setiap satunya bakal melongokan kita.

Sebelum Kuala Kubu mendapat namanya sebagai Kuala Kubu Bharu ia lebih dirujuk sebagai Hulu Selangor dan disebut-sebut penting kerana aktiviti perlombongan bijih timah. Melayu di Kuala Kubu Bharu asalnya pecahan sub etnik orang-orang Rawa dan Mandailing yang berhijrah ke daerah ini untuk melombong secara tradisional.

Kesukaran melombong dalam cuaca mencabar dan risiko keselamatan yang tidak putus-putus mendorong pelombong memikirkan kaedah lebih licin untuk beroleh timah. Di sinilah datangnya kehebatan kearifan lokal orang Melayu yang pasti mencengangkan anda. Pelombong Melayu ini membuat keputusan untuk membina sebuah empangan merentasi Sungai Kubu pada 1780-an. Dengan bantuan masyarakat Orang Asli mereka menukangi sebuah empangan berkepanjangan 1.6 kilometer dan kelebaran 100 meter, dengan hanya menggunakan kayu dan tanah. Empangan ini kemudian digunakan dalam kerja melampan bijih.

Kaedah melampan ini agak unik di mana tanah-tanah di keliling lombong dibersihkan. Satu aluran digali dari anak sungai berhampiran. Air akan dialirkan dari sungai ini melalui saluran tersebut ke lombong, dan tanah-tanih yang mengandungi karang akan terbuang. Campuran tanah ini dikisar bagi mengeluarkan bijih dari bendasing lainnya. Batu yang besar dikeluarkan dengan timba manakala batu atau apa sahaja yang tidak berguna digerakkan kembali ke kuala sungai dengan pengayuh. Bendungan kecil dibina di alur untuk menahan pasir timah yang dikaup dengan dulang kayu kecil untuk diletakkan di atas palong untuk dibelek. Proses melekang dan melampan air untuk mencuci dan mengasingkan timah ini membawa ke hari berikutnya secara bertingkat.

Residen Inggeris, Frank Swettenham, pada 1875 melawat Kuala Kubu sangat mengkagumi teknologi lokal ini dan menyatakan empangan ini sebagai “gigantic” atau demikian besar.

Pada 1883, Cecil Ranking dilantik sebagai pemungut hasil dan majistret pertama di Hulu Selangor dan bakal menginap di Kuala Kubu. Pada usia 26 tahun, Ranking berhasrat untuk memindahkan pekan Kuala Kubu ke tanah lebih tinggi, di sisi kiri tebing sungai. Beliau juga membuka tawaran pembinaan jalan dari Kuala Kubu ke Serendah, dan usahawan Melayu tatkala itu seperti Haji Mohamad Rasib mencuba nasib untuk membangunkan daerah ini mengikut pelan yang dirangka Ranking.

Bagaimanapun pelan pemodenan ini terbantut seketika. Pada 29 Oktober 1883, empangan unggul Kuala Kubu pecah. Memang anda pun tahu yang Melayu selalu unggul membina tetapi gagal memulihara. Empangan yang dikatakan kukuh ini nampaknya tidak dijaga dengan baik.

Pun tidak adil menyalahkan Melayu, kerana terdapat mitos mengatakan Ranking ingin membunuh seekor buaya putih di sungai yang dianggap sakral oleh penduduk sekitar. Ranking dikatakan melepaskan tembakan membunuh reptilia ini dan akibatnya tentulah buruk malapetaka. Pun, ada yang mengatakan Ranking juga berkemungkinan bodoh kerana melemparkan bahan letupan ke dalam empangan lantas memecahkan bentengan kayu sedia ada. Sama ada Ranking melakukannya untuk menangkap ikan atau membunuh buaya tiada siapa benar-benar tahu.

Apa pun, rekod sejarah menunjukkan pada pukul 7 malam, satu letupan maha dahsyat kedengaran. Dalam masa tidak sampai 15 minit, 855 juta gelen air tumpah lantas memusnah dan menghanyutkan 38 buah rumah di pekan-desa ini. Air banjir naik sehingga sepuluh kaki. Seluruh pekan tenggelam kecuali enam buah rumah, Masjid Lama al-Hidayah, dan sebuah kuil Buddha. 35 orang terbunuh termasuklah Ranking sendiri.

Terdapat rekod siasatan British yang memberi isyarat Ranking berpeluang untuk menyelamatkan diri tetapi degil enggan berganjak. Mayat mendiang ditemui tanpa luka atau kecederaan oleh Haji Mohamad Amin dalam keadaan elok dan dipercayai punca kematian adalah kerana lemas.

Tidak diketahui punca sebenar empangan itu pecah. Barangkali batang kayu di dasar empangan sudah rapuh dan tua melangkaui hampir 100 tahun tidak digantikan. Mungkin juga kerana tiga bahan letupan yang digunakan Ranking. Juga mungkin fenomena luar biasa hujan lebat. Bahkan pada 26 dan 27 Ogos tahun sama, letupan gunung berapi di Krakatao ikut menggegarkan Semenanjung Tanah Melayu, dan siapa tahu telah meretakkan dasar empangan.

Sejarah Kuala Kubu ini memang wajar dihafal mana-mana politikus pun. Sebetulnya mana-mana parti yang ingin menguasai Kuala Kubu Bharu, mereka seharusnya menggunakan taktik melampan bijih ini. Melayu Kuala Kubu kebanyakannya penjawat awam yang perlu disaring, dilekang, dan diberi perhatian. Tawaran agama oleh Perikatan Nasional atau pembangunan oleh Pakatan Harapan sahaja belum mesti cukup menarik.

Proses rumit melampan undi ini mestilah dilakukan dengan tekun, malah sepatutnya dilakukan jauh lebih lama sebelum kematian Lee Kee Hiong. Ingatan; Kuala Kubu Bharu juga berpotensi menjadi satu bencana politik. Seperti terjadinya tragedi empangan pecah, tidak mustahil bendungan yang selama ini tertahan tidak lagi dapat menampung dan menumpahkan juta gelen air lantas mengkaramkan semua yang ada.

Umum mengetahui sejak Lee Kee Hiong uzur, Kuala Kubu sempat terabai. Meskipun mendiang pernah dibantu oleh ramai, tetapi sentuhan pemimpin sebenar dan pengganti sangat berbeza.

Di Kuala Kubu, semuanya terletak kepada kesabaran melampan, dan juga kepintaran meramal. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.